TINTA MINDA

TEKNOLOGI IR 4.0 PEMACU ALAT PENGESANAN KEMALANGAN PEKERJA

15/09/2022 09:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Ts. Dr. Narimah Kasim

Industri pembinaan yang sedang pesat membangun sememangnya mampu memberikan banyak manfaat kepada rakyat Malaysia. Bagaimanapun, tapak pembinaan merupakan tempat yang kurang selamat dan berbahaya. Terdapat beberapa ancaman yang biasa berlaku di tapak pembinaan seperti bahan binaan yang jatuh, kerosakan elektrik, peralatan yang berbahaya, keruntuhan perancah, kemalangan sesama pekerja, serta pergerakan lalu lintas yang tidak teratur di tapak pembinaan. Industri pembinaan merupakan sektor yang semakin mencabar dengan aktiviti pembinaan yang boleh dikategorikan sebagai berbahaya.

Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), statistik kemalangan pekerjaan bagi sektor pembinaan menunjukkan 51 bilangan kes kemalangan telah dicatatkan sehingga Mac 2022, dengan 16 bilangan maut. Ini menunjukkan situasi kemalangan di tapak pembinaan amat membimbangkan dan perlu ditangani dengan berkesan. Kemalangan pekerjaan di tapak pembinaan memberi implikasi kepada masalah sosial serta ekonomi kerana boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan fizikal. Ini kerana kesan daripada kemalangan di tapak pembinaan akan menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi pekerja.

Teknologi IR4.0 bantu tingkat keselamatan di tapak pembinaan

Pengurusan keselamatan di tapak pembinaan bukan sahaja untuk melindungi pekerja malah ianya juga untuk memastikan keselamatan orang awam terjamin. Ini disebabkan tapak pembinaan kebiasaannya terletak di kawasan sibuk atau sesak yang menjadi tumpuan dan laluan orang ramai. Oleh itu, dengan adanya teknologi pengesanan kemalangan ianya akan dapat membantu memastikan keselamatan di tapak pembinaan berjalan dengan baik.

Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) adalah penting bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua pekerja yang terlibat dalam pelbagai sektor di Malaysia terjamin. Pengurusan KKP pada era pendamik COVID-19 ini memerlukan transformasi kepada anjakan paradigma yang baharu melalui penggunaan teknologi berkaitan revolusi industri 4.0 (IR 4.0). Melalui Dasar 4IR Negara, ianya dapat memacu usaha bersepadu dalam mentransformasi pembangunan sosioekonomi negara melalui penggunaan teknologi IR4.0 kepada semua industri termasuklah sektor pembinaan.


Penggunaan teknologi IR 4.0 bagi pengesanan kemalangan berpotensi dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerja. Teknologi IR 4.0 ini akan dapat mengurangkan ataupun menjangkakan kemalangan yang berlaku semasa kerja pembinaan dijalankan. Teknologi-teknologi IR 4.0 seperti Radio Frequency Identification (RFID), Virtual Reality (VR) dan Sensor adalah berpotensi dalam membantu pengesanan kemalangan dan seterusnya meningkatkan keselamatan di tapak pembinaan.

Manfaatkan teknologi IR 4.0

Kemunculan teknologi pengesanan keselamatan ini sebenarnya telah berada di pasaran beberapa dekad yang lalu. Dengan adanya teknologi bagi mengesan keselamatan seperti teknologi RFID, VR dan Sensor, ia dapat membantu mengelakkan berlakunya kemalangan di tapak pembinaan. Sebagi contoh, teknologi RFID yang menggunakan gelombang radio untuk menghantar isyarat secara terus mampu memberikan maklumat kemalangan pekerja sekiranya berlaku sesuatu bencana di tapak pembinaan.

Selain itu, teknologi sensor seperti Camera Imaging Range 3D dapat memberikan maklumat yang pantas dan ukuran yang tepat. Ianya juga dapat mengesan suhu, tekanan serta getaran, keamatan suara, keamatan cahaya, dan beban yang berat. Di samping itu, VR dapat membantu pengguna menavigasi secara bebas dalam masa nyata dan berinteraksi dengan objek maya dalam persekitaran tiga dimensi.

Melalui penggunaan teknologi RFID, peralatan RFID seperti tag boleh dilekatkan pada alat keselamatan seperti Peralatan Pelindung Diri (PPE) bagi mengawal tingkah laku pekerja, mencatat kehadiran pekerja di lokasi, dan memeriksa sama ada mana-mana pekerja mengakses kawasan yang tidak dibenarkan. VR berfungsi sebagai peranti penjejakan bagi mengesan kemalangan yang akan berlaku dalam industri pembinaan. Tracker yang dipakai di atas kepala seseorang membolehkan pengguna melihat dunia maya secara semula jadi menggunakan gerakan kepala.

Melalui teknologi VR ianya berpotensi bagi mengelakkan berlakunya kemalangan serta dapat melihat bangunan yang dibina secara 3D. Melalui teknologi Sensor pula ianya berpontensi untuk mengurangkan risiko kemalangan di tapak pembinaan pada peringkat operasi melalui pengesanan sumber yang bergerak seperti mesin, pekerja atau bahan di ruang kerja.Teknologi-teknologi pengesanan lokasi seperti RFID, Ultra-Wideband (UWB) dan Sistem Kedudukan Global (GPS) boleh digunakan untuk mengesan atau menjangkakan kemalangan yang akan berlaku.

Industri pembinaan merupakan satu daripada sektor yang paling berbahaya kerana mencatatkan banyak kes kehilangan nyawa dan harta benda di setiap negara seluruh dunia. Justeru itu, penggunaan teknologi pengesanan kemalangan dalam industri pembinaan dapat memberikan kelebihan dalam usaha meningkatkan keselamatan di tapak pembinaan. Dengan penggunaan teknologi pengesanan kemalangan ini juga ia dapat membuat pengawalan masa nyata yang berkesan terhadap pekerja, memastikan peralatan pembinaan dapat berfungsi dengan baik, penggunaan bahan yang berkualiti, kaedah pembinaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, memastikan persekitaran kerja yang kondusif bagi pencegahan kemalangan di tapak pembinaan.

Selain itu, teknologi pengesanan kemalangan dapat melakukan penyimpanan maklumat berkaitan kemalangan pekerja di tapak pembinaan dengan menggunakan teknologi seperti RFID, VR dan Sensor. Antara kelebihan yang lain, melalui teknologi berasaskan sensor ianya dapat mengesan penjejakan serta memantau lokasi bahan di tapak pembinaan dan ini merupakan aspek penting bagi mengelak berlakunya kemalangan dan pemantauan pegerakan pekerja di tapak pembinaan. Tambahan lagi, kelebihan teknologi pengesanan kemalangan di tapak pembinaan adalah dapat menjimatkan masa dalam kerja-kerja pengawalan pekerja.

Kesimpulannya, pihak-pihak yang terlibat dalam industri pembinaan hendaklah mengambil manfaat terhadap kelebihan penggunaan teknologi IR 4.0 serta saling bekerjasama agar dapat memastikan penggunaan teknologi pengesanan kemalangan bagi pengurusan keselamatan pekerja di tapak pembinaan diperluaskan dan menyeluruh.

--BERNAMA

Profesor Madya Ts. Dr. Narimah Kasim merupakan Penyelidik Utama Pusat Kecemerlangan Pengurusan Fasiliti (CeFM) Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)