TINTA MINDA

BENARKAH RAKYAT MALAYSIA CULAS MEMBACA?

02/03/2022 09:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Farhanah Abd Hamid

“Membaca jambatan ilmu.”

Bagi golongan dewasa yang lahir pada pertengahan tahun 80-an mahupun 90-an pastinya tidak asing dengan peribahasa ini. Peribahasa atau kadangkala disebut juga sebagai kata-kata hikmat ini sering tertulis di dinding bilik darjah pada zaman dahulu. Peribahasa yang ringkas dan padat ini membawa maksud amalan membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Namun begitu, rakyat Malaysia dilihat seolah-olah kian malas membaca pada hari ini.

Beralih ke bahan bacaan digital

Jika ingin dibandingkan generasi dahulu dan generasi hari ini, sudah pastinya terdapat banyak perbezaan. Perkembangan teknologi merupakan satu daripada aspek yang telah mempengaruhi perubahan ini. Pada zaman kini, terdapat banyak maklumat yang boleh diakses semudah dengan satu ketikan di hujung jari. Golongan muda seawal usia sekolah rendah sehinggalah golongan berusia lewat 50-an, kebanyakannya memiliki telefon pintar sendiri. Bukankah sepatutnya teknologi ini membawa banyak manfaat jika digunakan dengan sebaiknya?

Sesungguhnya amatlah tidak adil jika penulis memukul rata semua rakyat Malaysia culas untuk membaca. Realitinya masih ada generasi pada hari ini yang gemar membaca. Cuma kebanyakan daripada mereka tidak lagi membaca bahan bacaan yang berbentuk fizikal. Sebaliknya, rata-rata telah beralih kepada medium pembacaan melalui peranti komputer riba dan telefon pintar. Malah, buku-buku yang tebal dan juga surat khabar bersaiz besar yang dahulunya sukar untuk dibawa ke mana-mana kini wujud dalam bentuk yang lebih mudah dibaca. Kebanyakannya kini boleh didapati dalam bentuk salinan digital.

Bahan bacaan berbentuk hidonisme jadi pilihan

Jika disebut tentang ‘membaca’, ia bukan sahaja terhad kepada pembacaan buku ilmiah. Bagaimanapun, generasi muda pada hari ini dilihat lebih gemar membaca berita berbentuk hiburan semasa seperti berita tentang artis berbanding pembacaan berbentuk ilmiah. Golongan belia dan remaja pada hari ini kebanyakannya tidak lagi menjadikan membaca sebagai satu hobi atau aktiviti untuk dilakukan pada masa senggang. Hal ini berpunca daripada budaya hedonisme selain hiburan berbentuk digital yang berleluasa.

Selain itu, melalui pemerhatian dalam laman media sosial, segelintir rakyat Malaysia gemar membaca tajuk sesuatu berita tanpa membaca intipati kandungan sebenarnya. Maka tidak hairanlah jika berita palsu mudah disebarkan secara berleluasa, terutamanya melalui medium aplikasi WhatsApp. Betapa mudahnya untuk mengumpul dosa di hujung jari pada zaman milenium ini.

Terdapat juga akhbar atau tabloid yang kadangkala menyiarkan tajuk yang menyimpang daripada berita asal untuk menarik minat orang ramai. Sikap malas membaca dan membuat andaian terus daripada tajuk sahaja haruslah dibuang demi kemaslahatan bersama. Setiap kali kita ingin berkongsi berita yang tidak pasti kesahihannya, fikirkan dahulu impak yang mungkin berlaku seandainya berita tersebut adalah berita palsu.

Sikap membaca hanya untuk peperiksaan harus diubah

Bagi golongan pelajar pula, mereka tidak dapat dipisahkan dengan aktiviti membaca khususnya bahan bacaan akademik. Namun begitu, mentaliti para pelajar kebanyakannya adalah membaca hanya untuk lulus peperiksaan. Seharusnya wujud kesedaran dari dalam diri pelajar akan kepentingan membaca dan ia bukanlah untuk peperiksaan semata-mata. Ramai yang tidak sedar bahawa matlamat yang lebih besar dapat diperoleh hasil daripada pembacaan adalah untuk membuka minda, meningkatkan daya pemikiran dan memperkaya ilmu pengetahuan.

Ramai golongan ibu bapa yang marahkan anak-anak kerana banyak membuang masa melayari internet dan bermain permainan dalam telefon pintar. Seringkali anak-anak ini dimarahi di rumah kerana tidak mengulang kaji pelajaran apatah lagi untuk membaca bahan berbentuk ilmiah.

Namun, kaum ibu bapa itu sendiri tidak mampu berenggang dengan telefon mereka. Asal memiliki masa terluang sahaja, pasti telefon tidak lekang di tangan. Bermula dengan membuka laman Instagram sehinggalah ke laman beli belah dalam talian seperti Shopee dan Lazada. Hal ini tidak ubah seperti ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul. Luangkanlah masa walau sekadar lima atau sepuluh minit untuk membaca setiap hari agar tabiat ini dapat diterapkan pula dalam diri anak-anak. Mulakan dengan diri sendiri dahulu kerana anak-anak akan cenderung untuk meniru perbuatan ibu bapa mereka.

Dalam mendepani era teknologi yang semakin pesat, budaya membaca dilihat semakin pudar dalam kalangan rakyat Malaysia. Sejarah telah merakamkan bahawa bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membaca. Membaca merupakan titik permulaan dalam eksplorasi ilmu golongan cendekiawan. Mampukah tokoh-tokoh besar ataupun golongan ilmuwan wujud seandainya mereka enggan atau culas membaca? Tepuk dada, tanyalah minda.

Tuntut ilmu ke akhir hayat,

Tanpa ilmu punahlah bangsa,

Bacalah walau sebaris ayat,

Budaya membaca memaju negara.

--BERNAMA

Farhana Abd Hamid merupakan guru di Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)