TINTA MINDA

URUS INFLASI DENGAN BIJAK

07/09/2022 03:48 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Khadijah Md Ariffin

Inflasi ialah keadaan apabila berlaku kenaikan harga umum barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi. Sehingga Jun 2022, dilaporkan kadar inflasi Malaysia pada Mei 2022 meningkat kepada 2.8 peratus berbanding kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) kepada 5.2 peratus.

Rentetan peningkatan harga barang keperluan asas ini, ramai mengeluh kerana pendapatan sedia ada gagal menampung perbelanjaan seharian. Bagi keluarga yang hanya cukup-cukup makan, inflasi memberikan kesan yang signifikan kerana mereka berada dalam keadaan defisit kewangan. Jika dahulu mereka tidak mampu untuk membuat simpanan, kini mereka bukan hanya tidak mampu menyimpan, malah tidak mampu makan! Di manakah silapnya?

Apabila merujuk kepada pakar kewangan, majoriti akan mengatakan bahawa elemen paling penting dalam pengurusan kewangan ialah perancangan. Semua isi rumah perlu ada perancangan kewangan yang teliti sekiranya ingin menguruskan kewangan dengan baik.

Bagaimanapun, budaya ini jarang diamalkan. Ianya dianggap kurang penting malahan melecehkan kerana perlu berfikir mengenai matlamat kewangan jangka masa pendek dan panjang keluarga masing-masing. Akhirnya majoriti berbelanja tanpa panduan dan selalunya tersasar dari jumlah yang mereka mampu.

Bagi menangani isu kewangan defisit ini, ada di antara isi rumah meletakkan fokus pengurusan kewangan keluarga kepada penjanaan pendapatan tambahan. Ramai juga yang cuba berjinak dengan menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Walaupun alternatif ini popular namun ia bukanlah satu-satunya pilihan dalam menguruskan isu kewangan keluarga semasa inflasi.

Justeru itu, penulis kongsikan beberapa tip yang boleh diguna pakai oleh semua isi rumah dalam menguruskan inflasi.

Buat pemeriksaan kesihatan kewangan keluarga

Sediakan bajet perbelanjaan bulanan keluarga dengan menyenaraikan semua sumber pendapatan serta perbelanjaan (jika boleh asingkan perbelanjaan tetap dan berubah). Susun mengikut keutamaan dan kepentingan. Kemudian catat serta jejak perbelanjaan mingguan dengan menyediakan penyata aliran tunai keluarga. Bandingkan bajet dengan perbelanjaan yang telah dibuat. Jadikan ianya satu aktiviti yang menyeronokkan untuk dibuat bersama pasangan setiap bulan. Ambil peluang ini untuk berbincang secara positif untuk memperbaiki komitmen kewangan keluarga. Lihat kembali perbelanjaan bukan keperluan bulanan, adakah sangat perlu untuk kekal berbelanja untuk tujuan tersebut atau sebenarnya boleh dilepaskan untuk menampung perbelanjaan tambahan akibat inflasi?

Semak semula portfolio hutang sedia ada

Bank Negara Malaysia baru sahaja mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus pada awal bulan Julai 2022 lalu. Rentetan kenaikan OPR, kebanyakkan bank telah mengumumkan kenaikan Kadar Pinjaman Asas (BLR) atau Kadar Pembiayaan Asas (BFR) yang memberi kesan ke atas komitmen bulanan pembiayaan. Akibatnya, komitmen hutang keluarga meningkat dan menyumbang kepada defisit kewangan. Sebaiknya, senaraikan semua komitmen bulanan hutang sedia ada dan cuba dapatkan maklumat dari pihak bank mengenai peluang untuk pembiayaan semula pinjaman.

Bandingkan bayaran bulanan hutang serta tempoh hutang sedia ada dengan yang baharu. Pastikan elemen inflasi diambil kira semasa membuat keputusan. Tidak semua pembiayaan semula menguntungkan. Adalah lebih baik jika kita dapat membuat bayaran balik hutang berganda agar ianya dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih pendek. Bayaran awal balik hutang mampu memberikan 'pulangan' positif dalam bentuk pengurangan faedah pinjaman.

Pilih portfolio pelaburan yang betul dengan matlamat

Senaraikan semua simpanan atau pelaburan sedia ada. Kategorikan mengikut risiko yang berkaitan dan jumlah pelaburan. Lakukan analisis perbandingan antara pulangan dan risiko berkaitan setiap portfolio simpanan atau pelaburan sedia ada. Seeloknya kurangkan simpanan atau pelaburan dalam portfolio berisiko tinggi dan lebihkan pelaburan dalam portfolio yang mesra-inflasi. Perlu diingat, simpanan dalam bentuk tunai masih berisiko kerana pengurangan nilai wang disebabkan inflasi (melainkan faedah simpanan atau melebihan kadar inflasi semasa). Buat perbandingan nilai dan risiko simpanan dan pilih yang terbaik (yang mampu sekurangnya mengekalkan nilai kekayaan semasa).

Bagi mereka yang ingin melakukan kerja tambahan, sampingan atau menceburi perniagaan kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan tambahan, berhati-hati. Sekiranya salah merancang, pekerjaan tambahan mungkin akan meningkatkan kos keseluruhan berbanding pertambahan pendapatan keluarga. Contohnya kos tambahan bayaran kepada pengasuh untuk menjaga anak-anak, kos makan (mungkin tidak sempat untuk masak sendiri) ataupun kos pengangkutan. Ini belum termasuk kos intrinsik seperti masa berharga dengan keluarga, tidur yang nyenyak dan juga kesihatan yang baik.

Bagi yang ingin memulakan perniagaan kecil, sebaiknya timba ilmu secukupnya sebelum memulakan perniagaan agar risiko dapat dikurangkan. Dikhuatiri tanpa perancangan yang teliti, perniagaan akan mengalami kerugian dan akhirnya meningkatkan perbelanjaan keluarga.

Dalam apa jua keadaan, perancangan kewangan yang baik mampu memberikan kesan kepada prestasi kewangan sesebuah keluarga ataupun perniagaan. Luangkan masa sedikit untuk membuat perancangan sebelum membuat keputusan drastik seperti membuat kerja tambahan, sampingan atau memulakan perniagaan kecil.

--BERNAMA

Dr. Khadijah Md Ariffin merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)