TINTA MINDA

KEBERSIHAN PERSEKITARAN DAN COVID-19

02/08/2021 09:12 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr. Azwatee Abdul Aziz dan Prof Madya Dr. Normaliza Ab Malik

Seluruh rakyat dunia amnya dan Malaysia khususnya masih lagi berdepan dengan wabak koronavirus atau COVID-19 ini. Penjarakan sosial dan kekerapan membersihkan tangan yang diamalkan oleh rakyat ketika pandemik ini merupakan sesuatu yang tidak asing lagi di mana masyarakat menjadikannya sebahagian daripada amalan dalam kehidupan seharian. Pemakaian pelitup hidung dan mulut sudah menjadi norma kehidupan pada masa ini bagi membendung penularan wabak yang merbahaya ini.

Norma Kehidupan Baharu

Ini merupakan budaya kehidupan baharu yang mungkin akan kekal sebagai rutin kehidupan sehinggalah wabak ini berkurangan atau terhapus sama sekali, kerana menyedari tentang kepentingannya dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga. Bagi mencegah dan mengurangkan penularan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya (KKM) masih terus menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) melalui pendekatan 3W (Wash, Wear, Warn) dan dengan mengelakkan 3S atau 3C iaitu jauhi kawasan yang Sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang Sempit (Confined space) dan elak Sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation). Langkah pencegahan ini berkaitan rapat dengan cara jangkitan virus corona ini.

Namun begitu, dalam mengamalkan SOP ini dalam kehidupan seharian, kita kerap kali terlepas pandang akan kebersihan persekitaran dan alat-alat kegunaan peribadi yang lain. Selain SOP, kebersihan persekitaran dan peralatan yang digunakan atau disentuh haruslah dibersihkan. Ini adalah kerana virus COVID-19 tidak hanya tersebar melalui pernafasan tetapi melalui tangan yang tidak dibersihkan bila mana ianya menyentuh mata, mulut dan hidung dengan permukaan yang telah dijangkiti. Lebih membimbangkan apabila kajian menunjukkan bahawa virus daripada mereka yang positif ini boleh berada di udara untuk satu jangkamasa tertentu.

Menjaga Persekitaran

Oleh yang demikian, amatlah penting untuk menjaga kebersihan persekitaran seperti kawasan persekitaran tempat kerja, di luar dan di dalam rumah, terutama persekitaran yang melibatkan keberadaan orang lain. Selain itu, kebersihan gadget atau peralatan yang sering digunakan terutamanya telefon pintar, tablet, dan komputer harus juga diambilkira bagi tujuan pembersihan.

Kebersihan kawasan dan alatan ini haruslah dipastikan bersih, sama ada melalui rutin pembersihan atau bila mana berlaku kontaminasi atau telah terdedah kepada mereka yang telah dijangkiti. Pembersihan ini dapat membantu dalam memastikan pernularan jangkitan ini boleh dicegah dan risiko jangkitan dapat dikurangkan.

Kadar kebersihan ini tidak harus diambil mudah kerana ianya boleh menjadi tempat pembiakan virus. Kajian menunjukkan bahawa virus COVID-19 ini boleh kekal hidup untuk satu jangka masa yang tertentu seperti lapan jam bagi permukaan kadbod dan 72 jam (bersamaan lima hari) pada permukaan seperti plastik dan keluli. Secara amnya, koronavirus boleh kekal hidup di permukaan selama dua jam sehingga sembilan hari bergantung kepada jenis permukaan. Oleh yang demikian, kebersihan permukaan yang berkesan dengan menggunakan bahan pembasmi kuman yang konsisten dan betul adalah amat disarankan bagi mengawal sebaran jangkitan virus ini.

Permukaan yang kerap disentuh seperti pemegang pintu atau tingkap, meja makan, alat kawalan jauh televisyen atau lengan kerusi, haruslah sentiasa dibersihkan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci nyahkuman permukaan yang sesuai bagi mengelak kerosakan pada permukaan alatan. Gunakan peralatan seperti mop, kain lap dan penyembur yang mengandungi bahan pembasmi kuman yang komersial kerana ianya mampu mengawal dan membunuh kuman.

Persekitaran Luar dan Dalam

Selain daripada itu, persekitaran luar dan dalam rumah atau tempat kerja yang bersih juga penting bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh menyebabkan penyakit denggi. Perlu diingatkan bahawa dalam situasi pandemik ini, negara turut juga mencatatkan bilangan kes denggi yang tinggi. Laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan peningkatan kes denggi sebanyak lapan peratus setiap minggu pada Januari hingga Jun 2020 dengan jumlah kes 48,584 dan 84 kematiaan.

Faktor utama yang mempengaruhi peningkatan kes demam denggi adalah persekitaran yang tidak bersih. Oleh itu, menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan memusnahkan tempat takungan air yang membolehkan nyamuk aedes membiak adalah penting bagi tujuan ini. Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan telah menunjukkkan penurunan bilangan kes denggi untuk tempoh yang sama pada tahun ini. Penurunan kes sebanyak 75 peratus dengan bilangan kes 12,188 dan sebanyak 91 peratus dengan bilangan kematian lapan kes.

Ini menunjukkan, masyarakat telah mengambil kesempatan PKP ini untuk membersihkan kawasan persekitaran. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut menyarankan masyarakat menjaga kebersihan persekitaran dan hapuskan segala tempat pembiakan nyamuk aedes ini agar kes denggi turut dibendung kerana ianya telah sekian lama menjadi beban kepada kesihatan awam di Malaysia.

Kesihatan Diri

Selain daripada memastikan kita terhindar daripada jangkitan COVID-19, kesihatan diri amnya juga perlu dijaga. Pakaian harian juga haruslah sentiasa bersih walaupun kita kekal sepanjang hari berada di rumah ketika PKP ini, di mana kita mungkin kurang berpeluh atau menyentuh benda-benda yang kotor. Selain daripada itu, kekemasan rumah juga harus dititikberatkan. Sekiranya rumah kediaman mempunyai hamparan permaidani, ianya haruslah dibersihkan dengan penyedut hampagas terlebih dahulu sebelum menyembur cecair pembasmi atau penyahkuman. Disarankan agar hamparan dan permukaan lain dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Amalan mementingkan kekemasan persekitaran di dalam dan di luar rumah juga merupakan faktor yang penting bagi menjalankan kehidupan yang lebih sihat dan ceria.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa kelangsungan hidup menjadi faktor utama di dalam kotak pemikiran masyarakat pada ketika ini di mana masalah ekonomi diri serta keluarga yang semakin meruncing semenjak pandemik ini melanda dunia, daripada memikirkan perkara ‘remeh’ seperti ini. Namun begitu, kita tidak mempunyai banyak pilihan. Setiap individu haruslah mementingkan aspek kebersihan dan perlu hidup secara sihat serta mengamalkan kebersihan diri pada tahap yang maksimum. Masyarakat harus sedar bahawa apa yang lebih penting dilakukan pada tahap ini ialah menjaga kesihatan diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling kita.

Pematuhan SOP dan amalan kebersihan yang tinggi perlu diutamakan. Tanpa kita sedari, tempat yang sentiasa disentuh dalam kehidupan seharian kita boleh menjadi tempat penyebaran virus. Persekitaran yang bersih bukan sahaja membuatkan setiap penghuni berasa selesa malah mendapat ketenangan fikiran dan kebahagiaan jiwa serta dapat menjalani kehidupan harian yang lebih sihat. Oleh, itu marilah kita sama-sama menjaga dan peka terhadap keadaan dan kebersihan peralatan, serta kawasan persekitaran supaya jangkitan COVID-19 dan denggi dapat dibendung bersama.

-- BERNAMA

Dr. Azwatee Abdul Aziz merupakan Pensyarah Kanan dan Pakar Klinikal, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM).

Prof Madya Dr. Normaliza Ab Malik merupakan Pensyarah dan Pakar Klinikal Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)