TINTA MINDA

MATEMATIK DAN INOVASI UNTUK KEKAL SEGAR

04/02/2022 09:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Siti Suriani Othman

Kepesatan teknologi dan perkembangan tamadun manusia hari ini tidak boleh lagi diterima dalam bentuk penafian. Ini bermakna, ia mengubah hampir keseluruhan kehidupan manusia, dan kehidupan juga menjadi semakin mencabar. Bagaimana kita dapat mengatasi cabaran ini, dikatakan oleh sarjana antara lain ialah keperluan menjadi kreatif. Kajian menunjukkan, pentingnya kreativiti bukan hanya sebagai satu bentuk kemahiran yang setiap daripada kita perlu ada, namun sebagai satu daripada kemahiran sangat asas yang dalam konteks hari ini, wajib ada.

Oleh itu, satu daripada agenda penting yang harus disulami keindahan kreativiti adalah bidang pendidikan. Tanpa kreativiti, para pendidik dan pelajar akan kehausan ilmu kerana tidak dapat benar-benar berkongsi ilmu dengan berkesan. Maka, lemaslah pelajar dalam arus ilmu yang deras dan tidak menunggu sesiapa.

Matematik tingkatkan daya kreativiti

Pastinya dalam konteks ini, antara subjek yang sering menjadi perhatian adalah Matematik. Ramai menganggap sebagai mata pelajaran yang sukar dan tidak menarik, pastinya kreativiti para pendidik diuji lagi di sini. Menghafal sifir sendiri mungkin sudah cukup sukar bagi sesetengah pelajar, apatah lagi mengaplikasi pelbagai formula dalam menjawab soalan peperiksaan serta dalam kehidupan seharian.

Kajian Gallup sejak 2005 lagi membuktikan bahawa majoriti pelajar memang percaya bahawa Matematik adalah mata pelajaran yang paling sukar. Dalam keresahan ini, pastinya kita yang meraikan keindahan konsep Keluarga Malaysia ingin melihat seluruh ahli keluarga kita berjaya dalam pelajaran dan sekaligus berjaya mengatasi kesukaran subjek Matematik.

Matematik sebagai latihan untuk kecerdasan otak

Sungguhpun Matematik adalah subjek yang sukar bagi ramai orang, keperluan mempelajarinya memang ada. Selain diperlukan sebagai keperluan penting memasuki pusat pengajian tinggi, Matematik juga ada kaitan dengan mata pelajaran lain seperti kejuruteraan, perdagangan, perubatan dan perniagaan.

Kajian oleh Universiti Stanford menunjukkan bahawa pelajar yang dapat menyelesaikan masalah matematik dalam kehidupan seharian mereka mempunyai kemahiran logik yang tinggi berbanding mereka yang tidak berupaya. Matematik juga sangat baik untuk memberi latihan kepada otak agar kekal cerdas. Individu yang cerdas matematik pula dikatakan berpotensi cemerlang dalam banyak bidang dan ditawarkan pendapatan yang lumayan.

Maka tidak hairan banyak ciptaan berkaitan perkembangan dan kecemerlangan matematik diusahakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk memudahkan pembelajaran matematik. William Playfair misalnya adalah tokoh matematik yang menghasilkan rajah dan carta, memudahkan pembentangan matematik di seluruh dunia. Blaise Pascal pula adalah pencipta kalkulator yang pastinya memudahkan seluruh manusia dalam pengiraan mudah dan kompleks. Dapatkah kita membayangkan dunia moden hari ini tanpa kalkulator?

Inovasi mudahkan pemahaman pelajar tentang Matematik

Maka, di peringkat sekolah juga para pendidik tidak ketinggalan mencipta dari sekecil-kecil ciptaan kepada yang lebih besar untuk memudahan pembelajaran matematik dalam kalangan pelajar. Misalnya, para pendidik mencipta alat bantu mengajar bagi memudahkan penghafalan sifir daripada bahan terbuang seperti botol plastik dan kad board plastik. Inovasi dengan magnet itu dimainkan dengan melekatkannya ke papan permainan dengan jawapan sifir yang betul.

Lihatlah inovasi yang nampak mudah ini mampu membantu murid-murid yang melihat matematik itu sukar melalui pengalaman pembelajaran menyeronokkan. Inovasi yang dinamakan Kit Cakna Sifir ini adalah ciptaan salah seorang penulis iaitu Cikgu Maizatulshima. Alat bantu mengajar seperti ini tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dibuat namun kesannya sangat positif kepada anak-anak dan motivasi mereka untuk belajar.

Inilah antara aspek inovasi yang perlu diraikan. Inovasi bukan hanya membangunkan diri seseorang malah dapat membangunkan sesuatu bidang. Mana tahu dengan inovasi mudah ini bakal melahirkan bijak pandai tempatan yang menjadi pakar rujukan matematik seluruh dunia suatu hari nanti. Kita tidak pernah dapat mengetahui masa hadapan, tetapi masa hadapan yang cemerlang pastinya datang daripada usaha-usaha cemerlang hari ini.

-- BERNAMA

Dr Siti Suriani Othman merupakan pensyarah kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Maizatulshima Jusoh @ Mohamad merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Telok Gong Pelabuhan Klang, Selangor

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)