TINTA MINDA

Aturan Kerja Fleksibel Dan Kerja Dari Rumah Lebih Baik Dan Produktif

11/05/2022 09:38 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muzaffar Syah Mallow

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow

Tanggal 1 Mei setiap tahun, hampir seluruh negara dalam dunia termasuk Malaysia menyambut Hari Pekerja. Sambutan Hari Pekerja pada tahun ini agak unik kerana kebanyakan negara termasuk Malaysia sudah mula membuka semula sektor ekonomi dan sempadan negara masing-masing serta melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) setelah lebih dua tahun bergelut dengan penularan virus COVID-19.

Walaupun keadaan dijangka kembali kepada situasi normal, ia tidak bermakna kita perlu kembali kepada proses kehidupan sebelum munculnya virus COVID-19 ini dengan sepenuhnya seperti tidak pernah berlaku apa-apa. Perubahan yang telah dilakukan semasa kita sedang mengharungi virus COVID-19 sepanjang lebih dua tahun lalu terutamanya dalam melaksanakan aktiviti pekerjaan perlu dikekalkan untuk selama-lamanya demi manfaat pekerja serta organisasi tempat mereka bekerja.

Sistem kerja fleksibel, wujudkan situasi menang-menang

Antara perubahan yang perlu dilakukan buat selama-lamanya adalah dengan terus melaksanakan sistem fleksibel dalam bekerja serta bekerja dari rumah. Namun ia perlulah bergantung kepada jenis pekerjaan. Perlaksanaannya membawa banyak manfaat bukan sahaja terhadap pekerja malah kepada produktiviti organisasi tempat mereka bekerja. Perlaksanaan sistem pekerjaan secara fleksibel serta kebenaran bekerja dari rumah memudahkan urusan pihak pekerja untuk menjalankan kerja mereka tanpa perlu mengharungi kesesakan jalan raya serta risiko kemalangan jalan raya serta berada di dalam bangunan pejabat dari pagi hingga ke petang.

Perlaksanaan pekerjaan secara fleksibel dan kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah ini juga dapat menjimatkan wang, masa serta tenaga para pekerja. Segala manfaat yang diperolehi ini dapat mengurangkan beban dan tekanan kepada pihak pekerja sekaligus menjadikan pekerja lebih produktif serta dapat memberi khidmat yang terbaik kepada pihak organisasi tempat kerja mereka.

Kemajuan teknologi, mudahkan operasi kerja

Kemunculan pelbagai jenis teknologi moden, juga banyak memberi ruang dan peluang untuk sesetengah jenis pekerjaan dilakukan secara dalam talian tanpa perlu berada di pejabat secara fizikal. Memandangkan penularan virus COVID-19 dan varian yang dibawanya masih berlaku dalam negara kita serta di serata dunia pada ketika ini, tidak wajar juga sekiranya segala jenis aktiviti berkaitan dengan tempat kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain dilakukan secara bersemuka. Pihak majikan perlu mengunakan kemudahan teknologi moden pada masa kini untuk menjalankan beberapa aktiviti tempat kerja ini.

Zaman sudah pun berubah. Kini, pelbagai kemudahan serta aplikasi moden dalam talian sudah wujud bagi memudahkan urusan semua pihak. Dengan wujudnya komputer, telefon pintar serta internet, semua pihak boleh melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah, cepat serta berkesan. Segala kemudahan serta aplikasi moden dalam talian yang wujud perlu digunakan dengan sepenuhnya oleh semua pihak dan ini termasuklah oleh para pekerja di tempat kerja.

Segala kemudahan serta aplikasi moden dalam talian ini tidak boleh dijadikan sebagai bahan perhiasan semata-mata ataupun alat yang hanya digunakan ketika kita sedang hadapi waktu kecemasan sahaja seperti ketika hadapi penularan wabak penyakit. Segala kemudahan dan aplikasi moden dalam talian ini perlu digunakan sepenuhnya pada setiap masa kerana ia memberi banyak manfaat dan kebaikan bukan sahaja pada diri individu pekerja itu sendiri malah kepada orang ramai yang berurusan dengan pihak pekerja itu.

Operasi kerja konvensional, dedahkan pekerja kepada risiko jangkitan COVID-19

Pengunaan kemudahan dan aplikasi dalam talian ini mula mendapat tempat dalam negara kita dan di serata dunia apabila berlakunya penularan virus COVID-19 yang mengancam kesihatan dan nyawa manusia semenjak awal tahun 2020. Namun segala kemudahan dan aplikasi moden yang telah disediakan ini tidak digunakan sepenuhnya oleh para majikan dan pekerja. Majikan dan pekerja dilihat lebih selesa untuk mengadakan aktiviti kerja mereka seperti mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain lagi dengan cara lama iaitu secara bersemuka.

Kaedah lama ini membawa kepada banyak masalah sampingan seperti pembaziran masa, tenaga serta wang, dan lain-lain lagi. Dengan penularan COVID-19 serta varian yang dibawanya pada ketika ini juga, kaedah lama yang diguna pakai ini boleh mendedahkan majikan serta pekerja dengan bahaya jangkitan COVID-19 serta varian yang dibawanya. Perlu diingatkan, tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi keselamatan dan kesihatan semua pihak di tempat kerja ini bukan sahaja telah ditentukan dari sudut tanggungjawab moral malah ia juga telah termaktub di bawah peruntukkan undang-undang buruh dalam negara kita seperti yang telah termaktub di bawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514]. Tindakan undang – undang yang keras boleh diambil terhadap mana – mana pihak majikan ataupun pihak pengurusan di tempat kerja yang didapati gagal melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja mereka sendiri.

Pihak kerajaan boleh mengeluarkan satu bentuk perintah ataupun arahan jelas bagi mengarahkan segala jenis aktiviti berkaitan dengan kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain dilakukan secara dalam talian. Tanpa adanya perintah atau arahan jelas ini, sukar untuk kita merealisasikan usaha untuk mengalakkan pihak majikan membenarkan pekerja mereka bekerja secara fleksibel dan berkerja dari rumah. Pihak majikan dan pekerja perlu belajar guna komputer serta tatacara untuk mengadakan sebarang jenis mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain lagi secara dalam talian. Tidak menjadi satu beban yang besar untuk pihak majikan dan pekerja belajar mengunakan segala jenis kemudahan dan aplikasi moden ini bagi melaksanakan urusan kerja seharian mereka.

--BERNAMA

Dr. Muzaffar Syah Mallow merupakan Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)