SALAM DARI BEIJING

ADA SESUATU YANG HILANG DI MALAYSIA

24/08/2022 02:32 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid

Ni hao..

Tanggal 15 Ogos 2022 merupakan antara kenangan manis dalam diari kehidupan penulis di Beijing, apabila secara kebetulan bertemu dengan rakyat China yang memiliki nama sama dengan penulis.

Pada ketika itu, penulis sedang menghadiri Majlis Resepsi dan Pembukaan program China International Press Communication Center 2022 (CIPCC), satu program latihan untuk wartawan pelbagai negara atas jemputan China Public Diplomacy Association (CPDA).

“Kamu Hasnah? Hi, kita memiliki nama yang sama,” kata Hasna, atau nama sebenarnya Liu Meihong. Hasna sebenarnya merupakan pembantu di bahagian China Arabic Press Center, salah satu cabang program di bawah CIPCC.


Sapaan daripada Hasna itu membuatkan penulis terpanggil untuk berbual dengan gadis berusia 22 tahun dengan tubuh langsing dan tinggi lampai itu, yang turut fasih berbahasa Arab, hasil pengajiannya dalam bahasa berkenaan di Beijing Foreign Studies University (BFSU).

“Guru bahasa Arab saya memberikan saya nama Hasna membawa maksud kecantikan dan kebaikan,” kata Hasna lagi.

Sebenarnya, perbualan berkenaan agak mengujakan penulis apabila Hasna memberitahu bahawa dia pernah berkunjung ke Malaysia empat tahun lepas dan kawasan yang dikunjunginya adalah di Sabah - negeri kelahiran penulis.

Keindahan, Kecantikan Malaysia Dipuji

Mimik muka, lenggok badan dan matanya bersinar-sinar ketika menceritakan pengalamannya bercuti di Sabah, membuktikan Hasna sebenarnya amat menikmati percutiannya ke negeri di Bawah Bayu itu. Dek kerana kekangan masa, kami menyambung perbualan melalui aplikasi WeChat.

Hasna menceritakan beliau telah berkunjung ke Kota Kinabalu dan Semporna, sambil menghantar dua keping gambarnya iaitu di hadapan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan sekeping gambar laut biru di beberapa pulau di Semporna dengan kelihatan seorang penduduk Bajau Laut yang sedang mengayuh sampan.


We live by the seaside at Semporna for one night. It’s so comfortable. I love the wind there. Hope you can fully enjoy your life in China as I once did in Malaysia It’s a beautiful country. The food is impressive,” kata Hasna lagi.

Perkara ini benar-benar mengimbas kenangan penulis terhadap ‘kebanjiran’ pelancong China yang begitu ramai di Sabah suatu ketika dahulu, terutamanya di tempat tumpuan pelancong seperti di Kota Kinabalu dan Semporna, sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

Kebiasaanya ketika penulis pulang ke kampung halaman, penulis sering terserempak dengan begitu banyak kumpulan pelancong daripada China sambil ditemani pemandu pelancong mereka, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Baru-baru ini media tempatan juga melaporkan pemain industri pelancongan di Sabah juga merasa peritnya dengan polisi sifar COVID diamalkan negara dengan populasi terbanyak dunia itu, yang menghadkan perjalanan ke dan dari negara itu.

Ini memandangkan Sabah sangat bergantung kepada kedatangan pelancong China yang merangkumi separuh daripada jumlah kedatangan pelancong antara 2017 hingga 2019.

Penulis juga teringat ucapan Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin pada pelancaran Malaysia Truly Asia Festival 2022 (MTAF 2022) di Beijing baru-baru ini yang dihadiri penulis. Menurut Raja Datuk Nushirwan sebelum tercetusnya pandemik ini, sebanyak 3.1 juta rakyat China telah melawat Malaysia pada 2019.

Bagaimanapun jelas sekali jumlah tersebut telah merosot dengan mendadak sejak beberapa tahun yang lepas.

​​I was back in Malaysia for about a month, and I came back to Beijing early this month. And I could feel that there is something missing in Kuala Lumpur, and that missing something is basically the big presence of friends from China,” kata Raja Nushirwan.

Malaysia Truly Asia Festival 2022 Promosi Kebudayaan Negara

MTAF 2022 dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia di China dan Malaysian Chamber of Commerce and Industry in China (MAYCHAM) sempena Hari Kebangsaan 2022 merupakan antara program dirancang bagi mengingatkan semula rakyat China tentang Malaysia khususnya dari segi makanan, seni budaya dan peluang pelaburan.

MTAF 2022 is part of that effort to remind our Chinese friends and partners that you have a very good friends in Malaysia, which is truly Asia, in which we very much look forward to welcoming our Chinese friends,” kata beliau lagi.


Pelbagai program diatur, seperti Malaysia Food Week Festival 2022, pameran Peranakan (Baba dan Nyonya) dan seni tekat bagi memastikan rakyat China tidak lupa ‘kewujudan’ Malaysia, selain kelak menjadikan Malaysia destinasi pelancongan setelah sempadan negara China dibuka sepenuhnya.

Sesungguhnya, Malaysia merindukan kedatangan pelancong China, dan penulis percaya, begitu juga sebaliknya.

Seperti dikatakan Timbalan Ketua Perwakilan, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing S. Sanmugam: “Ada dua perkara yang rakyat China akan fikir apabila sebut tentang Malaysia, hospitaliti dan keramahan”.

– BERNAMA

Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)