NOTA KAMPUS

HAYATI KEMERDEKAAN DENGAN SEMANGAT ‘MALAYSIA PRIHATIN’

16/09/2021 10:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini masih mengekalkan tema ‘Malaysia Prihatin’. Tema ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi krisis COVID-19. Selain itu, ia juga bersesuaian dengan hasrat kerajaan melahirkan masyarakat penyayang yang sentiasa bersedia membantu negara dalam memerangi pandemik ini. COVID-19 seakan-akan sebuah gelombang tsunami yang membawa perubahan besar kepada sistem pendidikan, sosiologi masyarakat serta kestabilan ekonomi rakyat.

Usaha memerdekakan Malaysia daripada ancaman COVID-19 memerlukan paduan tenaga dan sokongan daripada semua pihak termasuk badan kerajaan, organisasi swasta serta masyarakat pelbagai lapisan. Institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara yang juga terkesan dengan kehadiran pandemik ini turut sama bergerak secara mampan dalam mendepani cabaran serta menerima apa jua ledakan perubahan.

Sejak tahun 2020 lagi, pelbagai proses transformasi telah dilalui oleh universiti dalam menyesuaikan peranan masing-masing dengan keperluan masyarakat dan kerajaan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai contoh, telah melalui pelbagai perubahan daripada segi pelaksananaan proses pembelajaran, aktiviti penyelidikan serta kemasyarakatan. Namun, proses transformasi ini dilihat sebagai satu pengalaman positif dalam membentuk universiti sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang lebih tersedia, relevan, fleksibel dan terus beradaptasi dengan pelbagai isu serta keperluan semasa.

Justeru, dalam usaha memerdekakan negara dari ancaman COVID-19, UKM telah bertindak mengukuhkan ekosistem universiti melalui pembentukan sebuah kerangka asas dan teras pentadbiran yang lebih fleksibel, transformasi prasarana sedia ada bagi memenuhi keperluan di sektor kesihatan serta merancakkan aktiviti perkongsian ilmu dan kepakaran demi mencapai kesejahteraan masyarakat. Ini sejajar dengan slogan ‘Malaysia Prihatin’ yang menjadi tema kemerdekaan pada tahun ini.

Pengukuhan dasar prihatin

Perubahan gaya hidup dan sosioekonomi masyarakat telah mendesak universiti untuk melihat semula kerangka asas serta teras pentadbiran sedia ada. Keperluan menterjemahkan dan memperincikan dasar universiti kepada bentuk fizikal yang lebih praktikal dilihat sebagai sesuatu yang penting dalam merencanakan perjalanan organisasi agar lebih relevan dengan situasi hari ini. Justeru, di bawah satu kerangka asas pentadbiran baharu yang dinamakan sebagai TERAS, UKM telah menggariskan beberapa prakarsa yang mengambilkira elemen prihatin sebagai salah satu nilai kebitaraan utama. Prakarsa ini adalah bersesuaian dengan tema ‘Malaysia Prihatin’ yang menjadi asas penghayatan kemerdekaan kita pada tahun 2020 dan 2021.

Sebagai universiti watan, UKM terpanggil untuk turut sama menyumbang kepada golongan masyarakat yang terkesan dengan krisis COVID-19. Program peningkatan pendapatan isi rumah bagi keluarga berpendapatan kecil yang terjejas akibat kesan pandemik Covid-19 sebagai contoh, telah dilaksanakan bagi membantu keluarga yang terkesan untuk menjana pendapatan tambahan bagi menampung keperluan harian mereka.

Melalui Program Misi Bantuan Kasih hasil inisiatif Pusat Perhubungan Alumni UKM pula, sejumlah dana melebihi RM80,000 telah berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada lebih daripada 1000 buah keluarga di sekitar negeri Kelantan, Selangor dan Pahang yang terjejas akibat COVID-19 bagi meringankan beban kewangan mangsa COVID-19.

Hasrat memasyarakatkan universiti merupakan satu panggilan penting kepada dunia akademik agar lebih mendekatkan diri dengan komuniti. Universiti sewajarnya menjadi laman yang terbuka kepada setiap lapisan masyarakat. Sesuai dengan konsep penubuhannya universiti watan, UKM berperanan menjana, menyebar serta menerapkan ilmu secara strategik dan inovatif bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa demi kemakmuran masyarakat. Pendekatan Quadruple Helix yang diguna pakai memerlukan hubung jalin yang kukuh antara universiti, agensi kerajaan, badan berkanun pihak industri serta masyarakat.

UKM sentiasa prihatin terhadap isu pembangunan masyarakat dan sering memastikan semangat kebangsaan serta aspirasi rakyat terus menjadi agenda perjuangannya yang utama. Selain itu, ia sentiasa memupuk jiwa empati, prihatin dan altruisme melalui aktiviti kemasyarakatan bersama mahasiswa. Penterjemahan dasar yang merangkumi padanan prinsip dengan amalan terbaik merupakan satu inisiatif yang penting dalam membentuk universiti sebagai sebuah medan penyebaran ilmu yang seimbang dari segi intelektual dan kerohanian. Inilah intipati kemerdekaan yang sebenar. Jiwa yang merdeka seharusnya mencintai negara dengan setulus hati serta mengenepikan kepentingan sendiri demi kesejahteraan bersama. Melalui konsep keimanan, ilmu yang diajar di UKM adalah berteraskan ketuhanan, nilai-nilai murni dan kesedaran tentang tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Justeru, universiti sebagai peneraju ilmu wajar memainkan peranan dalam menerapkan pendidikan secara holistik kepada semua warganya, lebih-lebih lagi dalam situasi yang sangat mencabar ini.

Transformasi prasarana universiti

Penglibatan UKM sebagai sebuah pusat penyelidikan berimpak global yang berteraskan acuan kebangsaan adalah sejajar dengan seruan kerajaan untuk melahirkan masyarakat prihatin yang sentiasa peka terhadap keperluan bersama. Justeru, selain penterjemahan dasar kepada pendekatan praktikal yang mesra rakyat, UKM, melalui institusi-institusi perubatan tertentu juga telah melalui beberapa proses transformasi penting yang mencatat sejarah tersendiri.

Usaha membantu kerajaan memerangi COVID-19 sebenarnya sudah bermula seawal tahun 2020 lagi. Beberapa inisiatif telah dilaksanakan dalam membantu mengurangkan beban negara yang sememangnya memerlukan sokongan daripada kita semua. Sebagai contoh, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM telah beroperasi sebagai sebuah institusi perubatan yang mengendalikan kes pesakit dan ujian saringan semenjak gelombang COVID-19 yang pertama melanda negara ini. HCTM juga merupakan PPV kedua di Malaysia yang telah menyediakan khidmat pemberian vaksin secara pandu lalu, selepas Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Institut Perubatan Molekul UKM atau UMBI pula telah menubuhkan Makmal Diagnostik COVID-19 dan mula beroperasi sejak April 2020 melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Sementara itu, Pusat Pemberian Vaksin UKM (PPV IPT@UKM) yang dibuka pada 5 Mei 2021 telah memberi lebih daripada 100,000 dos vaksin kepada orang ramai.

Transformasi Hospital Pakar Kanak-Kanak kepada hospital COVID-19 pula merupakan satu lagi sumbangan UKM kepada masyarakat dalam usaha memerdekakan negara daripada serangan COVID-19. Terkini, Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) yang dianggotai oleh pasukan perubatan HCTM UKM sedang giat menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin secara bergerak di seluruh negara. PPV bergerak HCTM ini juga merupakan inisiatif yang pertama dalam kalangan IPT di Malaysia. Pasukan ini telah menjelajah beberapa negeri di selatan tanah air seperti Johor dan Negeri Sembilan dan kini sedang bersiap sedia untuk memperluaskan perkhidmatan mereka ke utara tanah air pula.

Pengoperasian prasarana secara berterusan, walaubagaimanapun, tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sokongan pendanaan daripada kerajaan dan orang ramai.

Dalam usaha UKM meneruskan operasi PPV serta hospital COVID-19, bantuan daripada pelbagai pihak sentiasa hadir tanpa diduga. Bantuan seperti makanan kepada petugas kesihatan dan sukarelawan, keperluan perubatan serta ratusan kerusi roda yang disalurkan oleh pelbagai pihak seperti organisasi swasta dan kerajaan, badan sukarelawan, serta orang perseorangan menyuntik semangat warga universiti terus berbakti. Bantuan daripada para alumni yang disalurkan melalui Pusat Perhubungan Alumni UKM seperti Portable Oxygen Concentrator dan juga Powered Air Purifying Respirator yang bernilai lebih daripada RM400,000 pula seakan menjadi penyambung nyawa kepada pihak hospital dan para petugas kesihatan untuk meneruskan perjuangan mereka.

Sememangnya kemerdekaan yang bakal dikecapi nanti merupakan hasil daripada penyatuan masyarakat yang sentiasa bersatu hati dalam mendepani ujian yang getir ini. Dengan memaksimumkan peranan dan fungsi prasarana yang sedia ada, UKM akan sentiasa berusaha untuk memantapkan perkhidmatan melalui kerjasama semua tenaga kerja kesihatan universiti, yang terdiri daripada pegawai perubatan, pensyarah perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan juga para sukarelawan.

Perkongsian kepakaran

Sedang negara bergelut dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19, timbul pula isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan golongan muda. Sesungguhnya, COVID-19 benar-benar sedang menguji kita semua. Masalah kesihatan mental yang sering menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar menggamit keresahan guru-guru, keluarga serta ibu bapa. UKM terpanggil untuk turut sama membantu melalui aktiviti perkongsian ilmu kepakaran psikologi klinikal dan kesihatan mental. Pelbagai program yang secara khususnya dapat membantu membendung masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat telah dijalankan oleh pakar-pakar psikologi universiti. Antaranya ialah siri Program Khidmat Kaunseling dan Bantuan Psikologi anjuran Klinik Psikologi dan Konsultansi (PKPK) di bawah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.

Kehidupan norma baharu yang menekankan aspek isolasi sosial sememangnya mengundang pelbagai isu psikologi dan trauma emosi seperti kemurungan, konflik rumahtangga, masalah komunikasi dan sebagainya. Pakar-pakar psikologi semenjak awal lagi telah meramal kesan daripada perubahan gaya hidup yang mendadak ini. Justeru, antara inisiatif lain yang telah diambil oleh PKPK adalah Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) yang dilaksanakan kepada seluruh masyarakat Malaysia sejak negara dilanda pandemik. Antara intipati program adalah menyediakan perkhidmatan e-counselling dan e-psychology kepada pesakit untuk memastikan kesejahteraan psikologi mereka kekal terpelihara dalam apa jua situasi. Bukan setakat pelajar, program khidmat kaunseling dan bantuan psikologi juga menyediakan sokongan kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi kepada warga UKM dan orang awam yang terkesan dengan krisis pandemik ini. Selain itu, beberapa siri bicara live melalui media social seperti Facebook juga giat dijalankan semenjak April 2020. Sehingga kini, sebanyak 12 siri Tips tentang Kesejahteraan dan Kesihatan Mental telah pun dilaksanakan. Siri ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat, dengan jumlah tontonan mencecah 5500.

Kebitaraan UKM sebagai sebuah universiti watan yang prihatin dan mesra rakyat dapat dizahirkan dengan memperkasakan potensi warga universiti agar mereka sentiasa komited untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara. Usaha berterusan juga akan sentiasa dilakukan bagi menyediakan infrastruktur yang kondusif serta kualiti perkhidmatan yang lebih baik bagi mencapai hasrat UKM untuk menjadi sebuah universiti yang mesra komuniti.Sebagai warga UKM yang mempunyai jati diri kebangsaan dan bersemangat dengan iltizam untuk membangunkan masyarakat dan negara, UKM sentiasa menggalakkan semua warga universiti untuk memperkasakan segala kapasiti yang ada bagi mencapai kesejahteraan bersama.

Sesungguhnya, kita masih belum menang. Namun begitu, dengan usaha dan sokongan bersama, peperangan menentang COVID-19 ini pasti akan tiba ke penghujungnya. Justeru, marilah sama-sama kita menyahut seruan ‘Malaysia Prihatin’ ini dengan penuh penghayatan. Kemerdekaan yang diperolehi hasil daripada keperihatinan serta pengorbanan yang dilakukan bersama-sama pastinya akan mengukir satu lagi kejayaan yang cukup bermakna buat negara.

-- BERNAMA

Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman merupakan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)