TINTA MINDA

PERGOLAKAN RUSIA-UKRAINE: ADA APA DENGAN PANDANGAN ASEAN?

07/03/2022 08:40 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr.Noor Dzuhaidah Osman

Penulis terbaca di dalam akhbar tersohor antarabangsa berkenaan pendapat wartawan yang melihat isu Rusia dan Ukraine serta pandangan ASEAN terhadap isu tersebut. Dikatakan kebanyakan negara ASEAN bersikap enggan masuk campur untuk menggesa Rusia agar keluar daripada mengasari Ukraine.

Kebetulan penulis baru sahaja selesai menghadiri persidangan dan syarahan undang-undang antarabangsa dan ASEAN. Oleh itu, penulis terpanggil untuk sama-sama memberi pandangan terhadap isu tersebut sebagai satu pandangan akademik.

Kritikan tindakan negara ASEAN

ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara), yang juga dirujuk sebagai negara-negara Asia Tenggara, ditubuhkan pada 1967 dan merupakan pertubuhan antara kerajaan serantau. Ia terdiri daripada 10 negara di Asia Tenggara yang menggalakkan kerjasama antara kerajaan dan memudahkan integrasi ekonomi, politik, keamanan, ketenteraan, pendidikan, dan sosial budaya dalam kalangan anggotanya dan negara-negara lain di Tenggara.

ASEAN ada kalanya dikritik sebagai tiada suara yang lantang dalam arena antarabangsa. Ia kurang atau tiada mekanisme penguatkuasaan undang-undang ASEAN sehebat Kesatuan Eropah (EU). Namun, secara ilmiah, ASEAN menjadi bidang kajian menarik yang kedua selepas EU hingga diwujudkan pusat-pusat kajian bertaraf dunia tentang ASEAN seperti di Jerman dan Singapura.

Mengulas kembali isu Rusia-Ukraine, editor akhbar berkenaan mengkritik tindakan negara-negara Asia Tenggara. Selain berusaha mengeluarkan rakyat serta diplomatnya secara selamat dari Ukraine, ASEAN juga mengeluarkan kenyataan berikut - Secara dasarnya, ASEAN menyeru semua pihak yang terlibat untuk menggunakan kekangan yang maksimum bagi melaksanakan dialog. Selain itu, menggunakan segala medium yang ada, termasuk hubungan diplomatik, untuk mengawal keadaan dan mengelak konflik daripada terus merebak. Melihat resolusi secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa dan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

ASEAN berharap konflik dua negara berakhir dengan aman

Dikatakan bahawa ASEAN tidak menyebut Rusia secara jelas dalam kenyataan berkaitan konflik Rusia-Ukraine. Kenyataan ASEAN itu hanya berlegar sekitar mengatakan kekangan dan resolusi keamanan. Sebagai contoh Menteri luar Indonesia menyatakan tentang keperluan untuk menghormati integriti dan kedaulatan negara dan serangan tentera pada Ukraine tidak diterima. Jakarta juga menyeru semua pihak menghentikan perseteruan dan mewujudkan resolusi keamanan melalui diplomasi.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap agar solusi keamanan antara Rusia dan Ukraine dapat dicapai diikuti penyelesaian resolusi konflik. Selain itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen menyatakan hasrat yang sama agar situasi membimbangkan di Ukraine berakhir dengan aman. Menteri Luar Thailand turut menyatakan kebimbangan yang mendalam berhubung isu itu dan menyokong usaha berterusan untuk mencapai keamanan melalui dialog.

Jurucakap Menteri Luar Vietnam memandang secara dekat krisis berkenaan dan menyeru pihak-pihak berkenaan untuk mengamalkan kawalan kekangan kendiri. Ada pendapat yang mahu supaya dimajukan usaha dialog dan mempromosi usaha diplomasi secara aman mengikut lunas-lunas PBB dan asas undang-undang antarabangsa

Presiden Filipina Rodrigo Duterte dikatakan senyap dalam isu tersebut, walaupun sebelum ini beliau dikatakan antara pemimpin ASEAN yang paling lantang bersuara jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN yang lain. Tanpa menyebut mengenai konflik yang berlaku, Kementerian Luar Negara Filipina dikatakan berusaha mengeluarkan 181 rakyatnya di Ukraine. Setakat ini hanya Laos dan Brunei dikatakan tidak membuat sebarang kenyataan tentang isu Rusia-Ukraine.

ASEAN mengambil sikap neutral

Dalam isu Rusia-Ukraine, ASEAN dikatakan mempunyai kepentingan sendiri yang ketara. Segala kenyataan yang dikeluarkan adalah sebahagian daripada ‘buku mainan’ (playbook) ASEAN, yang memberi lebih tumpuan kepada dialog iaitu sebahagian daripada aspirasi moral. Oleh itu ASEAN dilihat lebih kerap menggesa agar kekangan dibuat dan juga solusi keamanan.

Kedua, banyak negara ASEAN melihat isu ini secara terpencil dan mereka tiada kaitan langsung dengannya melainkan kesan ekonomi secara global. Ketiga Russia ialah negara besar yang merupakan ahli tetap Majlis Keselamatan PBB dan pembekal senjata utama sejak Perang Dingin. Dikatakan tiada negara ASEAN yang pernah menyatakan penentangan terhadap penguasaan oleh negara lain oleh ahli tetap Majlis Keselamatan sejak 2003, melainkan secara retorik.

Keempat, dikatakan sesetengah kerajaan seperti Myanmar, Laos dan Kemboja akan mendapat faedah strategik dengan kemerosotan kekuasaan Amerika Syarikat selepas perang Dingin. Faktor-faktor tersebut dikatakan menjadi sebab mengapa ASEAN mengambil sikap neutral, tidak memihak dan cuba mengelak daripada memihak mana-mana negara.

Berpegang kepada prinsip asas pembentukan ASEAN

Beberapa perkara yang menyebabkan ASEAN mempunyai pandangan sedemikian terhadap konflik Rusia-Ukraine adalah berkenaan prinsip-prinsip asas pembentukan ASEAN, iaitu saling menghormati kemerdekaan, kedaulatan, kesaksamaan, keutuhan wilayah dan identiti kebangsaan semua negara.

Seterusnya, hak setiap negara untuk memimpin kewujudan negaranya bebas daripada campur tangan luar, subversive atau paksaan dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman antara satu sama lain. Selain itu, menyelesaikan perbezaan atau pertikaian secara damai, penolakan ancaman atau penggunaan kekerasan dan kerjasama yang berkesan sesame mereka.

Sebagai contoh, isu Rohingya di Myanmar, ASEAN dilihat tiada taring untuk mengatasinya secara kolektif malah melihatnya sebagai isu dalaman Myanmar.

Walaupun ASEAN dibentuk daripada negara-negara yang kecil, ia mempunyai peranan tersendiri dalam mempromosi keamanan sejagat dan kedaulatan negara, tanpa perlu memihak kepada mana-mana negara khususnya dalam isu antarabangsa melibatkan ketenteraan dan percaturan geopolitik dunia.

Ketika krisis Rusia-Ukraine meruncing, mengapa perlu tanya pandangan negara sekecil blok ASEAN? Penulis berpendapat ketika inilah blok negara-negara tertentu cuba mencari sekutu, sebagai satu cara mengenal pasti negara atau blok mana menyebelahi Rusia, Ukraine, NATO dan sebagainya. Dunia sedang memerhati krisis di Rusia-Ukraine bagai satu permainan catur, dan bagaimanakah pengakhiran kelak. Malangnya, kelak nyawa-nyawa manusia yang menjadi pertaruhan percaturan kuasa tersebut.

--BERNAMA

Dr.Noor Dzuhaidah Osman merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)