Di kampus dan di bilik kuliah, pelajar hadir dengan senyuman yang kelihatan tenang. Mereka menyelesaikan tugasan, menjawab soalan dan bergerak seperti biasa menjalani rutin harian.
Namun di sebalik senyuman, ramai memikul tekanan emosi yang jarang disuarakan. Rasa cemas, keletihan mental dan tekanan hidup sering dipendam tanpa ruang selamat untuk meluahkannya.
Hampir satu juta rakyat dewasa di Malaysia mengalami kemurungan, menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023.
Lebih membimbangkan, separuh daripada mereka mengakui pernah terlintas pemikiran mencederakan diri.
Kadar bunuh diri pula meningkat daripada 2.0 (2020) kepada 3.2 (2023) bagi setiap 100,000 penduduk, memberi isyarat jelas bahawa tekanan mental semakin meruncing dalam kalangan remaja dan belia.
Laporan melibatkan golongan muda menunjukkan sekitar 60 peratus belia pernah mengalami simptom kemurungan, manakala 30 peratus berdepan kebimbangan pada tahap sederhana hingga serius.
Malah, satu daripada 10 dilaporkan pernah mempunyai pemikiran untuk membunuh diri.
Di peringkat global pula, World Health Organization (WHO) melaporkan gangguan kebimbangan melibatkan 5.3 peratus remaja berumur 15 hingga 19 tahun, manakala kemurungan dianggarkan 3.4 peratus bagi kumpulan umur yang sama.
Senyuman tidak bererti kegembiraan
Angka-angka ini memberi gambaran jelas bahawa senyuman pelajar hari ini tidak semestinya mencerminkan kesejahteraan dalaman mereka. Beban emosi yang dipikul sering hadir secara senyap dan berpanjangan.
Jelas, ia menuntut kepekaan yang lebih mendalam daripada keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat agar sokongan tidak hanya muncul apabila keadaan sudah terlambat.
Di bilik kuliah dan kampus, tekanan ini sering hadir dalam bentuk yang halus. Pelajar perlu mengimbangi tuntutan akademik, jangkaan keluarga dan keperluan untuk sentiasa kelihatan berfungsi seperti biasa.
Ada yang mengejar tarikh akhir tugasan tanpa rehat mencukupi, memendam kebimbangan tentang masa depan, atau berdepan konflik dalaman yang sukar dijelaskan.
Dalam keadaan ini, senyuman sering menjadi topeng paling mudah untuk menutup keletihan emosi yang semakin menekan.
Tekanan terkumpul sedikit demi sedikit
Tekanan tersebut jarang muncul secara tiba-tiba. Ia terkumpul sedikit demi sedikit melalui rutin yang padat, persaingan berterusan dan rasa terasing walaupun berada dalam kelompok rakan sebaya.
Apabila ruang untuk berkongsi semakin sempit, ramai pelajar memilih untuk berdiam diri. Beban yang dipikul akhirnya menjadi senyap tetapi berat, dan hanya disedari apabila kesannya mula menjejaskan kesejahteraan diri.
Salah satu sebab pelajar sukar bersuara ialah stigma yang masih wujud terhadap isu kesihatan mental. Ramai bimbang dilabel lemah, tidak cekal atau gagal mengurus diri.
Ada juga yang takut dianggap bermasalah jika mengakui sedang bergelut dengan emosi. Dalam persekitaran yang menekankan pencapaian dan ketahanan diri, keperluan emosi sering diketepikan walaupun ia semakin mendesak.
Selain itu, akses kepada sokongan juga tidak sentiasa mudah. Tidak semua pelajar tahu ke mana harus mendapatkan bantuan.
Manakala, sebahagian merasakan ruang sedia ada terlalu formal atau menakutkan. Akibatnya, tekanan terus dipendam dan senyuman terus dipamerkan walaupun dalaman semakin rapuh.
Peranan institusi pendidikan
Sudah pasti, institusi pendidikan memainkan peranan besar dalam membina persekitaran yang lebih peka terhadap kesejahteraan pelajar.
Sokongan tidak semestinya hadir dalam bentuk program besar atau kempen rasmi.
Pendekatan yang lebih dekat dan berterusan sering memberi kesan yang lebih bermakna.
Peranan penasihat akademik di kalangan pensyarah misalnya boleh menjadi titik mula yang selamat untuk pelajar berkongsi tekanan yang mereka hadapi, sama ada berkaitan akademik, emosi atau kehidupan peribadi.
Hubungan yang terbina melalui pertemuan berkala dan komunikasi yang terbuka membantu pelajar berasa didengari tanpa rasa dihakimi.
Apabila wujud kepercayaan, pelajar lebih cenderung untuk bersuara lebih awal sebelum tekanan menjadi lebih berat. Inisiatif seperti sesi perbualan santai, sokongan rakan sebaya dan saluran bantuan yang mudah diakses mampu mewujudkan suasana kampus yang lebih prihatin dan menyokong.
Senyuman: tafsir dengan peka dan empati
Senyuman pelajar yang kita lihat setiap hari wajar ditafsir dengan lebih peka dan berempati.
Di sebalik wajah yang kelihatan tenang, ada tersimpan beban emosi yang tidak selalu dapat dizahirkan dengan kata-kata.
Kesedaran terhadap isu ini menuntut perubahan cara kita mendengar dan memahami, bukan sekadar menilai pencapaian luaran semata-mata.
Mewujudkan persekitaran yang selamat untuk pelajar berbicara tentang tekanan yang mereka alami bukan tanggungjawab individu semata-mata.
Ia memerlukan komitmen bersama daripada keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat.
Dengan ruang sokongan yang lebih terbuka dan berperikemanusiaan, senyuman pelajar bukan lagi sekadar topeng menutup beban yang senyap, tetapi cerminan kesejahteraan emosi mereka yang sebenar.
-- BERNAMA
Dr Norarifah Ali ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Senireka Perindustrian, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah.