Oleh Dr Abu Ubaidah Amir Norazmi dan Dr Muhammad Harith Rosdi
Piala Eropah melabuhkan tirainya dengan Itali bergelar juara bagi tahun ini. Pelbagai aksi bertaraf dunia dapat disaksikan sepanjang berlangsungnya kejohanan itu selama hampir sebulan setengah di sebalik pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Daripada sudut pandangan profesion perubatan, perlawanan pertama Piala Eropah dikejutkan dengan kejadian tidak diingini. Dalam perlawanan di antara Denmark dan Finland, pemain tengah Denmark, Christian Eriksen, rebah dan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.
Tindakan pantas pegawai perlawanan dan pasukan perubatan melakukan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) telah menyelamatkannya daripada situasi genting itu. Beliau kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan ditempatkan di hospital berhampiran.
Selang beberapa hari selepas kejadian itu, legenda badminton Indonesia, Markis Kido meninggal dunia ketika sedang bermain badminton kerana serangan jantung.
Situasi sama juga dapat dilihat di arena sukan tempatan. Pemain hoki kebangsaan dan Maybank, Joel van Huizen, rebah secara tiba-tiba semasa perlawanan Liga Hoki Malaysia di antara Maybank dan TNB Thunderbolts pada Mac lepas.
Pasukan perubatan dari Institut Sukan Negara yang bersedia sebagai pasukan perubatan kejohanan bertindak pantas menyelamatkan nyawa Joel van Huizen dengan melakukan CPR. Beliau kemudian dipindahkan ke hospital dan pulih sepenuhnya.
Apa Itu CPR ?
CPR atau bantuan kecemasan jantung dan pernafasan adalah prosedur kecemasan yang dilakukan apabila seseorang jatuh pengsan dan dengupan jantung berhenti secara tiba-tiba. Tindakan ini dapat menyelamatkan nyawa dengan membantu pengaliran darah dan oksigen ke organ yang penting terutamanya otak.
Prosedur CPR memerlukan perawat menekan dada pesakit secara pantas dan berterusan dengan atau tanpa bantuan pernafasan secara berkala. Keberkesanan CPR bergantung kepada beberapa faktor. Pertama, perawat hendaklah terlatih dengan prosedur tersebut dan sentiasa mengemaskini pengetahuan yang berkaitan.
Menurut kajian perubatan kecemasan, CPR dapat mengembalikan dengupan jantung pesakit dalam 47 peratus kes apabila dilakukan oleh perawat yang terlatih. Antara faktor lain yang mempengaruhi keberkesanannya ialah masa CPR dilakukan dengan tempoh jantung terhenti, umur pesakit, sejarah penyakit dan ritma jantung yang boleh direnjat.
Punca tidak sedarkan diri ketika bersukan
Melalui berita semasa dan juga media sosial, seringkali kita dengar kes kematian atau tidak sedarkan diri semasa bersukan. Di Malaysia, kes-kes kematian ketika bersukan biasanya berlaku di kalangan individu berumur 30 hingga 50 tahun.
Umumnya, kes melibatkan individu berumur 35 tahun ke atas adalah kerana saluran darah koronari atau jantung tersumbat, manakala bagi yang berumur 35 tahun ke bawah ia berpunca daripada masalah struktur jantung seperti ketidakseimbangan saiz jantung, injap jantung tidak normal dan ritma elektrik tidak teratur. Kedua-dua masalah itu menjadi penyebab kepada serangan jantung ketika bersukan.
Selain daripada masalah jantung, terdapat juga beberapa faktor lain seperti cuaca dan persekitaran, contohnya Iklim yang panas dan lembab di Malaysia. Kita terdedah dengan risiko kepanasan melampau (heat exhaustion) yang boleh membawa kepada strok haba (heat stroke) jika tidak dikenalpasti dengan cepat. Selain itu, cuaca panas juga menyebabkan dehidrasi berlaku dengan lebih pantas.
Menyedari risiko-risiko ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), telah membuat ketetapan baharu ketika Piala Dunia 2014 di Brazil dengan membenarkan satu Water Break bagi setiap separuh masa. Ia bertujuan memberi ruang dan masa kepada pemain serta pengadil minum bagi mengelakkan dehidrasi. Ketetapan ini kemudiannya menjadi keperluan bagi setiap perlawanan yang berlangsung semasa musim panas dan di negara yang sentiasa panas dan lembab.
Selain itu, sejarah kesihatan dan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, asma dan sakit buah pinggang boleh menjadi antara punca kejadian tidak diingini itu berlaku. Bagi pesakit kencing manis, terutamanya yang mengambil suntikan insulin, mereka hendaklah memeriksa paras gula sebelum bersukan.
Pesakit asma pula, mereka perlu memastikan penyedut (inhaler) ubat sentiasa berada ditempat yang mudah dicapai ketika bersukan. Aktiviti fizikal boleh menjadi faktor serangan asma jika tidak dikawal dengan baik. Oleh itu, sangat penting untuk melakukan saringan kesihatan sebelum bersukan bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan yang tidak pernah melakukan aktiviti fizikal.
Saringan kesihatan
Bagi atlet professional, mereka akan menjalani proses saringan kesihatan setiap kali sebelum kejohanan atau permulaan musim. Saringan ini penting bagi memastikan mereka dapat menyertai kejohanan sukan dengan tahap kesihatan yang baik. Saringan kesihatan yang asas terdiri daripada pemeriksaan fizikal, ujian darah, ujian air kencing, x-ray dada dan electrocardiogram (ECG).
Maklumat yang diperolehi melalui saringan dapat membantu pegawai perubatan dan pihak pengurusan pasukan mengesan sebarang kecederaan atau penyakit dalam kalangan atlet. Sebagai contoh, atlet yang mempunyai ECG tidak normal perlu menjalani pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan jantung, sekiranya perlu ujian echocardiogram dijalankan bagi mengesahkan keadaan jantung sama ada normal atau tidak. Sekiranya normal, atlet diberi pelepasan untuk meneruskan aktiviti sukan seperti biasa. Sekiranya tidak, kajian dan rawatan lanjut perlu dijalankan.
Pendidikan dan latihan
Selain saringan kesihatan, pendidikan dan latihan bantuan kecemasan dalam kalangan atlet serta pegawai sukan perlu diberi perhatian oleh pihak yang terlibat. Mereka perlu diberi pendedahan tentang kecemasan ketika aktiviti sukan.
Siri pendidikan dan latihan bantuan kecemasan seperti Basic Life Support (BLS) perlu diberikan kepada atlet, pegawai sukan dan juga pengadil kerana mereka ialah golongan yang paling dekat dengan atlet sekiranya berlaku kecemasan sewaktu bersukan atau latihan.
Contohnya, sekiranya ada atlet yang pengsan dan tidak bernafas, mereka di sekeliling akan lebih tenang dan tahu untuk bertindak. Bantuan dapat dihubungi segera dan CPR dapat dimulakan lebih awal, maka peluang untuk atlet tersebut diselamatkan adalah lebih tinggi.
Automated External Defibrillator (AED)
Satu daripada pelaburan yang boleh dibuat oleh kelab sukan atau pusat rekreasi adalah menyediakan Automated External Defibrillator (AED). Alat ini sangat berguna dalam situasi kecemasan yang melibatkan mangsa pengsan.
Sekiranya jantung berhenti berdegup disebabkan masalah aliran elektrik di dalam jantung, alat ini dapat membantu membetulkan semula aliran elektrik jantung dan mengembalikan degupan yang normal. Kajian menunjukkan kadar survival lebih tinggi jika AED digunakan lebih awal. Tahniah buat Stadium Sultan Ibrahim yang telah menyediakan 20 AED di perkarangan stadium.
Perlindungan perubatan
Setiap kali acara sukan dijalankan, pihak pengurusan akan memastikan terdapat perlindungan perubatan. Sebaiknya, pegawai perubatan atau paramedik yang dilantik untuk melakukan perlindungan perubatan perlu mempunyai latihan mencukupi.
Hal ini kerana kecederaan dan kecemasan ketika sukan boleh jadi sedikit berbeza. Contohnya, apabila seorang pemain bola sepak rebah dan pengsan selepas terjadi pelanggaran, pemain tersebut mesti dikeluarkan dan tidak boleh dibenarkan bermain walaupun selepas sedar.
Kondisi ini dinamakan ‘concussion’ atau gegaran otak. Namun, apa yang berlaku ketika perlawanan Sabah menentang Selangor FC sangatlah tidak wajar berulang. Pemain yang pengsan selepas pelanggaran, dibenarkan terus bermain oleh pegawai perubatan bertugas. Disarankan semua pihak yang ingin menjalankan perlindungan perubatan bagi acara sukan supaya mendapatkan latihan dan pendidikan yang berkaitan.
-- BERNAMA
Dr Abu Ubaidah Amir Bin Norazmi merupakan Pensyarah dan Pakar Perubatan Sukan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Dr Muhammad Harith Rosdi merupakan Pensyarah dan Pakar Perubatan Sukan, Jabatan Ortopedik, Traumatologi dan Rehabilitasi, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)