TINTA MINDA

Pekerjaan 3D, Realiti, Stigma Dan Jalan Keluar Untuk Anak Tempatan

02/07/2025 03:01 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Assoc. Prof. Dr. Khairunneezam Mohd Noor

Fenomena lambakan pekerja asing dalam sektor-sektor pekerjaan tertentu di Malaysia bukanlah perkara baharu. Dalam bidang seperti pembinaan, perladangan, perkilangan dan pembersihan, jumlah pekerja asing jauh mengatasi kehadiran pekerja tempatan.

Persoalan yang sering bermain di fikiran ramai, benarkah rakyat Malaysia terlalu memilih pekerjaan? Adakah mereka enggan melakukan kerja yang dianggap berat dan kotor? Atau sebenarnya sistem yang sedia ada gagal menyediakan rangsangan dan sokongan yang mampu menarik minat warga tempatan?

Sektor 3D, Tumpuan Pekerja Warga Asing

Statistik daripada Kementerian Sumber Manusia menunjukkan lebih daripada 1.5 juta pekerja asing berdaftar berada di Malaysia sehingga penghujung 2023. Menariknya, hampir separuh daripada jumlah itu tertumpu dalam sektor 3D – Dirty, Dangerous, and Difficult (kotor, bahaya, dan sukar). Malah, laporan Khazanah Research Institute (2021) mendapati sekitar 80 peratus tenaga kerja dalam sektor pembinaan dan perladangan di beberapa negeri terdiri daripada warga asing.

Walaupun gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan mula dilaksanakan sejak Februari 2025, ramai majikan mengakui sukar menarik penyertaan rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan dalam sektor ini. Salah satu faktor utama yang menyebabkan keengganan rakyat Malaysia menceburi bidang ini ialah persepsi masyarakat terhadap jenis pekerjaan tersebut.

Pekerjaan fizikal sering dilabel sebagai ‘low class’, tiada masa depan, dan tidak sepadan dengan tahap pendidikan yang dimiliki. Ramai graduan yang berpegang kepada pandangan bahawa, 'Jika aku belajar sampai ke menara gading, takkan kerja bahaya dan kotor ini yang aku kena buat?'. Di samping itu, kebanyakan pekerjaan dalam sektor ini menawarkan waktu kerja yang panjang, beban tugas yang berat, serta suasana kerja yang mencabar, namun tidak disokong dengan ganjaran yang setimpal atau prospek kerjaya yang meyakinkan.

Kebergantungan Kepada Pekerja Warga Asing

Implikasinya kepada negara sangat signifikan. Kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing bukan sahaja menyebabkan sebahagian pendapatan negara mengalir keluar melalui kiriman wang, malah turut mengundang pelbagai cabaran sosial seperti kesesakan di kemudahan awam, isu kesihatan, integrasi sosial yang rapuh, serta kebimbangan terhadap keselamatan. Peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan semakin terhad, terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Kadar pengangguran belia, contohnya, kekal tinggi iaitu 10.4 peratus pada tahun 2023.

Penyelesaian kepada masalah ini memerlukan pendekatan menyeluruh. Pihak kerajaan perlu menyusun semula strategi pekerjaan dengan menambah baik skim perlindungan sosial, memperkenalkan insurans pekerjaan, serta menyediakan insentif menarik untuk sektor 3D. Kenaikan gaji sahaja tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan perlindungan keselamatan, kesihatan dan peluang kemajuan kerjaya yang jelas.

Jenamakan Semula Imej Pekerjaan Berasaskan Kemahiran

Dalam masa yang sama, sistem pendidikan negara juga perlu memainkan peranan besar dalam mengubah tanggapan negatif terhadap kerja teknikal dan vokasional. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar perlu menekankan kemahiran, tetapi juga perlu menjenamakan semula imej kerjaya berasaskan kemahiran sebagai sesuatu yang profesional dan bermaruah.

Majikan pula harus mula berganjak daripada kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Sudah tiba masanya untuk mereka menilai semula cara pengurusan sumber manusia dengan cara menawarkan persekitaran kerja yang selesa, kemudahan kebajikan yang menyeluruh dan latihan peningkatan kemahiran secara berterusan kepada pekerja tempatan.

Peningkatan penggunaan teknologi dan automasi juga mampu mengurangkan beban kerja fizikal yang sering menjadi penghalang utama rakyat tempatan.
Selain itu, media, institusi agama, dan komuniti turut berperanan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat.

Nilai murni seperti kerja halal dan bermaruah harus diangkat dan diraikan. Kita perlu mula mendidik generasi muda bahawa kejayaan bukan hanya terletak pada pekerjaan bergaji tinggi atau berstatus profesional, tetapi juga pada nilai usaha, kecekalan dan maruah diri.

Hakikatnya, isu ini bukan semata-mata tentang rakyat Malaysia memilih kerja, tetapi berkait rapat dengan kegagalan sistem menyokong mereka untuk memilih sektor 3D sebagai laluan kerjaya yang sah dan dihargai.

Sekiranya negara ingin mewujudkan tenaga kerja yang mampan dan berdaya saing, semua pihak perlu berganding bahu membina semula ekosistem pekerjaan yang lebih adil, menarik dan memberi nilai kepada pekerja tempatan.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor, Pensyarah Kanan dan Felo Bersekutu, Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)