KETAMADUNAN

MAAL HIJRAH 1443: HADIR DALAM KONDISI COVID-19

13/08/2021 08:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh :Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin

Pada tahun ini umat Islam seluruh dunia menanti ketibaan Maal Hijrah untuk tahun ke-1443 dalam kondisi wabak COVID-19 yang sedang melanda. Bulan Muharam menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah tamadun Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Khalifah Umar Al-Khattab telah menetapkan 1 Muharam sebagai hari pertama bagi setiap tahun baharu dalam takwim Hijrah. Jika 1 Januari dijadikan cuti umum kerana menyambut kedatangan tahun baharu Masihi, maka awal Muharam juga ditetapkan sebagai cuti umum di negara ini. Peristiwa hijrah tersebut telah menjadi titik permulaan kepada terbinanya sebuah tamadun yang kukuh dan agama Islam terus subur berkembang sepanjang zaman walaupun menghadapi cabaran dan tentangan daripada musuh-musuhnya.

Pengaruh kepada kehidupan

Pada tahun ini sambutannya bertemakan “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” yang berpaksikan kepada tiga ciri utama iaitu Thaqafah (keilmuan), Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah (aktivisme). Sebelum wabak COVID-19 melanda, lazimnya pelbagai acara diadakan bagi mengisi sambutan Maal Hijrah sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri-negeri. Antaranya, memberi anugerah kepada individu yang banyak berjasa kepada syiar Islam dengan menobatkannya sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun berkenaan.

Media elektronik, radio dan televisyen turut berperanan menghidupkan sambutan hari berkenaan dengan menyiarkan berulang kali lagu berjudul “Maal Hijrah” yang sama tanpa jemu setiap tahun dan dianggap sudah sebati dengan kedatangan 1 Muharam. Malah ada yang menghafalnya. Antara kandungan lirik yang memberi makna adalah “Hijrah itu pengorbanan, Hijrah itu perjuangan, Hijrah itu persaudaraan, Hijrah membentuk perpaduan.”

Tentunya, melakukan penghijrahan memerlukan pengorbanan dan merupakan satu perjuangan untuk agama Islam. Dari sisi lain, penghijrahan mampu membina persaudaraan serta membentuk perpaduan sesama manusia sama ada sebangsa dan seagama atau sebaliknya. Hal ini diperkukuhkan dengan pandangan Tan Sri Dr. Abdullah Muhammad Zin (2016), bahawa tuntutan hijrah pada hari ini merupakan transformasi atau perubahan minda dan budaya hidup yang berteraskan ajaran Islam. Hijrah yang bersandarkan keimanan dan ketakwaan mampu mengubah landskap pegangan akidah, ibadah, akhlak, sosial dan ketamadunan serta masa depan ummah.

Penulis berkesempatan mewawancara Tokoh Maal Hijrah Tahun 2001 peringkat kebangsaan, Dato’ Wira Dr Ismail Ibrahim berkenaan sambutan hari penting dalam kalendar Islam ini. Beliau berpandangan bahawa asas penting yang menjiwai kejayaan Rasulullah SAW dalam usahanya menyatupadukan kaum-kaum di Madinah sehingga dapat diwujudkan Piagam Madinah pada masa itu ialah prinsip akhlak atau moral dan etika. Prinsip-prinsip ini yang terkandung dalam piagam berkenaan dihormati dan direalisasikan oleh semua pihak yang terlibat dengan perjanjian tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa, nilai akhlak serta etika mengikut ajaran agama Islam adalah merangkumi semua perlakuan dan tindakan manusia dalam segala aspek kehidupan. Hal ini meliputi pelaksanaan undang-undang agama, tradisi dan adat sesuatu kaum, juga segala tindakan manusia dalam hubungan dengan Allah SWT serta hubungan dengan persekitaran termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Kejayaan dalam aspek kesatuan bangsa dan kaum, pembangunan kehidupan yang utuh dalam bidang ekonomi, sosial, politik dan lain-lain adalah bergantung kepada nilai-nilai akhlak dan etika yang dikongsi bersama oleh semua umat manusia.

Syiling peringatan

Kerajaan sememangnya memberi perhatian dan keutamaan kepada hal-ehwal Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Dalam kaitan sambutan Maal Hijrah ini, penulis ingin berkongsi mengenai syiling peringatan atau komemoratif sempena sambutan kedatangan abad ke-15 Hijrah yang pernah dihasilkan sebagai simbol pengiktirafan negara kepada peristiwa besar tersebut.

Maklumat menunjukkan pada 1 Muharam 1401 Hijrah bersamaan 11 November 1980, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan syiling peringatan yang sah diperlakukan sempena Abad Ke-15 Hijrah. Mungkin ramai khususnya generasi muda yang tidak mengetahui dan tidak pernah melihat akan kewujudan syiling peringatan tersebut.

Syiling peringatan ini diperbuat daripada logam tembaga-nikel, seberat 17gram dan mempunyai nilai muka RM1. Diameternya berukuran 33.40 milimeter dengan ketebalan 2.50 milimeter. Syiling ini telah dikeluarkan dengan kuantiti tempaan yang terhad iaitu 500,000 keping. Saiz syiling ini hampir sama dengan syiling RM1 keluaran BNM di antara tahun 1971 hingga 1986 yang pernah digunakan dalam edaran untuk urusan berjual beli.

Pada muka hadapan syiling ini memaparkan logo sambutan sedunia perayaan menyambut ketibaan Abad Ke-15 Hijrah. Kelihatan huruf Jawi "HA" bermaksud hijrah. Bangunan Kaabah dan menara Masjid Nabawi di Madinah pula melambangkan penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah dan titik permulaan pengiraan tahun Hijrah. Sarang labah-labah pula melambangkan perpaduan dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan dunia.


Pada bahagian belakang syiling peringatan ini memaparkan tulisan Jawi "Sambutan Abad Ke-15 Hijrah" yang diletakkan di bahagian atas syiling. Nilai muka $1 berada di bahagian tengah syiling dengan tulisan Jawi "1 Muharam 1401" di bahagian atasnya. Tulisan bahasa Jawi "Ringgit Malaysia" pula kelihatan di bahagian bawah syiling. Penelitian penulis menunjukkan duit syiling peringatan ini kali pertama dikeluarkan oleh BNM menggunakan tulisan Jawi.


Sangat menarik jika pembaca dapat memiliki syiling peringatan ini sebagai koleksi peribadi selain sebagai salah satu cara meraikan dan memperingati peristiwa hijrah Rasullullah SAW yang telah meninggalkan kesan besar kepada tamadun Islam dan umatnya.

-- BERNAMA

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan), Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai Negeri Sembilan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)