PENA WANITA

PEMBANTUTAN KANAK-KANAK : PERLU SOLUSI SEGERA!

06/10/2021 09:38 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman

Secara umumnya, terdapat empat situasi malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak iaitu kurang berat badan (underweight), tersusut (wasting), terbantut (stunting) dan obesiti/berat badan berlebihan (obesity/overweight). Namun, malnutrisi berganda (double burden malnutrition) dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun didapati merupakan salah satu masalah utama di peringkat global yang memerlukan perhatian sewajarnya.

Tren malnutrisi kanak-kanak di Malaysia

Di Malaysia, terdapat peningkatan tren malnutrisi berganda dalam kalangan kanak-kanak sama ada berat badan berlebihan atau kekurangan zat makanan. Isu terbantut didapati semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia dan merupakan isu malnutrisi yang perlu diberi perhatian sewajarnya. Justeru itu, fokus isu kesihatan untuk masyarakat sejahtera, sihat dan selamat ialah isu terbantut dalam kalangan kanak-kanak keluarga B40. Cadangan advokasi dan modul solusi yang berkesan perlu dikenalpasti untuk mengatasi isu ini. Hal ini kerana, terbantut dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan kekurangan zat makanan kronik dan jika berpanjangan boleh meningkatkan risiko morbiditi (berpenyakit) dan mortaliti (kematian).

Di Malaysia, peratus kanak-kanak terbantut telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Data daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS, 2016) menunjukkan peratus kanak-kanak terbantut telah meningkat dari 8.9 peratus pada 2006 kepada 14 peratus pada 2016. Manakala, peningkatan peratusan kanak-kanak terbantut yang berumur 12-23 bulan adalah menunjukkan sekali ganda pertambahan iaitu daripada 8.9 peratus menjadi 17 peratus. Peratus kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang terbantut telah meningkat daripada 17.5 peratus kepada 20.5 peratus dalam tempoh yang sama (10 tahun). Manakala pada 2019 NHMS melaporkan peratus terbantut dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun telah meningkat kepada 21.8 peratus.

Rajah 1 menunjukan peratus kanak-kanak terbantut di bawah umur 5 tahun di Malaysia. Semua negeri menunjukkan peratus yang melebihi 6.9 peratus (tanda aras bagi negara berpendapatan sederhana tinggi) (World bank, 2018). Negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan (34.0%), Terengganu (26.1%) dan Pahang (25.0%) mempunyai peratus kanak-kanak terbantut melebihi peratus terbantut di peringkat nasional (20.7%).

Putrajaya menduduki tempat keempat tertinggi peratus kanak-kanak terbantut, walaupun menduduki tempat kedua negeri terkaya di Malaysia berdasarkan pendapatan penengah (median income).


Rajah 1: Peratus Kanak-Kanak Terbantut Berumur Bawah 5 tahun

Mengikut Negeri (NHMS, 2016) (Derek, 2019)

Isu terbantut berlaku juga kepada semua etnik di Malaysia dan ianya melebihi 6.9 peratus kes terbantut di negara berpendapatan sederhana tinggi (Rajah 2).


Rajah 2: Peratus Kanak-Kanak Terbantut berdasarkan

Kumpulan Etnik di Malaysia (Derek, 2019)

Seterusnya, Rajah 3 menunjukan isu terbantut berlaku di semua tahap pendapatan isi rumah. Bagaimanapun, ianya semakin serius dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah. Sebanyak 17.4 peratus kanak-kanak terbantut adalah daripada keluarga berpendapatan kurang RM5,000 yang wajar dikenalpasti puncanya. Hal ini kerana, ianya telah melebihi tanda aras bagi negara berpendapatan sederhana tinggi (6.9%).


Rajah 3: Peratus Terbantut berdasarkan Pendapatan Isi Rumah

(NHMS, 2016) (Derek, 2019)

Kesan pembantutan tumbesaran

Terbantut mempunyai kesan jangka panjang terhadap kehidupan individu dan masyarakat. Kanak-kanak terbantut akan mengalami gangguan pada pertumbuhan fizikal dan penurunan kognitif. Kanak-kanak terbantut akan mengalami penurunan produktiviti dan peningkatan risiko penyakit degeneratif/gangguan metabolik seperti diabetes jenis 2, darah tinggi dan penyakit kardiovaskular ketika dewasa.

Selain itu, kanak-kanak perempuan yang mengalami masalah terbantut atau kurang zat makanan akan meningkat dewasa menjadi seorang wanita yang mempunyai masalah kekurangan zat makanan. Seterusnya, sekiranya tidak ada peningkatan status pemakanan, wanita dewasa tersebut akan berkeluarga dan jika hamil, ia akan memberi kesan kepada bayi yang dilahirkan.

Sebagai contoh, bayi yang dilahirkan akan mempunyai berat lahir yang rendah (LBW) (<2.5kg). Bayi dilahirkan berat lahir yang rendah mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami kerencatan pertumbuhan, juga kebantutan di samping terdedah kepada jangkitan yang mempengaruhi status kesihatan. Keadaan ini boleh berterusan seperti satu kitaran yang terus berulang.

Secara keseluruhannya, isu terbantut berlaku meliputi semua negeri di Malaysia, kumpulan etnik dan tahap pendapatan. Terbantut mempunyai kesan yang berpanjangan kepada individu dan masyarakat dan akan berulang dalam kitaran hidup sekiranya tidak atasi.

Justeru itu, perhatian yang sewajarnya perlu diberikan kepada isu terbantut dalam kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di Malaysia. Bagi menangani isu terbantut, advokasi dan modul solusi yang tepat perlu dikenalpasti, di samping kerjasama melibatkan pihak berwajib, badan bukan kerajaan dan masyarakat perlu diperkasa.

-- BERNAMA

Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman merupakan Ketua Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)