TINTA MINDA

Kaji Kadar RMT Atasi Isu Pelajar Kurang Nutrisi

12/08/2022 10:47 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Atriza Umar

Sedarkah kita, anak-anak menghabiskan purata enam hingga tujuh jam, atau 50 peratus waktu mereka di sekolah setiap hari? Maka, seharusnya sekolah dijadikan sebagai lapangan yang ideal untuk menerapkan tabiat pemakanan yang sihat.

Sebagaimana frasa yang sinonim dikaitkan iaitu, “Badan yang sihat dapat membina minda yang sihat” dapat dihuraikan bahawa makanan yang sihat akan mendorong kepada hasil yang baik dalam pencapaian pendidikan, kerana ia membantu badan melaksanakan fungsinya secara bersepadu dan menyeluruh.

Di kebanyakan negara, makanan di sekolah adalah sebahagian besar daripada diet terpenting harian kanak-kanak. Oleh itu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Program Makanan Sedunia telah melancarkan projek untuk menambah baik pemakanan murid sekolah dengan sokongan Kementerian Makanan dan Pertanian di beberapa buah negara.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyokong rancangan untuk memastikan setiap kanak-kanak yang memerlukan mendapat makanan sihat secara tetap di sekolah menjelang 2030.

Dalam pengisytiharan tersebut, lima agensi PBB komited untuk menyokong School Meals Alliance, yang mana lebih daripada 60 negara yang diketuai oleh Perancis dan Finland, yang berwawasan untuk memberi peluang kepada setiap kanak-kanak yang memerlukan mendapat hidangan berkhasiat di sekolah menjelang 2030.

Intervensi Yang Berkesan

Tahukah kita, di seluruh dunia lebih 150 juta kanak-kanak tidak mendapat makanan, kesihatan dan keperluan asas?

Lima agensi PBB iaitu FAO, Program Makanan Sedunia, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (UNESCO) telah mengumumkan sokongan padu mereka untuk gabungan antarabangsa yang bertujuan meningkatkan pemakanan, kesihatan dan pendidikan dengan selayaknya untuk anak-anak di sekolah.

Hakikatnya, program pemakanan sekolah adalah intervensi yang berkesan untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak sekolah serta program sebegini boleh membantu memerangi kelaparan juga kekurangan zat makanan untuk anak-anak sekolah.

Tidak dinafikan bahawa pemakanan sihat adalah satu kemestian bagi setiap manusia khususnya kanak-kanak kerana pemakanan yang baik merupakan antara punca penting untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik anak-anak tersebut.

Daripada sudut pandangan ini, beberapa negara telah berminat untuk memperkenalkan sistem pemakanan yang berbeza kepada sekolah, dan sistem ini mesti tertakluk kepada banyak kajian dan piawaian yang mesti diikuti semasa pelaksanaan sistem ini.

Makanan Berkhasiat

Makanan yang berkhasiat di sekolah adalah penting untuk kesihatan pelajar, apalagi untuk pelajar berpendapatan rendah demi memastikan para pelajar mendapat nutrisi yang diperlukan sepanjang hari untuk semangat belajar.

Berdasarkan penyelidikan, situasi ini menunjukkan bahawa di sesetengah negara menerima makanan di sekolah secara percuma atau dengan harga yang lebih rendah mengurangkan ketidakamanan makanan, obesiti dan kesihatan yang tidak baik.

Makanan yang disediakan hendaklah memenuhi piawaian pemakanan berkhasiat. Setiap hari, ramai pelajar di seluruh dunia hadir ke sekolah dengan perut kosong, menjadikannya sukar untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tentunya bagi mereka, makan di sekolah setiap hari amat bermakna bukan sahaja pemakanan dan kesihatan yang lebih baik, tetapi juga peningkatan akses serta bagi pencapaian pendidikan yang baik.

Terdapat berjuta-juta kanak-kanak dari semua peringkat menerima makanan di sekolah mereka. Berdasarkan kajian, dua belas atau lebih negara menyediakan makanan bertenaga tinggi dengan nilai pemakanan yang tinggi, sama ada secara percuma atau pada kadar yang menjimatkan.

Merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan

Faedah makanan sekolah berbeza-beza di setiap negara, sebagai contoh di negara maju, hidangan pelajar adalah daripada sumber makanan berkhasiat. Tentunya melalui makanan ini membantu kanak-kanak menjadi orang dewasa yang tumbuh sihat dan produktif, membantu memecahkan kitaran kelaparan mereka.

Apa yang pasti, hidangan makanan mereka harus mengandungi gabungan seimbang tahap protein, lemak dan kalori yang sesuai untuk kanak-kanak. Manakala di negara yang berpendapatan tinggi, makanan percuma biasanya hanya tersedia untuk kanak-kanak yang memenuhi kriteria berasaskan pendapatan keluarga.

Antaranya, hidangan sekolah juga harus mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran serta karbohidrat untuk memastikan anak mendapat makanan yang seimbang dan memberinya tenaga. Ia juga mendorong kanak-kanak ke sekolah dan menyokong pembelajaran kanak-kanak serta kesihatan juga kesejahteraan jangka panjang mereka.

Ia boleh menyumbang kepada pencapaian sekurang-kurangnya tujuh daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) yang dikemukakan oleh PBB dalam Perhimpunan Agungnya pada September 2015 di New York, Amerika Syarikat untuk dicapai pada 2030 sebagai agenda demi pembangunan dan kemaslahatan manusia dan Bumi.

Antaranya ialah kelaparan sifar, kesihatan dan kesejahteraan yang baik, pendidikan yang berkualiti, mengurangkan ketidaksamaan, bandar dan masyarakat mampan, keamanan, keadilan dan institusi kukuh, serta kerjasama demi matlamat.

Program Sarapan Percuma

Di Malaysia, pada Ogos 2019, mantan Menteri Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Maszlee Malik mengumumkan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan akan melancarkan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk semua murid di sekolah rendah di seluruh negara bermula Januari 2020.

Menurut Maszlee dengan jadual pemakanan yang tepat dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid terus kekal sihat dan cergas serta dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari. Program Sarapan Percuma (PSP) yang dirancang itu dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah seluruh negara.

Bagaimanapun, inisiatif itu tidak dilaksanakan susulan pertukaran kerajaan pada Februari 2020. Sebaliknya, KPM memaklumkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah kepada murid B40 yang layak di sekolah rendah akan diteruskan dengan penambahbaikan.

Peranan Keluarga Malaysia

Pihak kerajaan keluarga Malaysia sewajarnya memandang serius berkaitan pemakanan murid-murid di sekolah, sebagaimana sejak kebelakangan ini, timbul isu makanan yang kurang berkhasiat melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT) berikutan harga kos keperluan makanan meningkat.

Justeru, adalah sangat penting bagi pengusaha kantin di sekolah untuk menyediakan makanan sihat yang membantu kanak-kanak membuat pilihan yang baik dan mengikuti langkah-langkah sihat dalam pilihan mereka, yang membawa kepada pembentukan tabiat pemakanan pada awal usia serta menjadi gaya hidup yang sihat untuk mereka.

Tentunya penambahbaikan kualiti makanan di sekolah adalah satu kemestian untuk menyumbang kepada memenuhi keperluan pemakanan murid. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak pengurusan sekolah perlulah mengambil bahagian bagi memastikan penyediaan makanan kepada murid menepati kualiti diperlukan.

Inisiatif piawaian dan garis panduan pemakanan makanan di sekolah perlu dikuatkuasakan bagi melindungi hak terhadap makanan murid-murid di sekolah. Ia juga dijangka mampu menghasilkan metodologi baharu untuk membantu pihak kerajaan dan institusi membangunkan serta melaksanakan piawaian pemakanan untuk makanan yang sihat dan berkualiti tinggi untuk anak-anak di sekolah.

Selain itu, saya menyarakankan kerajaan melaksanakan semula PSP bagi merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan sebagaimana yang disarankan oleh PBB.

-- BERNAMA

Atriza Umar merupakan Pegawai Komunikasi Strategik dan Multimedia, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)