TINTA MINDA

KRISIS EMOSI PUNCA REMAJA MEMBULI

22/12/2021 02:45 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam

Oleh: Dr. Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam

Mutakhir ini kes buli melibatkan remaja kian meningkat. Pembukaan semula sesi persekolahan secara tidak langsung memberi ruang kepada pembuli mencari mangsa dan melepaskan gian mereka setelah lama berada di rumah. Sejak dua minggu kebelakangan ini, beberapa kes buli yang tular di media sosial melibatkan remaja sekolah telah menimbulkan kegusaran ramai.

Kecederaan fizikal dan trauma yang dialami oleh mangsa buli cukup memberi dampak negatif kepada perkembangan mereka sepanjang hayat. Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan tentang persekitaran selamat di sekolah pasca perintah kawalan pergerakan. Lebih merunsingkan, perilaku membuli ini boleh dijadikan satu petunjuk berlakunya krisis emosi dalam kalangan remaja.

Gagal kawal emosi akhirnya cetus situasi bahaya

Krisis emosi yang dimaksudkan merujuk kepada kegagalan remaja untuk mengawal atur, menilai dan mengadaptasi emosi diri terhadap persekitaran dengan baik. Akibatnya, mereka hilang kemampuan berfikir secara rasional dan pertimbangan diri akhirnya mencetuskan situasi yang berbahaya. Antara emosi yang seringkali dikaitkan dengan tingkah laku membuli adalah perasaan marah yang meluap-luap. Kebiasaannya, rasa marah itu tercetus sebagai satu reaksi normal manusia kepada perasaan kecewa, rasa tidak puas hati dan terganggu. Bahkan, apabila kanak-kanak menjengah usia remaja, emosi marah amat mudah dijentik.

Ahli psikologi terkenal iaitu G. Stanley Hall berpendapat bahawa adaptasi terhadap perubahan fizikal, pertambahan tanggungjawab, dan fasa “ribut dan tekanan” menyebabkan emosi remaja menjadi tidak stabil sehingga ada kalanya susah dikawal. Namun begitu, situasi ini tidak bermaksud cetusan emosi negatif seperti marah boleh dilempiaskan begitu sahaja, malahan emosi tersebut perlu dikawal atur dengan baik supaya konflik dengan rakan sebaya dapat dielakkan.

Kurang pemahaman dan tiada kemahiran terhadap emosi sosial

Krisis emosi yang dialami oleh pembuli remaja juga disebabkan oleh kurang kefahaman dan kemahiran mereka terhadap emosi sosial seperti empati, rasa serba salah dan malu. Emosi sosial merupakan satu aspek penting yang perlu diambil kira dalam memastikan remaja membesar secara normal dan positif. Rasa empati misalnya, membolehkan remaja merasai kesusahan atau penderitaan yang dialami oleh rakan sebaya.

Dengan meletakkan diri mereka dalam situasi orang lain, rasa sensitif terhadap kesusahan tersebut mampu memangkin tingkah laku prososial seperti tolong-menolong, bekerjasama, dan bersikap melindungi rakan sebaya daripada bahaya. Namun, kerap kali pembuli tidak sensitif terhadap emosi atau trauma yang dialami oleh mangsa mereka. Bahkan, mereka berasa seronok dan puas melihat penderitaan mangsa buli.

Rasa serba salah - pula mampu mendorong remaja untuk mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan berusaha memperbaiki hubungan dengan rakan sebaya. Penyelidikan juga telah membuktikan rasa serba salah sebagai satu ramuan penting dalam membina hubungan persahabatan yang berkualiti dan positif dengan rakan sebaya. Malangnya, emosi sosial ini seolah-olahnya ‘hilang’ atau ‘tidak wujud’ dalam diri pembuli. Ini menyebabkan pembuli sentiasa merasakan tindakan mereka mengasari dan mendatang kecederaan kepada mangsa adalah tindakan betul. Bahkan, ketiadaan rasa serba salah menyebabkan pembuli tidak menyesali tindakan yang mereka lakukan.

Perasaan malu yang cukup signifikan dalam budaya ketimuran juga berpotensi sebagai satu faktor penting yang dapat melindungi remaja daripada menjadi seorang pembuli. Di Malaysia, keharmonian merupakan satu elemen asas yang diterapkan dalam budaya kolektivisme yang meletakkan kepentingan keluarga, kejiranan dan masyarakat melebihi kepentingan peribadi. Dalam konteks budaya seperti ini, menjaga ‘air muka’ atau maruah keluarga adalah perlu untuk memastikan suasana aman dan harmoni dapat dikekalkan dalam persekitaran sosial remaja.

Di sinilah perasaan malu berperanan penting sebagai satu peringatan kepada setiap individu. Budaya kolektivisme sentiasa memastikan setiap tingkah laku adalah tidak melampaui batas, tidak menjatuhkan maruah keluarga dan sentiasa menuruti norma masyarakat. Namun, situasi buli pada hari ini cukup menggambarkan perasaan malu remaja sudah kian terhakis sehingga mereka mudah terlibat dalam aktiviti tidak sihat dan berbahaya seperti buli.

Oleh itu, penting proses kawal atur emosi ini diberikan perhatian dari peringkat awal kanak-kanak. Sudah pasti krisis emosi dan tingkah laku negatif dalam kalangan remaja dapat dibendung dan diatasi dengan berkesan.

-- BERNAMA

Dr. Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)