TINTA MINDA

CABARAN MEMBACA 21 MINIT 21 HARI 2021: TINGKAT KECINTAAN BAHASA KEBANGSAAN, SEMARAK PATRIOTISME

16/08/2021 07:47 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Hasnita Ibrahim, Mariati Mohd Arif dan Mohamad Letfee Ahmad

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa majoriti petugas bekerja dari rumah tidak menghalang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menganjurkan aktiviti membaca dalam kalangan petugasnya bersempena dengan program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2021-2030 dan Bulan Kebangsaan tahun ini. Penganjuran acara ‘Cabaran Membaca 21 Minit 21 Hari 2021’ oleh Kelab Bibliofil BERNAMA ini pastinya disambut baik oleh petugas. Selain memperkasakan Bahasa Kebangsaan, program ini juga dapat menanam semangat cintakan negara dan meningkatkan patriotisme setiap individu sama ada di bahagian pengurusan mahupun sokongan.

Walaupun tidak dapat dilaksanakan secara fizikal disebabkan pandemik COVID-19, Kelab Bibliofil BERNAMA serta Bahagian Pengurusan Pengetahuan dan Perpustakaan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program ini berharap aktiviti yang disusun dapat mencapai matlamat berkenaan. Unit Pembangunan Insan dan Latihan BERNAMA juga berkolaborasi menjayakan program ini manakala Bahagian Strategi Korporat, BERNAMA memberi tumpuan kepada urusan promosi.

Selain meningkatkan aktiviti membaca, program ini juga dapat menambah ilmu mengenai pembacaan dan berkongsi faedah membaca. Aktiviti ini merupakan satu daripada acara membentuk minda sihat dan ia boleh dijalankan secara santai bersama-sama keluarga di rumah. Di samping memperkasakan bahasa kebangsaan menerusi penggunaan Bahasa Melayu yang betul dalam komunikasi dan penulisan, amalan membaca yang menjadi teras program ini juga boleh menjadikan seseorang lebih gembira, sihat, produktif serta kreatif.

Buku Pakar Bibliofil Cetus Idea

Setakat artikel ini ditulis, hampir semua bahagian utama di BERNAMA telah mempunyai wakil dalam program yang diadakan bermula 1 hingga 21 Ogos depan. Program Cabaran Membaca 21 Minit 21 Hari 2021 ini dicetuskan daripada buku tulisan dan terbitan Dr. Zahrah Yunus berjudul ‘Projek Bibliofil: Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca’. Melalui aktiviti ini, Kelab Bibliofil BERNAMA ingin membuktikan bahawa mitos malas membaca boleh dihapuskan.

Kajian menunjukkan bahawa membaca berterusan dalam tempoh 21 hari selama 15 hingga 20 minit sehari akan mendorong seseorang menjadikan tabiat membaca sebagai satu amalan pada hari yang ke-22 dan seterusnya. Biblioterapi yang dikenali sebagai “terapi membaca” atau “terapi buku” adalah satu daripada terapi untuk merawat jiwa, emosi dan minda serta meningkatkan kecemerlangan diri tanpa memerlukan kos yang tinggi dan mudah diamalkan.

Sambutan Menggalakkan

Sejak pendaftaran dibuka pada 24 hingga 31 Julai lepas, lebih 70 orang telah mendaftar. Peserta dikehendaki mengemas kini dan melaporkan aktiviti harian iaitu membaca sebuah buku setebal lebih 100 halaman selama minimum 21 minit sehari daripada 1 hingga 21 Ogos. Peserta boleh memilih sebarang tajuk buku yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Bagi membantu peserta melaksanakan tugas mereka, pelbagai sesi perkongsian mengenai amalan membaca juga diadakan bagi memberi keyakinan kepada peserta untuk kekal dengan cabaran.

Setiap peserta layak menyertai tiga sesi perkongsian Ilmu dalam tempoh 21 hari tersebut iaitu Membaca Pantas oleh Ahmad Yazid Ahmad dari Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia pada 2 Ogos, Penggunaan Bahasa Melayu yang Betul oleh Mohamad Letfee Ahmad yang juga Ahli Jawatankuasa Kelab Bibliofil BERNAMA pada 11 Ogos dan Panduan Membaca oleh Dr. Zahrah Yunus pada 20 Ogos.

Kemuncak acara ialah Pertandingan Ulasan Buku yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada 16 Sept iaitu sambutan Hari Malaysia.

Sebagai program yang julung kali diadakan sempena DBK dan sambutan Hari Kebangsaan, penganjur berharap segala matlamat penganjuran akan tercapai. Semoga peserta akan memanfaatkan setiap sesi perkongsian ilmu dan menjadikan tabiat membaca sebagai satu amalan yang berterusan, serta dapat menghasilkan karya penulisan dalam Bahasa Melayu dengan lebih baik sama ada untuk tugasan harian atau menghasilkan bahan berita.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atas inisiatif murni ini. Semoga aktiviti ini dapat dijadikan acara tahunan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia bagi menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Selamat menyambut hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

Hasnita Ibrahim merupakan Pengurus Maklumat, Bahagian Pengurusan Pengetahuan dan Perpustakaan BERNAMA dan Pengerusi Bersama Program Cabaran Membaca 21 Minit 21 Hari 2021

Mariati Mohd Arif merupakan Ketua Strategi Korporat BERNAMA dan Pengerusi Bersama Program Cabaran Membaca 21 Minit 21 Hari 2021

Mohamad Letfee Ahmad merupakan bekas Pengurus Program Bernama TV dan Ahli Jawatankuasa Kelab Bibliofil BERNAMA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)


(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)