Universiti Awam Malaysia merupakan nadi utama negara dalam menghasilkan graduan yang holistik dan cemerlang untuk memenuhi keperluan sumber manusia negara. Bakat yang dihasilkan inilah yang akan menyokong ekosistem serta menyumbang terhadap kemajuan ekonomi, perindustrian, sektor swasta dan badan kerajaan. Lebih penting graduan yang dilahirkan ini juga merupakan barisan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.
Sehubungan itu peneraju Universiti Awam khususnya di peringkat pentadbir utama perlu memiliki keupayaan untuk membawa hasrat dan aspirasi negara seterusnya diterjemahkan kepada melahirkan graduan yang kompeten serta memahami peranan mereka dalam pembinaan kecemerlangan negara bangsa.
Universiti Awam perlukan peneraju yang cekap mendepani cabaran
Menyingkap situasi semasa yang berhadapan dengan cabaran VUCA iaitu volatility (meruap); uncertainty (tidak menentu); complexity (rumit); dan ambiguity (kabur), menjadikan organisasi seperti Universiti Awam memerlukan bakat peneraju yang tangkas (agile), anjal (flexible) dan inklusif dalam mendepani perkara ini.
Perubahan yang sering berlaku ketika ini acap kali menuntun kita untuk bertindak seterusnya menyesuaikan diri agar kesan yang diterima sekurang-kurangnya tidak merugikan atau memberikan tempias negatif kepada diri dan keluarga. Keadaan ini tidak terkecuali dan turut dihadapi oleh organisasi sama ada dalam sektor awam atau pun sektor swasta.
Deretan perubahan mendadak yang berlaku sebenarnya membawa kita dalam situasi BANI iaitu Brittle (rapuh); Anxious (cemas atau membimbangkan); Non-linear (tidak lurus); dan Incomprehensible (sukar untuk difahami). Terjemahan realiti menunjukkan betapa keadaan pasca kritikal wabak COVID-19 ketika ini bukan sahaja menuntut individu tetapi juga organisasi untuk beradaptasi dan melakukan penyesuaian yang diperlukan agar kekal relevan untuk kelangsungan hidup.
Pengalaman yang diperolehi pentadbir Universiti Awam dalam mendepani cabaran ini telah membawa kepada perubahan dalam banyak perkara. Keadaan brittle ataupun rapuh telah membentuk keupayaan bakat untuk beradaptasi dan anjal (flexible) dalam mengurus perubahan. Situasi anxious bermaksud cemas atau membimbangkan telah melahirkan bakat yang memiliki keinsanan dengan peduli, empati dan saling membantu terhadap insan lain.
Keadaan non-linear iaitu tidak lurus telah menggalakkan pembelajaran berteraskan bakat agar mampu melaksanakan pelbagai tugas (multi-tasking) dan menguasai bidang merentasi disiplin. Sementara itu, keadaan incomprehensible iaitu sukar untuk difahami telah merubah bakat agar lebih bersifat terbuka, bertoleransi dan mencari titik pertemuan dalam memahami serta meraikan perbezaan pendapat. Daripada sisi positif, situasi BANI telah membangunkan kompetensi penting bakat Universiti Awam untuk mendepani cabaran ini.
Kesinambungan pemimpin pelapis yang berwibawa
Melihat lebih jauh ke depan, kesinambungan dalam aspek pewarisan kejayaan (succession plan) pentadbir utama Universiti Awam perlu turut melibatkan aspek tersurat dan tersirat (tacit and implicit) yang perlu dikuasai dan perlu diturunkan kepada barisan pemimpin utama pentadbir masa hadapan. Pengalaman, pengetahuan dan solusi yang diperturunkan ini akan membolehkan organisasi lebih bersedia dalam mendepani perubahan serta cabaran yang berlaku dalam situasi yang tidak menentu ketika ini.
Universiti Awam perlu merancang dan melaksanakan transformasi pengurusan bakat berasaskan kompetensi secara tersusun khususnya dalam kalangan kepimpinan pelapis masa hadapan. Pembangunan kompetensi terhadap bakat yang holistik, tepat dan fleksibel terhadap perubahan akan membolehkan organisasi terus kekal cemerlang selain bakat dan kepimpinan organisasi akan sentiasa berada di tahap yang terbaik
Merujuk kepada dalil Naqli dalam Al-Quran Surah Yusuf, Ayat 55 Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan". Seorang pemimpin harus menguasasi konsep Hafizun ‘Alim iaitu bakat peneraju perlulah seorang yang pandai menjaga (mentadbir dan mengurus) dan berpengetahuan dalam bidang (business acumen). Penguasaan terhadap kompetensi khusus untuk posisi jawatan akan membolehkan bakat melaksanakan tugasan dengan cekap, efisyen dan berkualiti tinggi yang pastinya dapat memenuhi kehendak pemegang taruh serta pelanggan keseluruhannya.
Usaha memperkasakan pentadbir Universiti Awam perlu dilestarikan, misalnya kolaborasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT) menganjurkan Changemaker Leadership Program For Senior Administrators (CLAPSA) pada 28-30 September lepas adalah suatu yang positif. Program ini memfokuskan kepada aspek kepimpinan, pengetahuan dan kemahiran kelompok bakat yang disasarkan untuk posisi jawatan Pendaftar dan Bendahari Universiti Awam.
Bagi penulis, penekanan dalam aspek pewarisan kejayaan (succession plan) dalam kalangan pentadbir Universiti Awam perlu dilaksanakan dengan lebih mampan dengan barisan kepimpinan pelapis akan lebih bersedia dengan menguasasi tahap kompetensi yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan dengan cemerlang. Sesungguhnya kejayaan Universiti Awam adalah pemangkin dan nadi utama kecemerlangan sumber manusia negara.
--BERNAMA
Mejar Bersekutu (PA) Syafful Annuar Sarani merupakan Ketua Seksyen Kompetensi dan Pelan Penggantian, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia USIM