SUARA BELIA

Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035: Hala Tuju Pendidikan Inklusif

29/01/2026 12:25 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Hasnul Haniff Harun

Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 menandakan satu langkah penting dan berwawasan dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara agar lebih inklusif, progresif serta selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan Malaysia.

Pelan jangka panjang ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melakukan reformasi pendidikan secara menyeluruh, bukan sekadar bersifat kosmetik atau jangka pendek.

Prinsip ‘Tiada Yang Tertinggal’ yang menjadi teras kepada pelan ini wajar dipuji kerana ia memberi penekanan kepada akses pendidikan yang adil dan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat.

Pendidikan bukan sahaja menjadi asas pembangunan modal insan, malah berperanan sebagai pemangkin mobiliti sosial, pengukuh perpaduan nasional serta pemacu daya saing ekonomi negara.

Penekanan terhadap peluasan peluang pendidikan tinggi melalui peningkatan kuota pendidikan percuma dan biasiswa, termasuk penambahan penerima Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta peluasan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), merupakan langkah yang signifikan.

Tambahan 3,000 tempat IPTA bagi tahun 2026 khusus untuk pelajar cemerlang dan lepasan STPM dalam bidang strategik seperti Undang-Undang, Perakaunan, Kewangan, Ekonomi, Kecerdasan Buatan, Data Sains, Bahasa dan Komunikasi dilihat sejajar dengan keperluan tenaga mahir masa hadapan negara.

Aspek keterangkuman turut dizahirkan melalui inisiatif pendidikan percuma untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) merangkumi IPTA, politeknik dan kolej komuniti.

Langkah ini mencerminkan keprihatinan terhadap keadilan sosial serta hak pendidikan untuk semua, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan keterangkuman.

Sekolah Inspirasi Ke Arah Peningkatan Kualiti Sistem Pendidikan

Dalam konteks pendidikan sekolah, pelaksanaan Reformasi Sekolah Kebangsaan melalui pemilihan Sekolah Inspirasi di setiap daerah memberi isyarat jelas ke arah peningkatan kualiti pengurusan, prasarana dan pengajaran.

Penekanan terhadap penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting bagi memastikan keseimbangan antara pembinaan jati diri nasional dan keperluan global.

Pengenalan dan peluasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seawal peringkat sekolah rendah hingga menengah pula merupakan satu pembaharuan yang progresif.

Pendekatan ini bukan sahaja berpotensi mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET, malah membuka laluan kerjaya yang lebih fleksibel, relevan dan berdaya saing kepada generasi muda, khususnya dalam bidang teknologi dan digital.

Pelaksanaan penilaian pembelajaran baharu yang ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan juga dilihat sebagai satu langkah ke hadapan.

Pendekatan yang lebih holistik ini diyakini mampu menilai keupayaan sebenar murid secara lebih menyeluruh, tidak lagi tertumpu kepada peperiksaan semata-mata.

Pelaksanaan secara berperingkat bermula Tahun 4 pada 2026 dan Tingkatan 3 pada 2027 menunjukkan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan perubahan secara terancang dan bertanggungjawab.

Keputusan membenarkan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun secara sukarela bermula 2027 pula memberi fleksibiliti kepada ibu bapa serta mengiktiraf kepelbagaian tahap perkembangan kanak-kanak dalam sistem pendidikan formal.

Dalam usaha memperkukuh pembinaan negara bangsa, dasar mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan bagi semua jenis sekolah dilihat penting dalam memastikan setiap pelajar yang menuntut di Malaysia memiliki kefahaman yang kukuh terhadap bahasa kebangsaan, sejarah serta nilai kenegaraan.

Peruntukan RM100 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih bilik guru turut mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan penting warga pendidik.

Kebajikan dan kesejahteraan guru perlu terus diberi keutamaan kerana persekitaran kerja yang kondusif mempunyai hubungan langsung dengan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Secara keseluruhannya, kejayaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 amat bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, pemantauan berterusan serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

Suara masyarakat, termasuk golongan belia, ibu bapa, pendidik dan sektor swasta, wajar terus diraikan bagi memastikan pelan ini benar-benar memberi impak di peringkat akar umbi.

Pendidikan adalah tanggungjawab bersama.

Melalui komitmen kolektif dan kesungguhan semua pihak, pelan ini berpotensi melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak, berkemahiran serta bersedia memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan dan gemilang.

-- BERNAMA

Hasnul Haniff Harun (hanifuia@gmail.com) ialah Naib Presiden Majlis Belia Malaysia/Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan & Pembangunan Bakat MBM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)