Oleh : Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021 bagi merebut Piala Ketua Pesuruhjayanya. Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki, menganggap pertandingan itu dapat membentuk mahasiswa agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan berani menyuarakan pendapat berkenaan isu rasuah dan integriti.
Penulis berpandangan bahawa usaha penganjuran debat tersebut amat tepat sekali dalam usaha SPRM menarik golongan mahasiswa supaya cakna dengan isu rasuah yang berlaku dari semasa ke semasa di negara ini. Oleh itu, mahasiswa tidak sekadar menuntut ilmu di kampus sebaliknya berperanan dengan berganding bahu bersama pelbagai pihak di luar sana untuk membantu SPRM mencegah kegiatan rasuah di negara ini.
Pertandingan itu disertai 40 pasukan melibatkan 140 pendebat dari universiti awam dan swasta, institusit pendidikan guru dan institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Pada pertandingan akhir, pasukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjuarai debat tersebut mengalahkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Sejak sekian lama, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti dan IPT berganding bahu melatih dan mengasah bakat mahasiswa dalam aspek pengucapan awam seperti debat dan pidato. Kerap diadakan pertandingan tersebut di peringkat universiti/IPT juga kebangsaan. Malah, mereka yang terbaik berpeluang pula bersaing di peringkat antarabangsa seperti Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri.
Kemahiran insaniah
Dari sisi lain, aktiviti debat dan pidato merupakan pelantar komunikasi untuk melatih bakal pemimpin masa depan negara. Pemimpin bukan bermaksud dalam bidang politik semata-mata sebaliknya, merentasi bidang lain termasuk pemimpin organisasi, pemimpin syarikat, pemimpin badan bukan kerajaan dan sukarela.
Dalam dunia globalisasi tanpa sempadan serta penuh dengan persaingan tentunya mendorong mahasiswa untuk menguasai pelbagai aspek ilmu kepemimpinan termasuk kebolehan dan kemahiran insaniah yang tinggi.
Sememangnya aspek yang ditekankan oleh KPT dalam Modul pembangunan kemahiran insaniah (2006) ialah kepemimpinan yang boleh diasah melalui pelbagai aktiviti yang disertai seperti debat dan pidato. Tujuan kemahiran insaniah diperkenalkan kepada mahasiswa supaya dapat memberi nilai tambah kepada mereka selain kurikulum yang dipelajari.
Oleh itu, penulis berpandangan medium pengucapan awam seperti debat dan pidato sangat sesuai untuk mahasiswa mengayakan diri dalam pelbagai aspek termasuk kemahiran komunikasi, kebolehan berfikir dan berhujah secara kritis dan kreatif, meningkatkan keyakinan diri, minat membaca, membina ketrampilan diri serta beretika dan berdisplin.
Kemahiran komunikasi
Bakal pemimpin harus memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan dalam apa juga bahasa yang dikuasai semasa belajar di kampus. Melalui aktiviti debat atau pidato membuka peluang mahasiswa menyampaikan idea dengan jelas, berkesan dan berkeyakinan secara lisan dan bukan lisan, selain mendedahkan kepada pengalaman untuk menyuarakan persetujuan serta bangkangan. Aktiviti seumpama ini mampu membina kemahiran interpersonal, lisan dan bukan lisan, serta kemahiran mendengar.
Kemahiran berhujah
Sebagai mahasiswa sewajarnya memiliki pemikiran yang kritis agar berbeza dengan pemikiran mereka yang berada di luar kampus. Melalui aktiviti pengucapan awam, dapat membantu cara berfikir dan berhujah secara kritis dan kreatif.
Hal ini kerana, kemahiran tersebut mendidik mahasiswa dari segi kebolehan mengenal pasti dan menganalisis masalah serta membuat penilaian yang berjustifikasi. Pemikiran kritis mampu membantu mereka meningkatkan kemahiran berhujah seperti menjelaskan sesuatu idea, menganalisis data kajian atau menilai perbincangan.
Keyakinan diri
Banyak kajian serta pandangan majikan di industri menunjukkan satu daripada kelemahan ketara yang melingkari graduan ialah aspek keyakinan diri semasa temuduga. Mereka didapati kurang yakin apabila berhadapan dengan penemuduga.
Kelemahan itu termasuk kurang yakin apabila berhujah atau memberi pandangan di hadapan panel penemuduga. Oleh itu, penglibatan dalam aktiviti pengucapan awam mampu meningkatkan keyakinan diri mahasiswa yang dilihat sebagai antara faktor penentu mendapat pekerjaan.
Tingkatkan pembacaan
Penglibatan dalam aktiviti sedemikian memerlukan mahasiswa membaca dan merujuk pelbagai bahan khususnya yang berbentuk ilmiah. Setiap isu yang ingin diperdebatkan sama ada sebagai pihak pencadang atau pembangkang memerlukan maklumat dan data sokongan yang relevan bagi menguatkan hujah masing-masing. Bakal pemimpin yang berilmu pengetahuan serta bijaksana seharusnya menjadikan aktiviti membaca dan merujuk itu satu tabiat sepanjang masa.
Ketrampilan diri
Ketrampilan diri berperanan penting dalam menentukan keperibadian seseorang. Penyertaan dalam aktiviti debat atau pidato dapat mendidik pelajar dari segi penampilan dan imej yang merupakan antara ciri penting untuk menjadi seorang pemimpin.
Berpakaian kemas dan sopan, solekan pada wajah, kekemasan rambut serta kebersihan diri merupakan perkara yang perlu diberi perhatian. Penampilan kemas dan sopan semasa menyertai debat atau pidato merupakan komunikasi bukan lisan yang sangat penting dan mampu menarik perhatian orang lain. Malah aspek ini diberi perhatian oleh bakal majikan semasa menghadiri temuduga kerja.
Beretika dan berdisplin
Aktiviti debat dan pidato mendidik mahasiswa mengamalkan beberapa etika dan displin. Contohnya, kerjasama dalam pasukan, mengurus masa dan menggunakan bahasa sopan dalam hujah.
Melalui aktiviti ini ahli kumpulan dapat bekerja secara berpasukan, membina hubungan baik dan berinteraksi sesama ahli di samping mampu bekerja secara efektif untuk mencapai objektif yang sama. Malah, masing-masing dapat mengenali dan menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan ahli kumpulan dan akhirnya lebih mudah untuk menyelesaikan tugasan mereka.
Debat atau pidato juga dapat membantu mahasiswa mengurus masa dengan baik kerana dalam pertandingan setiap peserta tertakluk kepada tempoh masa yang ditetapkan. Oleh itu, dapat mendisiplinkan diri dalam mengurus dan menghargai masa.
Selain itu, aktiviti berkenaan dapat mendidik mahasiswa untuk mengamalkan bahasa sopan dalam menyampaikan hujah masing-masing. Lazimnya, orang lain menilai kita daripada apa yang dituturkan, malah akan dihormati jika menjaga tutur kata. Semua ini amat penting untuk menjadi seorang pemimpin yang beretika dan berdisplin.
Justeru, para mahasiswa yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin hebat pada masa depan perlu menyertai aktiviti pengucapan awam kerana ia memberi pendedahan banyak perkara positif yang mampu meningkatkan kualiti diri.
--BERNAMA
Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan), Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai Negeri Sembilan.