TINTA MINDA

KURSUS HAJI: PERSEDIAAN UNTUK SATU PERJALANAN

11/11/2024 02:26 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Shahrin Awaludin, Ketua Bahagian Bimbingan Haji Tabung Haji

Haji, rukun Islam yang kelima merupakan satu perjalanan ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap Muslim yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat.

Bagi kebanyakan individu, perjalanan ini boleh menjadi luar biasa kerana cabaran dan pelbagai ritual yang terlibat. Justeru, kursus haji yang dianjurkan Tabung Haji (TH) memainkan peranan penting untuk melengkapkan bakal haji dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menempuh perjalanan haji dengan jayanya.

Kursus haji anjuran TH setiap tahun terdiri daripada beberapa peringkat yang bermula dengan Kursus Asas Haji (KAH) diikuti dengan Kursus Intensif Haji (KIH) dan berakhir dengan Kursus Perdana Haji (KPH) sebelum bakal haji berangkat ke Tanah Suci.

Pelaksanaan ibadah haji tidak hanya melibatkan aspek fizikal, tetapi juga memerlukan pemahaman yang mendalam tentang tata cara, syarat, rukun dan wajib haji.

Mendaftar dan hadir dalam kursus haji bukan sahaja memberikan pengetahuan tentang manasik haji dan falsafahnya tetapi juga tentang kesihatan dan pengurusan haji bagi memupuk hubungan rohani yang lebih mendalam dan memastikan bakal haji memulakan perjalanan suci ini dengan penuh keyakinan dan pemahaman. Oleh itu, kepentingan kursus haji boleh difahami seperti berikut:

1. Pengetahuan dan Kefahaman

Kursus haji adalah platform untuk menimba ilmu pengetahuan yang diperlukan kepada bakal haji tentang pelbagai aspek termasuk rukun haji, syarat sah, serta amalan-amalan sunat yang dapat meningkatkan pahala.

Dengan mengikuti kursus ini, bakal haji akan memahami proses haji dari Miqat (tempat niat) hingga ke akhir ibadah. Pengetahuan ini penting untuk mengelak sebarang kesilapan yang boleh merosakkan ibadah seperti tidak mengikuti urutan yang betul atau melanggar larangan yang ditetapkan.

2. Persiapan Mental dan Spiritual

Ibadah haji tidak hanya memerlukan persiapan fizikal tetapi juga mental dan spiritual. Kursus haji merangkumi aspek motivasi dan persiapan mental, membantu jemaah untuk bersedia menghadapi cabaran yang mungkin timbul semasa perjalanan. Dengan memahami tujuan dan makna haji, bakal haji akan dapat meningkatkan keikhlasan dan niat mereka, yang merupakan faktor penting kemakbulan ibadah di sisi Allah S.W.T.

3. Aspek Kesihatan dan Keselamatan

Semasa kursus haji dijalankan pelbagai maklumat tentang aspek kesihatan dan keselamatan diberikan. Bakal haji akan diajar tentang langkah-langkah menjaga kesihatan, termasuk pemakanan, pengurusan stres dan penjagaan diri semasa berada dalam keadaan sesak. Pengetahuan ini penting untuk mengelakkan timbulnya masalah kesihatan yang boleh mengganggu pelaksanaan ibadah, terutamanya di tempat yang padat seperti di Mina dan Arafah.

4. Pengurusan Masa dan Logistik

Pelaksanaan haji melibatkan pengurusan masa yang sangat ketat, dengan jadual yang perlu dipatuhi. Kursus haji memberikan panduan tentang cara mengurus masa dengan berkesan termasuk cara merancang aktiviti harian dan mengatur penginapan.

Pengetahuan ini akan membantu bakal haji untuk memanfaatkan setiap saat dengan baik dan memastikan mereka dapat melaksanakan setiap rukun dan wajib haji serta amalan haji dengan sempurna.

5. Kesedaran Sosial dan Kebersamaan

Haji juga merupakan ibadah yang menggalakkan perpaduan dan kesedaran sosial. Penekanan tentang pentingnya menjaga hubungan baik dengan jemaah lain serta memahami tanggungjawab sosial sebagai seorang Muslim. Melalui interaksi dalam kursus, bakal haji dapat membina jaringan dan hubungan yang baik, yang akan memudahkan mereka semasa berada di Tanah Suci.

6. Menghindari Penipuan dan Penyelewengan

Dalam era globalisasi, terdapat banyak ejen perjalanan yang menawarkan pakej haji dengan harga yang berbeza-beza. Kursus haji membantu bakal haji untuk mengenali ejen yang dilesenkan dan berwibawa bagi mengelakkan penipuan.

Dengan pengetahuan yang tepat tentang prosedur dan hak-hak bakal haji, mereka dapat membuat keputusan yang bijak dan menghindari sebarang bentuk penyelewengan.

Kesimpulannya, kursus haji merupakan satu aspek yang amat penting dalam persiapan bakal haji untuk menunaikan rukun Islam kelima. Daripada segi pemahaman dan pengetahuan, persiapan mental dan spiritual, aspek keselamatan, kesihatan, pengurusan masa, logistik, kesedaran sosial dan cara menghindari penipuan kursus ini memberikan pelbagai manfaat yang tidak dapat dipandang remeh.

Oleh itu, setiap individu yang berhasrat untuk menunaikan haji disarankan untuk mengikuti kursus haji agar ibadah yang dilaksanakan dapat memenuhi syarat dan menjadi lebih bermakna.

Dengan cara ini, bakal haji bukan sahaja dapat melaksanakan rukun Islam yang kelima dengan baik, tetapi juga meraih keberkatan dan keredhaan Allah SWT. seterusnya pulang dengan haji yang mabrur, insyaAllah.

--BERNAMA

Shahrin Awaludin ialah Ketua Bahagaian Bimbingan Haji, Tabung Haji

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)