TINTA MINDA

STRATEGI MENANG MENANG DALAM PENGURUSAN PELUPUSAN KENDERAAN AWAM

29/06/2022 11:47 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts. Fakrulnizam Jafri

Cadangan beberapa penyelidik daripada universiti awam bagi mengurangkan kesesakan jalan raya, kadar pencemaran bunyi dan udara kenderaan merupakan suatu usaha yang baik kepada seluruh masyarakat. Idea tersebut bukan suatu yang baharu diutarakan ke arah kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk di Malaysia. Namun, persoalan besar yang timbul adalah sejauh mana kesediaan dan ketersediaan aspek alternatif atau pilihan terbaik lain kepada para pengguna, pengusaha kenderaan dan pihak berwajib dalam menangani isu ini.

Ditangani dengan cermat, tuntas

Pendirian dan keputusan yang cermat serta tuntas perlu diberi perhatian oleh pembuat dasar dan pihak berkuasa dalam melulus serta melaksanakan sesuatu dasar awam agar diterima baik oleh golongan sasar tanpa bantahan. Pendekatan strategi menang menang perlu dijadikan sebagai satu daripada jalan terbaik bagi merealisasikan isu berkenaan. Contohnya beberapa negara maju seperti Jerman, Jepun, Korea, China dan negara jiran kita Singapura memiliki rantaian perkhidmatan pengangkutan transit awam yang cekap, pantas dan selamat meliputi pelbagai lokasi.

Selain itu, dalam mengurangkan kadar kemalangan kenderaan melepasi usia sedekad (10 tahun) di jalanraya, sistem eksport kenderaan dan caj kemudahan pelupusan yang berpatutan dikenakan kepada pengguna dapat meringankan kesan melupuskan kenderaan mereka seperti diamalkan di negara Jepun dan Singapura serta beberapa negara maju yang lain.

Perkemas strategi penjualan kereta

Strategi baharu dalam penjualan kereta jenama tempatan dan antarabangsa perlu di perkemas agar pengguna dapat memiliki kenderaan idaman dengan kadar harga dan tempoh masa bayaran balik yang memuaskan hati. Kita tidak mahu melihat nanti apabila pemilik kenderaan yang telah melangsaikan pembayaran dalam tempoh maksima sembilan tahun sedih memikirkan untuk melupuskan kenderaan mereka pada tahun yang berikutnya.

Pihak pembuat dasar awam perlu mengambil langkah yang amat teliti dan terbaik dalam usaha menangani isu kesesakan lalu lintas, pencemaran udara dan bunyi dalam usaha mewujudkan kelestarian alam sekitar. Contohnya, usaha memperkemaskan sistem pengangkutan awam merentasi desa dan bandar agar kemudahan awam sama-sama dinikmati oleh seluruh masyarakat di Malaysia.

Pendekatan dan keputusan tepat, jaga kepentingan semua pihak

Pendekatan yang tepat dan selamat ditagih agar sesuatu dasar awam yang diputuskan untuk dilaksanakan kelak mendapat sambutan dan diterima baik oleh masyarakat. Akhirnya mereka akan berasa sukacita dan senang dengan dasar yang diperkenalkan.

Kita tidak mahu suatu pihak sahaja mendapat kemenangan manakala satu pihak lagi menanggung kesan dalam suatu jangkamasa yang panjang akibat keputusan yang kurang bernas.

Apa yang pasti, setiap lapisan masyarakat akan menyokong penuh segala usaha murni pihak bertanggungjawab yang memegang amanah yang memikirkan keselesaan dan keselamatan serta mengambil berat tentang kebajikan rakyat. Semua lapisan masyarakat wajar untuk mendapat kemudahan yang disediakan dalam keadaan yang cepat, kos efektif dan selamat melalui pendekatan menang menang isu pengurusan pelupusan kenderaan awam.

-- BERNAMA

Ts. Fakrulnizam Jafri merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)