TINTA MINDA

ATM BERSAMA GALAS TANGGUNGJAWAB PERANGI COVID-19

16/07/2021 09:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Muhammad Adi Putera

Sejak awal 2020, pandemik COVID-19 telah melanda dunia termasuk Malaysia dengan mengancam kesihatan dan nyawa rakyat sekali gus membuat negara berada dalam situasi krisis kesihatan yang kritikal. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan tonggak pertahanan dan kedaulatan negara tidak terkecuali dalam membantu kerajaan dan rakyat memerangi penularan COVID-19. Panglima Angkatan Tentera (PAT) terpanggil untuk turut mendukung usaha kerajaan dengan mengaturgerakkan warga Tentera Darat (TD) bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan tugas Sekatan Jalan Raya (SJR) melalui Op PENAWAR di seluruh negara.

Mendukung tanggungjawab ketenteraan, menyokong masyarakat

Pengorbanan warga TD di SJR bagi mengawal pergerakan rakyat melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menuntut sebarang pujian. Tugasan yang dilaksanakan oleh warga TD dengan penuh keikhlasan sebagai frontliners tanpa mengira waktu biarpun dalam persekitaran panas terik, hujan lebat dan angin kencang kekal dihadapi tanpa sebarang rungutan. Segala cabaran ini tidak sedikit pun mampu dan berupaya menghakis semangat kenegaraan warga TD dalam memerangi penularan COVID-19 demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat. Mengawal kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat kekal menjadi agenda utama ATM khususnya dalam membantu usaha kerajaan persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

Tidak cukup dengan Op Penawar, ATM sebagai lead agency juga telah melaksanakan Op BENTENG sejak Mei 2020 yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan negara seperti PDRM, APMM, JIM, KDM, RELA dan lain-lain. Op BENTENG bertujuan untuk memperkukuhkan kawalan sempadan daratan dan maritim negara daripada pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya menghalang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berpotensi sebagai pembawa virus COVID-19.

Ternyata dengan bukti ketara melalui paparan berita media arus perdana dan media sosial bahawa Op PENAWAR dan Op BENTENG telah melakar banyak kejayaan dalam mendukung inspirasi kerajaan ke arah mengawal pandemik COVID-19. Seperkara yang menarik, segala kejayaan tersebut tidak pula menjadi bahan ‘gah dan sombong’ pihak ATM malah warganya sentiasa humble berteraskan ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ dalam memartabatkan maruah negara di persada serantau dan global. Kejayaan ATM bukanlah milik perseorangan kerana tanpa kerjasama dan kolaborasi mampan antara agensi kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sokongan rakyat, kejayaan tersebut tidak mungkin dapat direalisasikan.

Terkini, situasi penularan COVID-19 semakin mengganas dan mencabar keupayaan pihak KKM dengan catatan harian kes terbaharu COVID-19 melepasi angka 10,000. Sekali lagi, pihak ATM turut menubuhkan hospital medan dalam usaha membantu KKM menangani keperluan rawatan pesakit COVID-19. Dalam apa jua situasi krisis yang sedang dan bakal dihadapi negara, ATM sentiasa bersiap siaga untuk sedia membantu kerajaan serta rakyat bagi menghadapi pelbagai dimensi cabaran dan ancaman termasuk krisis kesihatan.

Usah mudah melabel, amalkan sikap objektif

ATM sebagai organisasi besar juga tidak pernah sunyi daripada elemen negatif yang berpunca daripada warganya. Adakalanya wujud pandangan dan kritikan negatif yang tidak diundang daripada warga tentera (secara sedar ataupun tidak) terhadap usaha kerajaan memerangi COVID-19. Ini adalah kes terpencil namun pihak ATM tidak akan berkompromi dalam perkara sedemikian dan diyakini pemimpin atasan ATM akan mengambil tindakan disiplin dan pentadbiran sewajarnya ke atas warganya terlibat.

Sebagai peringatan mesra kepada semua lapisan rakyat agar tidak bertindak terburu-buru dan mudah melabelkan #kerajaangagal dan lain-lain label negatif hasil hasutan pihak berkepentingan. Lihatlah dengan penuh objektiviti segala usaha kerajaan memerangi COVID-19 dan keprihatinan kerajaan membantu rakyat yang terkesan akibat daripada pandemik ini. Jom kita sama-sama berusaha membantu kerajaan dengan mematuhi segala SOP yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berilah masa, ruang dan peluang kepada kerajaan untuk bertindak dalam mengatur strategi ke arah memerangi pandemik COVID-19 demi kesejahteraan rakyat jua. Kebertanggungjawaban memerangi ancaman COVID-19 tidak hanya terletak di atas bahu kerajaan malah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk berganding bahu, tenaga dan usaha demi kepentingan serta kebaikan bersama. Selebihnya, sama-sama kita menadah tangan memohon doa kepada Allah (Tuhan) yang maha esa agar mempermudahkan urusan kita terhadap ujianNya sekali gus membebaskan negara daripada wabak COVID-19 ini.

-- BERNAMA

Muhammad Adi Putera merupakan penganalisis awam dan pernah berkhidmat dengan pasukan keselamatan dan berpengalaman luas dalam bidang operasi, secara khusus Military Operations Other Than War (MOOTW), Subject Matter Expert (SME) gerak saraf dan perang saraf termasuk operasi media serta operasi informasi. Mempunyai kepakaran sebagai penganalisis dan propagandis dalam pelbagai disiplin risikan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)