TINTA MINDA

HAKIKAT PEMBELAJARAN PELAJAR MISKIN BANDAR

09/06/2021 09:28 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Danial Farook

Setiap minggu, kita menyaksikan peningkatan kes positif COVID-19 dan tiada tanda penurunan kes dalam masa terdekat. Dalam situasi ini, institusi pendidikan juga tidak terlepas daripada menjadi tempat penularan virus ini.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan juga jika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan berminggu atau berbulan akan datang sehinggalah persekitaran sekolah selamat untuk pelajar kembali meneruskan pembelajaran secara fizikal.

Perbincangan mengenai PdPR kali ini adalah berkaitan naratif kehidupan yang dihadapi oleh pelajar daripada keluarga miskin bandar. Sebahagian besar data dalam penulisan ini adalah daripada dapatan Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Minat Jadi Elemen Penting Untuk Pelajar Fokus Proses Pembelajaran

Sewaktu proses pembelajaran, minat pelajar terhadap mata pelajaran adalah elemen yang sangat penting. Menurut kajian yang dikeluarkan pada 2016 oleh PubMed Central (PMC), minat merupakan motivasi paling kuat untuk pelajar lebih aktif dalam kelas, lebih bersemangat sewaktu pembelajaran dan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik.

Mereka akan lebih aktif bertanya soalan, lebih aktif menyiapkan kerja dan lebih melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh guru.

Sewaktu sesi PdPR, jika seseorang pelajar tidak mempunyai minat, mereka akan menyertai kelas hanya sekadar cukup syarat, tidak fokus sewaktu pembelajaran malah terdapat juga pelajar yang terus tidak menghadiri kelas.

Dilaporkan 61 peratus responden mengatakan bahawa anak mereka telah hilang minat untuk belajar. Selain itu, 83 peratus responden mengatakan anak-anak mereka kurang fokus sewaktu pembelajaran.

Mengapa masalah sedemikian berlaku? Pembelajaran dalam talian adalah sangat sukar bagi golongan B40. Bermula dari kekangan peranti bagi mengikuti proses pembelajaran hinggalah tiada ruang belajar yang kondusif.

Tiada Peranti Ganggu Tumpuan Pelajar Fokus PdPR

Sehubungan itu satu kajian mengenai perbezaan keberkesanan proses pembelajaran dalam talian antara pelajar yang menggunakan telefon pintar dan komputer telah dijalankan. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai akses kepada komputer mendapat 60 hingga 75 peratus lebih manfaat berbanding pelajar yang menggunakan telefon pintar.

Ini disebabkan penyertaan di dalam kelas melalui komputer lebih mudah berbanding menggunakan telefon pintar. Selain itu, saiz skrin yang kecil juga menyukarkan pelajar untuk memberi tumpuan dalam jangka masa yang panjang.

Mengeruhkan lagi keadaan apabila kemampuan untuk keluarga miskin bandar mempunyai telefon pintar yang berkualiti juga rendah. Pelajar akan menggunakan telefon sedia ada sama ada telefon ibu atau bapa.

Masalah lain ialah keadaan yang memaksa mereka berkongsi peranti elektronik bersama ahli keluarga yang lain kerana ketidakmampuan menyediakan peranti bagi setiap anak yang menjalani PdPR. Mereka akan bergilir-gilir untuk menyertai kelas. Kesannya, berdasarkan sebuah kajian oleh Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kehadiran pelajar sewaktu PdPR berada di bawah paras 80 peratus.

Kita harus menyedari bahawa banyak keluarga terkesan disebabkan pandemik ini, lebih-lebih lagi bagi keluarga miskin bandar yang dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi. Secara purata, kadar pendapatan bagi isi rumah bagi kajian ini pada Mac 2021 adalah hanya RM2,117.

Maka tidak hairanlah jika mereka tidak mampu untuk menyediakan kemudahan pembelajaran yang baik kepada anak-anak, memandangkan keutamaan harus diberikan kepada keperluan harian.

Dilaporkan bahawa hanya 29 peratus isi rumah yang mampu menyediakan komputer berbanding 88 peratus isi rumah menyatakan bahawa anak-anak mereka menggunakan telefon pintar untuk mengikuti proses pembelajaran pembelajaran.

Justeru itu, usaha kerajaan dalam pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar-pelajar seperti yang dijanjikan pada belanjawan 2021 perlu disegerakan. Dilaporkan setakat April lepas, 13,000 komputer riba telah diedarkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan. Bagaimanapun ia masih jauh daripada sasaran yang dinyatakan.

Tiada Ruang Belajar Yang Kondusif

Seterusnya ialah ketiadaan tempat belajar yang sesuai. Sebanyak 49 peratus daripada responden menginginkan anak-anak mereka kembali ke sekolah kerana tidak mempunyai ruang belajar yang selesa di rumah.

Jika mereka mempunyai rumah yang besar dan selesa, ini tidak akan menjadi masalah. Tetapi, realiti kehidupan golongan miskin bandar ini adalah mereka tinggal dalam rumah yang kecil dan sempit. Bagi yang berkeluarga besar, mereka akan berkongsi bilik sesama adik beradik.

Oleh itu, gangguan persekitaran dalam rumah menjadi faktor pelajar kurang fokus sewaktu pembelajaran. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang memberi anak-anak tugasan rumah pada waktu mereka perlu mengikuti sesi pembelajaran dalam talian.

Sebelum ini, terdapat juga kemungkinan untuk mengemukakan cadangan pusat-pusat komuniti supaya dilengkapkan dengan komputer dan meja bagi memberi ruang kepada pelajar untuk belajar. Malangnya, perkara ini sukar direalisasikan kerana peningkatan kes yang sangat membimbangkan ketika ini.

Platform Alternatif Pendidikan Perlu Lebih Interaktif

Bagi mengatasi masalah ini, ruangan pembelajaran alternatif wajar diperkasakan. Platform siaran Didik TV haruslah lebih interaktif iaitu berubah daripada program yang bercirikan rancangan kanak-kanak sebaliknya memberi penekanan kepada silibus pembelajaran.

Daripada kajian yang dijalankan juga menunjukkan sebanyak 43 peratus responden merasakan TV pendidikan tidak membantu kerana kesukaran untuk anak-anak mereka memahami perkara yang diajar.

Hakikatnya, proses pembelajaran secara komunikasi dua hala masih diperlukan, bagi menjawab terus pertanyaan pelajar yang kurang memahami subjek pembelajaran. Oleh yang demikian TV pendidikan wajar memperkenalkan talian bantuan untuk sokongan pedagogi.

Ia juga berpotensi untuk menjadi medium yang lebih interaktif jika dapat mengumpul soalan secara panggilan telefon, pesanan ringkas dan sosial media serta dijawab sewaktu kelas bersiaran langsung.

Masalah yang dihadapi oleh golongan miskin bandar ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita atasi. Sebenarnya, kita sudah memulakan langkah pertama. Maka, dalam bergerak ke hadapan, kita seharusnya perkemaskan usaha-usaha semasa agar dapat menyelesaikan isu keperluan para pelajar.

-- BERNAMA


Danial Farook, merupakan Aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia dan Pelajar Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)