PENA WANITA

Lahirkan Masyarakat Yang Berkualiti

21/07/2021 09:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Nur Najwa Hanani Abd Rahman

Pelbagai agenda pembangunan yang selaras dengan tuntutan Islam dirancang oleh kerajaan melalui pendekatan seimbang dalam aspek-aspek spiritual, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, undang-undang dan sebagainya. Ini kerana Islam bukanlah agama bersifat ritual semata-mata, tetapi bersifat praktikal iaitu diturunkan untuk mengatur kehidupan masyarakat secara realistik.

Kehidupan berkualiti

Islam memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan Islam menuntut setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti daripada kesemua aspek termasuk kerohanian, fizikal dan material. Ini bertetapan dengan firman Allah s.w.t dalam al-Quran surah al-Qasas 77 bermaksud:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dan dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-nikmatnya) yang melimpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghadapi kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang.

Bermula dengan pencapaian keperluan asasi tersebut, kualiti kehidupan mengikut Islam berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah tidak begitu statik, malah usaha untuk meningkat maju dalam kesemua aspek tersebut perlu diusaha dan dijayakan dari semasa ke semasa semoga tahap pencapaian setanding dengan masyarakat yang maju di dunia. Di samping itu, Islam memberi keutamaan kepada institusi keluarga. Keluarga yang sejahtera akan menjamin kepada lahirnya generasi yang seimbang dan berprestasi. Bahkan gejala sosial masyarakat dapat dikurangkan jika setiap institusi dapat befungsi dengan berkesan.

Pengurusan masa dan perancangan

Sesungguhnya untuk membentuk sebuah kehidupan yang berkualiti, pengurusan masa amatlah penting. Dalam Islam, sebenarnya masa bukan emas, tetapi nyawa dan kehidupan. Apabila masa terbuang ataupun hilang seperti nyawa dan kehidupan, ia tidak dapat digantikan. Justeru, manusia yang tidak mahir dalam aspek pengurusan masa akan mensia-siakan masa mereka. Manusia seperti itu sebenarnya tidak menghargai hidup dan nyawanya. Orang yang suka membuang masa seolah-olahnya sedang membuang modal yang sepatutnya digunakan bagi mengembangkan perniagaannya. Di dalam Ihya Ulumuddin, dalam bab Bahaya Lidah, Imam Ghazali berkata: “Modal bagi seseorang hamba Allah ialah waktunya. Jika dia gunakan waktu itu pada perkara yang tidak diperlukan dan tidak digunakannya untuk mencari pahala akhirat, dia telah mensia-siakan modalnya.”.

Allah s.w.t. telah memberikan kepada setiap insan agihan masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam. Orang yang berjaya adalah orang yang berjaya mengisikan 24 jam itu dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Suka menangguhkan kerja adalah penyakit yang sering menyerang golongan yang gagal. Sebaliknya, golongan yang berjaya segera memanfaatkan waktu sekarang kerana ia sedia ada dalam genggaman mereka.

Wawasan yang baik memerlukan perancangan yang rapi untuk berjaya. Perancangan penting dalam mencapai kehidupan berkualiti. Dalam al-Quran ada menceritakan perancangan yang dicadangkan oleh Nabi Yusuf kepada Raja Mesir bagi menghadapi saat kegawatan ekonomi di Mesir. Beliau menyarankan supaya perancangan dibuat semasa iklim ekonomi berada pada tahap yang baik sebelum kegawatan melanda. Beliau juga menunjukkan perancangan yang baik adalah yang mempunyai keterikatan dengan jangka masa yang ditetapkan kerana ia melahirkan keungguhan atau sense of urgency dalam kalangan setiap orang yang terlibat. Ia juga dapat memastikan supaya setiap individu tidak cuai dalam melaksanakan tugas. Hasil daripada perancangan yang baik itu, maka terhasillah individu yang berkualiti.

Imej yang positif juga memainkan peranan yang penting dalam melahirkan kehidupan yang berkualiti. Ini kerana penonjolan imej yang positif dapat menambahkan keyakinan manusia terhadap kita sekali gus membentuk kecemerlangan. Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Naml ayat 44 bermaksud:

“Dikatakan kepada (Balqis), ‘Masuklah ke dalam istana’. Tatkala dia melihat istana itu, dia mengagak itu ialah kolam air yang besar maka disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman, ‘Sesungguhnya ia adalah istana licin diperbuat dari kaca’. Berkatalah Balqis, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam,”.

Musyawarah dan bekerjasama

Selain itu, antara perkara yang perlu dilakukan oleh umat Islam adalah bermusyawarah. Musyawarah penting terutamanya semasa bekerja dalam sebuah pasukan. Musyawarah penting dalam membentuk kehidupan berkualiti. Bekerja dalam sebuah pasukan memerlukan musyawarah untuk berjaya.

Musyawarah yang berkualiti memerlukan ahli-ahli musyawarah yang berilmu dan bertaqwa ('aqil wa 'abid). Nabi amat memerlukan musyawarah. Justeru, perjuangan beliau dan para sahabat dirahmati Tuhan dan mereka berjaya mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi. Jika kita memanfaatkan pandangan golongan yang seperti ini dalam hidup, kita akan cemerlang. Justeru, jadikan diri kita seorang yang berilmu dan betaqwa. Pastikan juga kita mempunyai rakan-rakan yang bersifat seperti itu supaya sumber rujukan kita berkualiti.

Untuk cemerlang kita perlu konsisten dengan segala kebaikan yang kita lakukan. Istiqamah atau konsisten yang diterima dan diredai Tuhan mempunyai asas-asasnya. Mengikut pandangan ulama tasawuf yang bijaksana, seperti yang dinukilkan dalam kitab Dalil al-Falihin, "Istiqamah yang benar mestilah diasaskan atas dua perkara iaitu amalan mengikut apa yang dibawa oleh Nabi saw, zahir dan batinnya."

Antara punca pendidikan kita gagal melahirkan manusia cemerlang adalah kegagalan pendidik untuk konsisten dengan nilai-nilai murni yang diajar. Contohnya, di rumah ibu bapa mengajar anak-anak supaya tidak berbohong. Tetapi pada sesetengah masa, ibu bapa sendiri yang berbohong di hadapan anak-anak. Si ayah pula mengajar anak lelakinya supaya tidak merokok tetapi si ayah sendiri merokok.

Hari ini, konsep teamwork atau bekerja dalam pasukan amat ditekankan kerana ia adalah unsur penting yang menjamin kecemerlangan dan kejayaan kehidupan yang berkualiti. Sebenarnya, konsep ini bukanlah baru dalam Islam. Ia ditekankan oleh Islam sejak awal dahulu terutamanya dalam usaha menegakkan kalimat Tuhan. Allah berfirman dalam surah as-Saf ayat 4 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyukai jika perjuangan di jalannya dilakukan (secara tersusun) seperti satu saf seolah-olahnya mereka merupakan sebuah bangunan yang kukuh."

Untuk menjadi insan yang berkualiti di dunia dan akhirat, keikhlasan perlu digabungkan dengan cara yang betul. Berhubung dengan ayat di atas, Imam Ibn Kathir berkata: “Ayat ini menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, pertamanya ikhlas dan yang keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w . Jika sesesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikuti syariat, ia tidak diterima oleh Allah”.

Kehidupan berlandaskan syariat

Kehidupan berkualiti adalah berlandaskan syariat. Ini kerana syariat memandu seseorang yang mengikutinya ke jalan yang teratur lagi terurus kerana segala amalan serta aktiviti di dunia tidak akan mendatangkan faedah di akhirat kecuali apabila ia dilaksanakan mengikut landasan syariat. Gerabak kehidupan kita akan terbabas tanpa rel. Rel yang dimaksudkan di sini adalah syariat Allah, yakni al-Quran dan sunah Rasulullah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu kitab Allah dan sunahku”.

Oleh itu, kita hendaklah menjadi insan yang jelas dan celik syariat yang mana untuk sampai kepada maksud ini, individu tersebut memerlukan ilmu. Allah s.w.t berfirman dalam surah Taha, ayat 123 hingga 124 yang bermaksud: “Jika datang kepadamu petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan kami akan menghimpunya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. Ayat ini menunjukkan betapa pentingnya kita supaya mengikuti syariat Allah (Danial Zainal Abidin,2005).

Justeru itu, dalam mencapai kehidupan berkualiti kita perlukan perancangan, pengurusan masa yang baik. Setiap individu perlu menjaga imej yang positif serta sentiasa konsisten pada diri. Dalam mencapai kehidupan berkualiti, bermusyawarah serta bekerja dalam pasukan itu penting. Penjagaan makanan dan kesihatan juga perlu diberi penekanan dalam kehidupan berkualiti. Sudut syariat juga perlu dititikberatkan. Ibadah itu penting dalam membentuk kehidupan yang berkualiti seperti solat,membaca al-Quran dan berdoa juga perlu diambil kira.

-- BERNAMA

Dr Nur Najwa Hanani Abd Rahman merupakan Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)