NOTA KAMPUS

 PERANAN KOLEKTIF MAJIKAN TINGKAT KESEJAHTERAAN MENTAL PEKERJA

09/08/2021 08:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Wan Munira Wan Jaafar dan Dr Muhammad Aiman Arifin

Penularan pandemik COVID-19 di Malaysia sejak tahun lepas turut mengubah kehidupan rakyat. Beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara tidak langsung mengubah norma bekerja dalam kalangan 1.64 juta pekerja sektor awam dan 13 juta pekerja sektor swasta sehingga memberi kesan terhadap tahap kesihatan mental.

Sejak kebelakangan ini, kerap tular kisah di media sosial berkait isu kesihatan mental yang dihadapi rakyat dan mendapat simpati banyak pihak.

Tekanan akibat COVID-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO mendefinasikan kesihatan mental sebagai keadaan kesejahteraan yang mana setiap individu menyedari potensi diri serta dapat mengatasi tekanan hidup yang normal, bekerja dengan produktif dan memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Ini menunjukkan betapa penting peranan seseorang individu dalam masyarakat sebagai pekerja.

Namun, apakah pula peranan yang sewajarnya dimainkan pihak majikan khususnya dalam menangani isu kesihatan mental yang dihadapi pekerja ketika ini daripada berterusan?

Tinjauan di peringkat global oleh Mc. Kinsey & Co pada tahun ini melaporkan, satu pertiga responden pekerja mengalami kegelisahan terhadap pemberhentian pekerja sejak bermulanya wabak ini, 28 peratus dilaporkan mengalami kemurungan, 21 peratus (tekanan terhadap penjagaan anak) dan 20 peratus (kesihatan orang tersayang).

Tinjauan lain oleh firma penyelidikan pasaran dan perundingan antarabangsa (Ipsos) terkini menunjukkan, Malaysia merekodkan tahap keresahan dan tekanan tertinggi berbanding 27 negara lain akibat wabak COVID-19. Tekanan keluarga, perubahan rutin dan kebimbangan melibatkan aspek kelangsungan kerjaya juga dialami oleh pekerja yang terkesan.

Hasil tinjauan tersebut juga menunjukkan, tekanan akibat perubahan rutin dan organisasi mencatatkan 67 peratus iaitu lebih tinggi berbanding pada peringkat dunia yang mencatatkan 55 peratus.

Tidak cukup sekadar itu, laporan global Employement Hero pada tahun ini berkenaan kesan pandemik COVID-19 melibatkan 1,000 majikan dan pekerja mendapati, 71 peratus pekerja Malaysia mengalami kebimbangan tentang kesihatan mental mereka. Selain itu, hanya 56 peratus bersetuju majikan telah menyokong kesihatan mental mereka.

Statistik terkini ini jelas membuktikan bahawa isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja ketika pandemik COVID-19 bukan hanya isu pada peringkat global tetapi melibatkan pekerja di Malaysia dan perlu diambil tindakan segera oleh majikan.

Peranan majikan

Atas kepentingan isu ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak Januari 2020 telah mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan mental, sokongan psikososial serta talian sokongan psikososial kepada petugas kesihatan yang mengalami isu kelesuan mental.

Langkah KKM ini sewarnya dijadikan contoh kepada majikan perkhidmatan awam dan swasta yang lain di Malaysia khususnya sektor-sektor yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994).

Akan tetapi, melihat kepada AKKP 1994 sedia ada ketika ini masih belum memadai bagi membantu pihak majikan dalam menangani isu berkait dengan aspek kesihatan mental pekerja.

Bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye sebelum ini menjelaskan tiada peruntukan spesifik berkenaan kesihatan mental di bawah AKKP 1994. Isu kesihatan mental melibatkan sektor-sektor pekerjaan adalah di bawah bidang kuasa KKM.

Ini bermaksud, sebarang isu kesihatan mental di tempat kerja melibatkan sektor-sektor dalam Jadual Pertama AKKP 1994, kesemuanya akan dirujuk kepada KKM. Tambahan pula, masalah kesihatan mental bukan hanya berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) sahaja dan boleh menyebabkan kemalangan.

Namun, implikasi kesihatan mental dalam kalangan pekerja ini tidak boleh dipandang ringan. Pengabaian aspek kesihatan mental boleh menjejaskan tahap produktiviti, merugikan organisasi dan negara pada masa hadapan. Ini dibuktikan melalui rekod kesihatan mental yang diterima di tempat kerja yang semakin meningkat setiap tahun.

Apa pun, ketiadaan pindaan baru di dalam AKKP 1994 sedia ada tidak wajar dijadikan sebab utama sehingga majikan terus mengabaikan isu kesihatan mental yang dihadapi pekerja. Lantas, apa peranan majikan?

Datuk Wilson Ugak Kumbong yang merupakan Pengerusi NIOSH baharu menggalakkan supaya semua majikan menyediakan langkah berkesan kepada pekerja yang terjejas akibat isu kesihatan mental.

Mc. Kinsey & Co dalam mengulas isu yang sama pula berpendapat, usaha memastikan kesejahteraan mental di tempat kerja bukanlah sesuatu yang akan dicapai dalam sekelip mata.

Katanya usaha kolektif majikan adalah titik permulaan yang diperlukan untuk mewujudkan budaya kerja yang lebih baik ketika pandemik COVID-19.

Sebagai majikan, tindakan boleh diambil termasuk menjadikan isu kesihatan mental sebagai keutamaan ketika pandemik COVID-19. Ini boleh dicapai di bawah pendekatan kepimpinan melalui teladan, komitmen yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan atasan, melantik pegawai khas yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan pekerja, dan memupuk komunikasi secara terbuka bersama pekerja.

Ilmu asas psikologi

Pemimipin setiap jabatan juga perlu dilatih ilmu asas psikologi dalam memahami perubahan tingkah laku pekerja terutama tanda awal mereka yang mengalami masalah kesihatan mental.

Selain itu, majikan boleh memberi sokongan kesihatan mental dengan menawarkan faedah kesihatan mental yang setara dengan faedah kesihatan fizikal, dan pada yang sama memastikan adanya akses mudah ke dalam platform bagi pekerja berkongsi isu peribadi yang dihadapi dari semasa ke semasa.

Bagi memupuk budaya kerja yang inklusif, pelaksanaan kempen untuk mengurangkan stigma yang menghalang pekerja daripada meminta pertolongan juga perlu diperluaskan. Gunakan tinjauan rutin untuk memantau kesihatan mental dan kesejahteraan pekerja dan menilai segala faedah yang ditawarkan ketika ini adakah ia memenuhi keperluan dan cabaran pekerja.

Majikan juga disaran untuk segera membangunkan indeks kesejahteraan dengan fokus diberikan kepada sasaran prestasi sebagai maklum balas tanda komitmen organisasi serta sifat bertanggungjawab majikan dalam menjaga pekerja.

Di dalam konteks bidang gender dan sumber manusia, pendekatan dalam memahami isu ini lebih efektif jika kesemua majikan memahami konsep “One size does not fit all”. Konsep ini sememangnya sangat tepat dalam memahami cabaran yang dihadapi ketika ini oleh setiap individu pekerja yang mana kesannya tidak sama antara satu sama lain dan tidak boleh dipukul sama rata.

Sebagai contoh, golongan wanita bekerja yang berkeluarga ketika ini dilihat lebih terkesan apabila perlu bekerja dari rumah, menguruskan rumah tangga, memantau PdPR anak dan pada masa yang sama perlu melunaskan tanggungjawab kepada majikan.

Ini disebabkan rutin harian yang berlaku secara serentak tersebut akan mengehadkan kesimbangan kerja dan kehidupan yang diperlukan sehingga amalan bekerja dari rumah kini mula memperlihatkan sisi negatif.

Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GKK Consultants Sdn Bhd, Gajendra Balasingham apabila beberapa jenis aduan diterima termasuk pekerja menerima desakan majikan, mengorbankan masa peribadi dan kurangnya kesimbangan kerja dan kehidupan.

Norma baharu

Dalam era pandemik COVID-19, ungkapan popular ‘norma baharu’ telah menggambarkan situasi ini dengan tepat, yang mana organisasi perlu menyuntik amalan organisasi yang baharu agar beroperasi dengan lebih dinamik dalam menguruskan sumber manusia.

Menyentuh berkenaan AKKP 1994 sedia ada, beberapa pindaan dan penambahbaikan terhadap AKKP 1994 juga wajar dipertimbangkan bagi memperkasakan kesihatan mental dalam sektor pekerjaan.

Ini penting bagi memastikan majikan dan pekerja dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu dengan lebih berkesan terutama dalam persekitaran bekerja secara hibrid, iaitu berada di rumah atau di pejabat.

Pertama, istilah perkataan “kesihatan” perlu diperhalusi dan diperjelaskan lagi dalam Seksyen 3 AKKP 1994 yang merangkumi aspek mental dan fizikal. Ini selari dengan definasi ‘kesihatan’ oleh WHO yang sememangnya mempunyai tiga komponen utama iaitu mental, fizikal serta kesejahteraan emosi.

Kedua, memandangkan Prosedur operasi standard (SOP) tidak diterangkan dalam AKKP 1994 sedia ada, maka ia perlu ditambah baik secara jelas untuk dipatuhi pihak majikan dan pekerja demi kesejahteraan mental di tempat kerja.

Bagaimanpun, statistik laporan Global Employment Hero turut merekodkan 74 peratus majikan percaya bahawa mereka menyokong isu kesihatan mental yang dihadapi pekerja ketika ini.

Ini secara tidak langsung memberi sedikit gambaran positif bahawa tidak semua majikan mengabaikan tanggungjawab mereka dalam mengurus isu ini meskipun ianya dinafikan segelintir pekerja.

Sememangnya perjuangan kita melawan COVID-19 belum berakhir dan kita perlu terus bersatu. Cabaran utama majikan dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja adalah dengan memastikan fungsi dalaman yang berhubung kait dengan pengurusan aspek kesihatan mental pekerja ketika ini berada pada tahap optimum dan memenuhi keperluan semasa.

Peranan majikan ketika ini diibaratkan sebagai ‘tulang belakang’ dalam menyokong kesejahteraan mental pekerja agar sentiasa berada pada tahap terbaik mendepani cabaran pandemik COVID-19 seterusnya merealisasikan visi dan misi organisasi pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Dr Wan Munira Wan Jaafar merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor dan Dr Muhammad Aiman Arifin ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Arau, Perlis.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)