Oleh: Azlin Othman
Kebelakangan ini, penjualan produk tidak berdaftar sama ada di premis mahupun atas talian dilihat semakin berleluasa. Pelbagai produk diiklankan secara terbuka dengan kewujudan aplikasi media sosial dan kemudahan telefon pintar menjadi platform jualan utama.
Pembelian produk dari sumber tidak sah boleh mendedahkan pengguna kepada risiko penggunaan ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi atau ubat yang dicampur palsu dengan racun berjadual yang mungkin boleh menyebabkan kesan mudarat dan dalam keadaan tertentu sehingga meragut nyawa.
Pengguna cepat terpengaruh
Pengguna di Malaysia kadang-kadang dilihat begitu lembut hati, mudah menerima sesuatu tanpa alasan dan pertanyaan. Hal ini menjadi punca kenapa dan mengapa pengguna begitu obses dengan produk-produk dalam pasaran.
Kehendak tidak terbatas dilihat relevan dengan arus kemodenan dunia hari ini. Permintaan dan penawaran tinggi terhadap pelbagai produk mengukuhkan lagi fakta tersebut.
Ubat berdaftar bermaksud yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dijual, dipasarkan atau digunakan dengan kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.
Sementara itu, proses mendapatkan notifikasi kosmetik adalah untuk mendapatkan kelulusan penjualan dan pemasaran di Malaysia, ia bermaksud empunya produk kosmetik itu mengisytiharkan kandungan bahan dalam produk mereka dan menghantar semua dokumen berkaitan produk termasuk label untuk semakan KKM.
Tiada sebarang ujian dilakukan untuk proses notifikasi kosmetik, ia berbeza dengan proses pendaftaran produk untuk ubat-ubatan. Kepelbagaian produk di pasaran telah memudahkan pengguna untuk membuat pilihan dalam mencari yang terbaik.
Kebijaksanaan dan mempunyai ilmu pengetahuan dalam hal-hal berkaitan ubat dan kosmetik selamat boleh memastikan pengguna dapat memilih yang berkesan dan betul.
Guna hak sebagai pengguna
Hak pengguna ialah satu bentuk peraturan yang dibuat kerajaan bagi melindungi hak serta kepentingan mereka. Di Malaysia dan mana-manapun gerakan pengguna akan meningkatkan kesedaran tentang hak dan harapan agar ianya dihormati dan dilindungi. Pilihan tepat perlu dilakukan memandangkan limpahan produk di pasaran memberi kesan kepada pengguna. Pengguna boleh mengenal pasti ubat berdaftar dan kosmetik bernotifikasi dengan mudah melalui penyemakan pada label terdapat ciri-ciri seperti nombor pendaftaran MAL, Hologram Meditag mahupun NOT.
Semakan senarai pendaftaran atau status pendaftaran serta kesahihan produk juga boleh dibuat melalui portal http://www.npra.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 selain Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) ditalian bebas tol 1800-88-6722.
Masalah kesihatan, produk tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi adalah isu nasional yang perlu diambil berat oleh semua lapisan masyarakat.
Memang mustahil untuk menjaga dan menguasai setiap produk dan mengambil tindakan oleh penguatkuasaan kecuali ada pihak tampil ke hadapan membuat aduan.
Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada program perkhidmatan farmasi di www.pharmacy.gov.my atau mana-mana cawangan penguatkuasaan farmasi di talian 03-78413200 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini.
Sehari dua ini media-media utama ada menyiarkan berita ‘Lebih 15,000 produk farmaseutikal tidak berdaftar, produk kosmetik yang tidak bernotifikasi dan produk dicemari racun dirampas’ melalui ‘Op Putra’ di Kulim, Kedah.
Produk-produk tidak berdaftar itu dijual secara meluas secara ‘online’ menerusi platform e-dagang. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan KKM pada 9 Mac 2022 baru-baru ini, menyiarkan siaran media memaklumkan menerima 1,107 aduan mengenai penjualan ubat yang tidak berdaftar secara ‘online’ manakala sebanyak 1,322 premis diserbu pada 2021 sehingga Januari 2022.
Kesemua ubat yang dirampas mampu memberi kesan mudarat kepada pengguna kerana tiada jaminan dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Adalah dinasihatkan orang ramai dan pengguna agar lebih berhati-hati ketika membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik yang dijual.
Kesimpulannya, kebijaksanaan mencari ruang keperluan pengguna adalah senjata yang mampu memikat tumpuan dan matahati pengguna untuk terus selamat.
Janganlah terlalu biarkan produk merubah kita. Jadilah pengguna yang bijak ‘Tepuk Dada Tanya Selera’.
-- BERNAMA
Azlin Othman merupakan Timbalan Presiden, Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Duta Kenali Ubat Anda, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka/KKM Pengerusi, Komuniti Bijak Ubat (KOMBAT) Melaka