TINTA MINDA

AGROPRENEUR MUDA PERLU TINGKATKAN KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN DEMI PERKASA SEKTOR AGROMAKANAN

19/09/2022 11:41 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Atikah Nor Johari

Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan penduduk di Malaysia akan mencecah angka 41.5 juta orang menjelang 2040. Angka ini menunjukkan dengan jelas akan berlaku peningkatan ke atas permintaan makanan dan memberi kesan terhadap rantaian nilai industri pertanian dan sekuriti makanan negara.

Jadi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) perlu bertanggung jawab sepenuhnya dalam memastikan bekalan makanan negara stabil dan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat untuk jangka masa panjang. Perancangan dan tindakan komprehensif dalam sektor pertanian perlu dirancang bagi memastikan landskap sosioekonomi negara terus memberi impak positif dan kesejahteraan rakyat terus meningkat.

Justeru itu, MAFI amat menggalakkan penglibatan agropreneur muda dalam sektor agromakanan. Kerjasama antara MAFI; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI); Institut Pengajian Tinggi dan agensi-agensi yang berkaitan dipercayai dapat mengubah landskap pertanian negara ke arah pertanian digital.

Golongan agroprenuer muda ini dipercayai berkemahiran mengaplikasikan penggunaan teknologi digital seperti Internet of Things (IOT), Global Positioning System (GPS), Big Data Analysis (BDA) dan Artificial Intelligence (AI) dalam meningkatkan produktiviti pertanian.

Memetik pandangan Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon, sektor agromakanan memerlukan penglibatan golongan muda yang berkemahiran bagi merebut peluang yang bermanfaat dan mampu mencari idea baharu serta berkecimpung dalam bidang agromakanan. Kemahiran keusahawanan dilihat menjadi satu keperluan dalam arus perubahan dunia keusahawanan yang semakin dinamik dan mencabar pada masa kini.


Rentetan daripada itu, dalam konteks ekonomi berasaskan pengetahuan dan dunia tanpa sempadan, sektor agromakanan perlu dibanjiri ogropreneur muda yang memiliki kemahiran keusahawanan. Kemahiran-kemahiran keusahawanan seperti kemahiran pengurusan, pemasaran, pengeluaran operasi, kewangan, perakauanan, sumber manusia, komunikasi, teknolgi komunikasi dan maklumat perlu dikuasai bagi membolehkan peluang peniagaan diterjemahkan kepada idea perniagaan yang berdaya maju dan seterusnya menempah kejayaan dalam bidang keusahawanan pertanian.


Jadi, bagi menjamin Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021-2025) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) berjaya dikecapi, kemahiran keusahawanan dalam kalangan agropreneur muda di Malaysia perlu ditingkatkan ke arah kemahiran teknologi digital.

--BERNAMA

Dr. Atikah Nor Binti Johari Merupakan Pensyarah Kanan (Keusahawanan) Fakulti Perniagaan Dan Komunikasi (FPK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)