Oleh: Ts. Mohd Rafizi Rahmad & Ts. Dr. Ismaniza Ismail
Apabila menyebut tentang buaya di Malaysia, istilah ‘buaya darat’ sudah tidak asing lagi bagi menggambarkan peribahasa Melayu yang dikhususkan kepada lelaki yang gemar bertukar pasangan wanita.
Lidah Buaya pula ialah tumbuhan dengan nama saintifiknya ‘Aloe vera’ iaitu pokok yang mempunyai banyak khasiat untuk tujuan perubatan dan kosmetik.
Pada musim perayaan, populariti dan kerangupan kuih lidah buaya atau juga dikenali dengan nama kuih tiram sudah pasti tidak dilupakan. Begitulah sinonimnya buaya dalam kehidupan masyarakat kita.
Kepentingan buaya dalam ekosistem dan manusia
Namun bersempena dengan Hari Buaya Sedunia pada 17 Jun ini, kepentingan buaya kepada ekosistem dan manusia perlu diwar-warkan. Di sebalik rupa yang menakutkan dan mitos tentang buaya yang menjadi mimpi ngeri kepada sesetengah masyarakat terutama yang menjadikan sungai sebagai sumber kehidupan.
Taman Buaya Sandakan adalah taman buaya terbesar di Malaysia yang memiliki lebih daripada 3,000 ekor buaya pelbagai saiz. Ia adalah satu daripada taman buaya yang berfungsi mendekatkan pendidikan berkaitan buaya dengan masyarakat. Fungsi sama dimainkan oleh taman buaya lain di seluruh dunia sekaligus berperanan penting dan tidak memerlukan kita untuk melihat buaya dari habitat asalnya.
Di sebalik cerita-cerita menakutkan tentang buaya, ramai orang sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan produk berasaskan kulit buaya kerana lambang prestij memiliki koleksi barangan seperti beg tangan, kasut dan tali pinggang. Disebabkan itu jugalah terdapat perusahaan untuk menternak buaya di ladang-ladang seluruh dunia, walaupun risiko terhadap reptilia prasejarah itu sangat tinggi.
Buaya, pemangsa dan pengurus dalam habitat air tawar
Terdapat juga kepercayaan di kalangan sesetengah masyarakat bahawa daging buaya menjadi hidangan eksotik yang mampu memberi tenaga. Mungkin di negara ini ia menjadi hidangan eksotik yang hanya mampu dinikmati oleh segelintir kumpulan sahaja. Namun hakikatnya buaya tidak terlepas daripada menjadi makanan manusia.
Buaya sebenarnya mempunyai peranan dalam ekosistem lantaran peranannya memastikan proses ekologi yang disruptif. Buaya merupakan pemangsa yang juga pengurus habitat yang berada di bahagian atas siratan makanan di habitat air tawar. Ia berperanan memastikan kepelbagaian spesies di kawasan paya dan sungai yang turut menjadi tempat kebergantungan manusia. Nyamuk membiak dalam air dan dalam ekosistem semula jadi, larva nyamuk menjadi makanan ikan kecil dan tilapia. Ikan-ikan ini pula dimakan oleh ikan keli sekaligus mengawal bilangannya. Populasi ikan keli pula dikawal dengan cara menjadi makanan buaya. Dalam erti kata lain, walaupun tidak ketara, pemangsa apex seperti buaya berperanan mengekalkan keseimbangan ekosistem dengan mengawal populasi larva nyamuk, tilapia dan ikan keli dikekalkan dalam keseimbangan. Sekiranya buaya pemangsa tidak wujud dalam ekosistem air tawar, populasi ikan keli mencanak naik dan memusnahkan populasi ikan-ikan kecil spesies mangsa. Justeru itu, bilangan nyamuk akan bertambah akibat kekurangan ikan-ikan pemangsa larva nyamuk. Bayangkan sahaja sebuah kawasan yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Anopheles penyebab demam malaria, ini sudah pastinya berbahaya kepada kesihatan awam. Sama ada sedar atau tidak, secara tidak langsung, sebenarnya buaya membantu mengawal penyakit berjangkit berbahaya.
Pengawalan populasi buaya
Memandangkan buaya adalah haiwan yang sering ditakuti oleh manusia, mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana pula populasi buaya dikawal? Sebenarnya, alam masih berfungsi secara semula jadi. Telur-telur buaya dan anak buaya menjadi makanan biawak, bangau, helang dan mengawal populasi buaya. Selain itu, buaya juga menggali lubang dan meninggalkan laluan di kawasan paya terpilih. Tabiat semula jadi ini memberi manfaat kepada ikan dan haiwan akuatik invertebrata lain yang menggunakannya sebagai habitat. Ular dan kura-kura pula kebiasaannya menggunakan laluan yang ditinggalkan oleh buaya untuk berjemur dan bertelur. Lubang yang digali oleh buaya mempunyai ciri-ciri tertentu seperti besar dan dalam, lebih lembap atau kering sesuai untuk haiwan lain, tidak setanding dengan lubang buatan manusia. Oleh yang demikian, dalam kegerunan melihat rupa buaya yang ganas, masyarakat perlu menghargai peranan buaya dalam ekosistem semulajadi. Buaya adalah ciptaan Allah untuk alam sekitar, maka usaha untuk memasyarakatkan buaya tidaklah sampai ke peringkat membuayakan masyarakat. Cukup sekadar, ekologi semulajadi dipertahankan supaya kewujudan manusia dan buaya di dunia ini adalah atas dasar satu pengiktirafan antara satu sama lain dan bukan satu persaingan. --BERNAMA
Ts. Mohd Rafizi Rahmad merupakan Timbalan Pendaftar Kanan, Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD), Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Ts. Dr. Ismaniza Ismail merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
|