NOTA KAMPUS

MEREALISASI POTENSI FOOD BASKET SISWA MALAYSIA

12/09/2022 09:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohd Zaidi Md Zabri

Pada awal Julai 2022, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi melalui Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia telah melancarkan Food Basket Siswa Malaysia dalam rangka usaha memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Inisiatif bakul makanan ini merupakan satu daripada tujuh inisiatif yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut. Antaranya ialah moratorium bayaran sewaan enam bulan kepada pengusaha kafeteria di kampus IPT awam, pemerkasaan inisiatif bank makanan siswa, dan penyelarasan kadar upah Program Job on Campus (JoC) dengan Perintah Gaji Minimum 2022.

Namun begitu, inisiatif bakul makanan yang menawarkan Menu Keluarga Malaysia serendah RM3.50 ini bukanlah inisiatif yang asing bagi sesetengah siswa. Ini kerana terdapatnya duluan (precedence) oleh sesetengah pengusaha kafeteria yang telah menyediakan menu bajet (contoh: nasi, sejenis lauk dan sup) atas inisiatif sendiri.

Walaupun begitu, bagi sebuah negara yang mempunyai Indeks Jarak Kuasa (Power Distance Index atau PDI) yang tertinggi di dunia menurut Prof Emeritus Geert Hofstede, inisiatif sebegini merupakan usaha yang wajar dipuji demi penyelarasan.

PDI yang dibangunkan oleh Prof Hofstede telah digunakan secara meluas sebagai kayu ukur tahap di mana ahli institusi dan organisasi yang kurang berkuasa menerima bahawa kuasa diagihkan secara tidak sama rata. Satu daripada implikasinya ialah negara kita mempunyai organisasi hierarki dengan struktur perintah dan kawalan yang agak tegar.

Menu Keluarga Malaysia

Berbalik kepada Menu Keluarga Malaysia, inisiatif atas-bawah (top-down) ini berpotensi untuk mengurangkan beban kewangan yang sedang dihadapi oleh para siswa. Sebagai contoh, sebelum ini, harga Menu Keluarga Malaysia yang serupa mampu mencecah sehingga RM7 di sesetengah kampus. Selain itu, inisiatif sebegini juga sangat membantu meringankan beban para siswa daripada keluarga B40. Sebagai contoh, setakat tahun ini, 70 peratus daripada mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan 60 peratus di Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan daripada keluarga berpendapatan B40.

Sehubungan dengan itu, melalui bajet yang serupa iaitu RM7 dan pengurangan harga sehingga 50 peratus, seorang mahasiswa boleh menjamu Menu Keluarga Malaysia sebanyak dua kali sehari. Namun begitu, menurut hukum fizik pula, setiap tindakan bakal mendatangkan kesan, khususnya dari segi aspek subsidi kerana kita sedia maklum betapa subsidi bukannya percuma.

Tentunya impak terbesar yang dihadapi oleh para pengusaha kafeteria ialah penyerapan kos. Bagaimanapun, penyerapan kos ini telah pun diimbangi melalui moratorium bayaran sewa selama enam bulan. Meskipun begitu, bagaimana kiranya usai enam bulan kelak? Adakah para pengusaha perlu menyerap ‘subsidi’ Menu Keluarga Malaysia ini? Justeru itu, saya ingin mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap inisiatif ini.

Pertama, penambahbaikan piawaian (standard) yang lebih mantap. Sebagai mahasiswa, mereka tentunya sudah terbiasa dengan penggunaan rubrik pemarkahan sebagai penanda aras dalam mengerjakan tugasan ilmiah mereka. Justeru, usaha yang sama boleh dipanjang melalui penggunaan gambar penanda aras Menu Keluarga Malaysia. Di samping itu, pihak pengusaha juga boleh menggunakan contoh sebenar dengan meletakkan sebuah pinggan yang telah pun diisikan lauk pauk bernilai RM3.50 di atas.

Kedua, inisiatif sebegini juga boleh dilengkapkan dengan daya usaha yang lebih lestari melalui penyediaan atau pemantapan kawasan dapur bersama (common kitchen) demi memberikan peluang kepada pelajar untuk memasak. Rentetan isu kelestarian di atas, adakah inisiatif sebegini merupakan inisiatif yang lestari? Jawapan ringkasnya ialah “ya.” Biarpun begitu, terdapat kaveat penting yang perlu diambil kira iaitu sumber pendanaan yang berterusan – terutamanya bagi menampung kos operasi pengusaha kafeteria.

Tanggungjawab sosial korporat

Dalam jangka masa sederhana dan panjang misalnya, kita boleh menggembleng usaha di antara pihak-pihak berkepentingan seperti alumni, industri mahupun sektor ekonomi ketiga. Sebagai contoh, kita boleh meneroka potensi sinergi bersama-sama para pembekal ayam berskala besar untuk pembekalan ayam segar kepada pengusaha kafeteria pada harga kos melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Akan tetapi, sekiranya dihitung, inisiatif sebegini hanya akan memanfaatkan sekitar 2 peratus daripada 30.2 juta Keluarga Malaysia (589,879 siswa di universiti awam pada 2021).

Lantaran itu, bagaimanakah kita boleh memanjangkan inisiatif kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan? Bagaimanapun, kita sedia maklum mengenai ruang fiskal terhad dihadapi kerajaan yang baru-baru ini dizahirkan melalui Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam (edisi kemaskini 14 Julai 2022).

Justeru itu, kita memerlukan penyelesaian luar kotak melalui strategi laut biru. Hampir setiap daerah di negara bertuah ini terutamanya di semenanjung Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu IPT awam. Ini termasuklah universiti awam, politeknik, kolej komuniti, institut pendidikan guru, kolej vokasional dan pelbagai jenis institut kemahiran.

Sehubungan dengan itu, kita boleh menggembleng institusi pendidikan dan latihan ini untuk meluaskan inisiatif sebegini kepada para penerima Skim Bantuan Kebajikan. Melalui inisiatif Menu Keluarga Malaysia berskala lebih besar ini, kita bakal melengkapi bantuan yang diterima oleh para penerima dengan menu makanan panas (hot meals) ala dapur umum (soup kitchen).

Sekiranya inisiatif ini dilaksanakan melalui perancangan dan pelaksanaan yang jitu, inisiatif ini bakal menjadi strategi serampang dua mata ini bagi mengatasi permasalahan murid bantut tumbesaran akibat ketidakcukupan makanan seperti yang dilaporkan oleh UNICEF pada 2018. Oleh kerana menara gading di negara ini tegak berdiri menggunakan duit rakyat. Dan kini, sudah tiba masanya menara gading kita kembali membumi dan membantu rakyat, sekurang-kurangnya masyarakat sekitarnya melalui inisiatif Menu Keluarga Malaysia 2.0.

--BERNAMA

Dr Mohd Zaidi Md Zabri merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)