TINTA MINDA

PERANAN GURU MEMBENTUK KESEJAHTERAAN MURID-MURID DI SEKOLAH

20/05/2022 02:09 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor

Tema sambutan Hari Guru 2022 iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ adalah sangat unik dan bertepatan dengan perkembangan semasa dunia pendidikan di Malaysia. Sejahtera dalam konteks persekolahan adalah satu terma yang mengangkat penjiwaan amalan baik yang merupakan pembudayaan nilai murni, kemahiran dan sikap positif yang dibangunkan dalam diri murid-murid. Peranan guru ialah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menerapkan kesemua elemen SEJAHTERA di dalam dan luar kelas untuk dijadikan amalan dalam kehidupan murid di sekolah dan luar sekolah.

SEJAHTERA adalah akronim yang menyerlahkan penerapan dalam aspek nilai-nilai murni yang perlu dibugarkan oleh guru kepada anak-anak didik. Huruf “S” membawa maksud selamat, seronok dan sihat, huruf “E” pula bermaksud etika dan empati, huruf “J” bermaksud jati diri, huruf “A” bermaksud adab sopan, huruf “H” bermaksud harmoni, huruf “T” bermaksud tekun, teliti, dan terampil, huruf “E bermaksud eksplorasi, huruf “R” bermaksud rasional dan huruf “A bermaksud artikulasi.

Guru, kerjaya yang mulia

Guru merupakan insan yang sangat mulia, bahkan dimuliakan di sisi agama Islam. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasulullah SAW, sesiapa yang memuliakan Rasulullah SAW bererti memuliakan Allah SWT, dan sesiapa memuliakan Allah SWT, maka syurgalah tempat kediamannya di akhirat kelak. Dalam kitabnya ‘Ihya’ `Ulum al-Din’ karangan Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu, dan satu daripadanya adalah memuliakan guru lantaran saratnya ilmu dan kebijaksanaannya yang memberikan manfaat kepada kehidupan anak-anak muridnya.

Begitu mulia darjat seorang guru di sisi agama, namun tidak sesekali seorang guru itu memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya secara materialistik. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan terbilang pencapaian akademiknya dan akhirnya mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Kerjaya perguruan ini mempunyai nilainya yang unik dan tersendiri.

Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah dan menuntut kecekalan dan semangat mendidik yang tinggi. Ini adalah kerana guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa. Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehinggalah kepada formula saintifik dan teks kesusasteraan, para guru tidak akan jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.

Peranan guru beri impak positif

Terdapat lima peranan seorang guru yang diyakini mampu memberikan impak positif terhadap usaha mempersiap dan memperkemaskan diri untuk bersedia mendukung hasrat kerajaan dalam usaha pembugaran nilai sejahtera ini. Pertamanya, pembinaan kekuatan intelek memungkinkan seorang guru terus menjadi ‘ensiklopedia bergerak’ yang dijadikan sumber rujukan dalam bidang masing-masing.

Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi modal insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi anak-anak murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan yang menghayati aspirasi negara bangsa ini. Bukan sahaja anak murid mendapat faedah daripada proses pengajaran dan pembelajaran secara langsung di sekolah, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.

Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun sebaiknya berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak muridnya. Daripada perspektif Islam, seseorang guru itu perlu memainkan peranan kepemimpinannya secara holistik. Antara peranannya adalah sebagai Pendidik (Muaddib), sebagai Penyebar Informasi (Musaddid), sebagai Pembaharu (Mujaddid) atau penyebar transformasi dan perkembangan sesuatu cabang ilmu, sebagai Penyatu Ummah (Muwahid) dan juga sebagai Pejuang (Mujahid) dalam mempertahankan keluhuran ajaran dan syariat Islam. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid sendiri yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.

Ketiga, peranan guru adalah untuk menunjukkan kemurnian akhlak dan budi pekertinya untuk menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki ‘towering personality’ ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata-mata yang melihat keperibadian mereka. Bukanlah bermaksud guru perlu bersifat hipokrit menunjukkan dirinya begitu baik seperti malaikat. Tetapi akhlak mulia itu perlu ditanam dan disuburkan sebaiknya dalam diri, supaya tidak ada orang yang akan mengungkap peribahasa ‘kalau guru kencing berdiri, anak murid pula kencing berlari’.

Keempat, dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang perlu dihadapi dan ditangani oleh guru sebaiknya. Kalau guru terus mahu berada di takuk yang lama, maka dirinya akan menjadi ketinggalan dan tidak relevan di mata anak-anak murid bahkan di mata masyarakat. Konsep negara bangsa kelak hanya akan menjadi sesuatu yang retorik dek kerana seorang guru itu tidak hadam dengan perkembangan dan perubahan teknologi semasa.

Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut ‘sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru’. Ujarnya lagi, ‘Bekerja sebagai guru’ bermakna hanya menjalankan tugas rasmi dalam sesi persekolahan, tidak proaktif dan hanya menunggu setiap hujung bulan mendapat gaji. Sebaliknya, ‘menjadi guru’ pula ibarat meletakkan roh seorang guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, proaktif, tidak mengharapkan apa-apa balasan, dan sedia berbakti pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja demi anak-anak murid.

Empat martabat guru yang perlu dihayati

Untuk itu, dalam usaha membentuk jati diri dan kesejahteraan dalam kalangan anak-anak murid, seorang guru itu perlu memikirkan apakah agaknya martabat keguruan yang ingin ditonjolkan dalam kerjaya mereka. Seperti mana dalam pandangan bijak pandai Islam, terdapat empat martabat guru atau pendidik.

Pertama, sebagai Mudarris atau guru yang hanya mengajar mata pelajaran kemahiran mereka sahaja. Kedua, sebagai Mu’allim yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain. Ketiganya Mursyid yang bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar. Akhirnya, martabat guru yang keempat, Murabbi yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didiknya menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

Sebagai seorang guru yang realistik keempat-empat ciri di atas hendaklah fahami dan dihayati di dalam kehidupannya sebagai pendidik. Jika tugas ini dapat direalisasikan dalam pendidikannya maka kedudukan seorang guru itu sungguh mulia dan diyakini akan memberikan kesan yang sangat positif dalam usaha pembentukan elemen negara bangsa dalam kalangan anak-anak murid yang bakal mencorak kepemimpinan negara pada masa hadapan.

Sesungguhnya, peranan guru adalah sangat signifikan, penting dan relevan kerana mereka sangat dekat dengan jiwa anak-anak bangsa. Untuk negara mencapai tahap kemajuan yang berperadaban tinggi dan bersepadu berlandaskan acuannya yang tersendiri, negara memerlukan strategi dan pelan pembangunan yang baru mengikut kesesuaian zaman dan masa. Di sinilah daya upaya guru sebagai ejen perubahan yang berkesan perlu diarusperdanakan kerana strategi pembangunan negara bukan hanya setakat memfokuskan kepada pembangunan material dan pendidikan semata-mata, tetapi ia harus seiring dengan pendidikan dan pembangunan spiritual dan rohani setiap isi rakyat di Malaysia agar kemajuan dapat dicapai dan dinikmati oleh generasi masyarakat Malaysia di masa akan datang.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor, merupakan Ketua Program, Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)