TINTA MINDA

MANFAATKAN MUSIM HAJI UNTUK PENYELIDIKAN DAN KAJIAN BERIMPAK TINGGI

08/07/2022 02:50 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr. Zulkifli Hasan

Setelah dua tahun dunia dilanda pandemik, akhirnya umat Islam dibolehkan untuk menunaikan haji berskala besar seperti mana sebelum ini. Selama beberapa tahun berikutan penularan wabak COVID-19, ibadah haji hanya dapat dilakukan dalam jumlah yang amat kecil.

Tahun ini, lebih sejuta jemaah haji akan menunaikan Rukun Islam kelima ini bermula 8 Julai 2022. Alhamdulillah, setelah dua tahun menunggu giliran menunaikan haji, penulis telah terpilih sebagai ‘duyufurrahman’ (Tetamu Allah) pada tahun ini.

Jemaah muda

Musim haji kali ini pastinya menawarkan sesuatu yang menarik untuk dikaji. Dengan peraturan ketat kerajaan Arab Saudi dari aspek tapisan kesihatan, umur dan keperluan pas perjalanan, menyaksikan pola jemaah haji sedikit berbeza berbanding sebelumnya. Jemaah haji kali ini rata-ratanya lebih muda berumur bawah 65 tahun dan telah lulus ujian kesihatan.

Dalam erti kata lain, jemaah haji tahun ini pastinya antara yang terbaik sekurang-kurangnya dari aspek kesihatan dan umur mewakili negara masing-masing. Penulis melihat sendiri begitu ramai anak muda yang terpilih menunaikan haji.

Terdapat juga penambahbaikan dari aspek pengurusan Imigresen oleh kerajaan Arab Saudi yang lebih efisyen. Pujian patut diberikan dengan insiatif pembukaan kaunter Imigresen Kerajaan Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang amat membantu memudahkan urusan perjalanan ke tanah suci.

Lebih menarik, berbanding sebelum ini, layanan di kaunter juga amat mesra dan petugas juga mampu bertutur beberapa perkataan bahasa Melayu yang berjaya menerbitkan suasana damai dalam kalangan jemaah haji.

Kajian data umat Islam

Menyaksikan sendiri perkembangan musim haji yang dinamik ini, penulis ingin melontarkan pandangan mengenai potensi musim haji dalam konteks penyelidikan dan kajian. Dengan jutaan jemaah haji daripada seluruh dunia berbeza latar belakang, budaya, sosio-ekonomi dan politik, kita berupaya menjana dan mengumpul data dan maklumat yang penuh bermakna sebagai asas dan rujukan untuk pembangunan umat. Data ini juga sangat bermanfaat bagi tujuan memperkemas dan mengefisyenkan lagi pengurusan haji secara keseluruhan.

Data yang dikutip akan memberikan gambaran sebenar dan realiti umat Islam di seluruh dunia. Bayangkan berapa banyak kajian, soal selidik serta analisis yang berpotensi dihasilkan daripada pelbagai aspek yang boleh menghasilkan dapatan bermanfaat untuk negara, kerajaan, sektor swasta, sektor masyarakat sivil dan masyarakat secara umumnya.

Sebagai contoh, kajian terhadap sosio-ekonomi jemaah haji daripada seluruh dunia boleh dijalankan. Kajian keberkesanan pengurusan haji pelbagai negara boleh mewujudkan Garis Panduan dan Amalan Terbaik Pengurusan Haji.

Data mengenai nisbah penggunaan tenaga, potensi tenaga alternatif seperti solar, air, pengeluaran sisa buangan, pengurusan sampah dan inisiatif kitar semula amat berguna untuk meningkatkan kecekapan dan kepintaran pengurusan haji. Kajian terhadap nisbah eksport dan import, pengeluar dan pengguna, trend kepenggunaan jemaah haji akan memberikan input bermanfaat kepada ramai. Kajian mengenai 'behaviour' jemaah haji yang berbeza budaya dan sistem pendidikan pastinya akan menghasilkan dapatan menarik. Pandangan alam atau 'worldview' terhadap realiti politik dan geo-politic, kefahaman umum mengenai piawaian kebersihan dan kesihatan, dinamika sosio-ekonomi jemaah haji termasuk pemahaman ibadah haji itu sendiri boleh dijalankan.

Sehingga hari ini, kita tidak dapat memperolehi analisis secara saintifik sejauh mana ibadah haji telah berjaya membawa perubahan sama ada terhadap individu, organisasi mahupun negara. Penulis tidak dapat bayangkan betapa berharganya data-data ini yang berpotensi dikumpul menerusi sistem atau aplikasi tertentu yang boleh dibangunkan.

Bagi maksud ini, setiap negara Islam boleh menghantar pasukan penyelidik masing-masing atau ditubuhkan gabungan penyelidik merentasi disiplin bagi memastikan keberkesanan penyelidikan. Negara Islam juga boleh menganjurkan Konferen Tahunan selepas selesai ibadah haji membincang dan mewacanakan isu-isu utama berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan.

Mendinamikkan kajian

The First World Conference on Muslim Education yang penuh bersejarah di Mekah pada 1977 umpamanya pernah menghasilkan keputusan penting kepada umat yang antaranya menyaksikan penubuhan universiti Islam di beberapa negara di dunia. Pendekatan progresif ini akan dapat memberikan dimensi baharu dengan menjadikan musim haji bukan sekadar menunaikan ibadah khusus semata-mata tetapi sebagai medium menemukan cendiakawan, cerdik pandai, pengkaji, penyelidik, pembuat dasar dan sebagainya bagi maksud meneroka idea-idea baharu ke arah pembangunan dan penambahbaikan yang lebih mampan.

Dalam konteks pengurusan haji, negara-negara Islam di dunia dan umat Islam secara umumnya boleh memanfaatkan dapatan kajian yang dijalankan semasa musim haji ini sebagai asas dan panduan kepada dasar-dasar baharu yang lebih progresif dan menambahbaik pengurusan haji itu sendiri dari masa ke semasa.

Setakat ini, kita belum ada kajian menyeluruh keberkesanan sistem pengurusan haji di seluruh dunia. Lebih penting, kajian dijalankan bukan hanya bersifat sekali tetapi ia adalah berterusan atau dilaksanakan secara jangka masa pendek, panjang dan berfasa. Kajian dan penilaian keberkesanan pelaksanaan juga perlu dilaksanakan bagi tujuan pemantauan. Ini adalah amat penting untuk memastikan kajian dan apa-apa dasar yang dijalankan benar-benar memberi impak.

Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima dan sudah pasti ia mempunyai maknanya tersendiri. Kegagalan untuk memahami Maqasid ibadah haji tidak dapat memberi impak yang positif terhadap pengislahan individu, masyarakat dan negara.

Di samping menjadi lapangan tarbiah dan pembentukan akhlak mendekatkan diri kepada Tuhan, ibadah haji secara tidak langsung menawarkan sesuatu yang tidak ternilai di depan mata. Dengan potensi data yang boleh dijana, dikumpul dan dianalisis, dapatan kajian-kajian yang boleh dijalankan pastinya mampu untuk memberikan pelbagai manfaat kepada ramai. Sudah sampai masanya kita benar-benar memanfaatkan peluang musim haji ini menerusi penghasilan kajian dan penyelidikan berimpak tinggi merintis perubahan.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Zulkifli Hasan merupakan Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)