TINTA MINDA

APA YANG PEMBELI PERLU TAHU KETIKA MEMBELI EMAS SEMASA HARGA EMAS JATUH?

20/06/2022 09:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts. Dr. Mohd Fazrulhisyam Mohd Nor

Penurunan harga emas pada masa ini menyebabkan orang ramai mengambil peluang untuk membeli barangan emas sama ada emas jenis bar atau barang kemas. Masyarakat kini mempunyai kesedaran dalam penyimpanan emas kerana ia adalah aset kalis inflasi.

Implikasi kepada permintaan yang tinggi ke atas barangan emas di pasaran menyebabkan sindiket penipuan emas turut aktif menjual emas palsu. Kebiasaannya mereka akan menawarkan harga emas yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

Panduan membeli barangan emas

Bagi memastikan kepentingan pembeli emas terpelihara, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM menyarankan beberapa panduan berguna kepada orang ramai bagi mengelak terbeli barangan emas palsu.

Pertama semasa pembelian barang kemas, pastikan anda menerima resit belian atau sijil barang kemas seperti yang termaktub di dalam Akta Perihal Dagangan (Akta 730). Maklumat yang perlu ada dalam resit atau sijil berkenaan adalah nama dan alamat pembekal; tarikh pembelian; jenis barang kemas; ketulenan dan berat barang kemas. Sekiranya pihak pembekal menjual barangan palsu, pembeli mempunyai maklumat yang lengkap untuk buat laporan kepada pihak berkuasa. Kebanyakan barangan palsu tidak mempunyai sijil dan akan menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mengambil tindakan.

Kedua, pembeli perlu memastikan produk yang dibeli adalah sama seperti maklumat yang dinyatakan di dalam resit atau sijil belian. Pembeli mempunyai hak untuk pastikan apa yang dibeli adalah betul. Maklumat yang amat penting adalah berat dan ketulenan barangan kemas berkenaan. Justeru, pihak penjual perlu menyediakan alat penimbang untuk membolehkan pembeli menyemak berat barangan yang dibeli adalah sama dengan berat timbangan yang dinyatakan di dalam sijil.

Pastikan ketulenan barang kemas yang dibeli

Selain itu, ketulenan barang kemas juga adalah maklumat yang amat penting bagi memastikan pembeli menerima barang kemas yang tepat dengan harga yang dibayar. Terdapat pelbagai jenis ketulenan emas yang dijual di pasaran seperti emas 999, 916, 850 dan 750. Ketulenan emas ini menunjukkan peratusan kandungan emas pada barang kemas, sebagai contoh emas 916 mempunyai 91.6 peratus kandungan emas pada barang kemas tersebut.

Bagi menyemak nilai ketulenan barang kemas, pembeli boleh meminta pihak penjual menjalankan pengukuran ketulenan menggunakan densimeter. Densimeter adalah peralatan pengukuran emas yang mudah dan cepat tanpa merosakkan sampel emas. Menariknya lebih 90 peratus Ar Rahnu di Malaysia menggunakan densimeter semasa menjalankan transaksi pajak gadai.

Panduan terakhir dan yang paling selamat adalah orang ramai boleh membeli barangan emas yang mendapat Pensijilan SIRIM Gold Hallmarking daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. Pensijilan ini akan menilai, memantau dan seterusnya mengiktiraf setiap produk yang dihasilkan oleh pengeluar emas. Barangan emas yang mempunyai pensijilan SIRIM Gold Hallmarking perlu melalui pengujian ketulenan logam yang dijalankan oleh NMIM berdasarkan kaedah rujukan ISO 23345: 2021.

--BERNAMA

Ts. Dr. Mohd Fazrulhisyam Mohd Nor merupakan Timbalan Pengarah Termofizikal, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia, SIRIM. Pada tahun 2015, beliau mengetuai Kumpulan Logam Berharga seterusnya terlibat dengan pembangunan Standard Emas Malaysia dan membangunkan modul latihan kompetensi anggota kerja Ar Rahnu. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarah Termofizikal pada tahun 2021 sehingga sekarang.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)