TINTA MINDA

PERANAN SEMUA PIHAK MARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAAN

31/10/2022 09:33 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Siti Hajar Bidin

Bahasa kebangsaan merupakan bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan suatu bangsa atau negara. Di Malaysia, bahasa kebangsaan yang juga merupakan bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu. Ianya telah termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, yang menyatakan bahawa bahasa rasmi digunakan untuk semua urusan rasmi di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga badan berkanun.

Jika dilihat pada Perkara 152 Perlembagaan Malaysia ini, dapat kita lihat dengan jelas betapa pentingnya peranan bahasa Melayu. Namun, adakah kita merasakan itu yang terjadi di Malaysia. Adakah setiap daripada kita sebagai warganegara, sedar tentang peranan dan kepentingan bahasa Melayu? Apabila kita memperkatakan mengenai kepentingan bahasa Melayu, tidak bermakna kita menolak peranan dan kepentingan bahasa-bahasa lain yang ada di Malaysia, khususnya bahasa Inggeris.

Oktober, sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan

Sehingga kini pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk meletakkan bahasa Melayu di tempatnya. Antaranya ialah dengan pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada bulan Oktober setiap tahun. Bulan Bahasa Kebangsaan merupakan suatu program yang memfokuskan kepada kempen mencintai bahasa Melayu, dipelopori penganjurannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tujuannya untuk mendidik masyarakat agar dapat menyemarakkan, memartabatkan serta mendaulatkan bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek dan bidang ke arah kelestarian bahasa Melayu di Malaysia.

Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya dan haknya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Mendaulatkan Bahasa Melayu pula bermakna menyanjung dan menghormati bahasa Melayu, menjadikannya berkuasa dan berwibawa. Tanggungjawab ini tidak seharusnya diletakkan kepada DBP sahaja, sebaliknya ia menjadi peranan dan tanggungjawab semua pihak. Kitalah yang dapat menjadikan bahasa Melayu tonggak kepada proses pembentukan negara bangsa dan ia terus kekal sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual, bahasa sastera serta juga bahasa pentadbiran.


Dalam merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa intelektual, peranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia, institusi-institusi pendidikan awam dan swasta adalah penting. Sehubungan itu, KPT telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi merangka pelan perancangan bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi, khususnya di universiti awam (UA). Melalui penubuhan jawatankuasa ini, telah terhasil suatu program yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di UA, 2016-2020. Usaha yang berterusan di pihak kerajaan ini membuktikan kesungguhan kita dalam mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Malaysia terutamanya dalam sektor awam.

Galakan penghasilan bahan ilmiah dalam Bahasa Melayu

Sokongan daripada pihak kerajaan dan teraju utama negara perlu dipertingkatkan dalam mengalakkan dan perbanyakan bahan-bahan ilmiah dalam bahasa Melayu seperti penyelidikan, penulisan dan penerbitan. Kerajaan menghantar para intelektual ke luar negara bagi mendapatkan ilmu dalam pelbagai bidang. Namun ilmu itu akan kekal dalam bahasa yang dipelajari sahaja seandainya tidak diolah kembali dalam bahasa Melayu melalui penulisan. Dengan memperbanyak bahan ilmiah dalam bahasa Melayu, barulah hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menjadi kenyataan. Jika ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, peranan para intelektual dan ahli akademik di Malaysia sangat penting. Sumbangan kepakaran mereka sangat bermakna dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Australia kelahiran Malaysia, Bon Cheng Lim atau Sam Lim telah menarik perhatian ramai apabila membuat ucapan sulungnya di Parlimen negara itu dengan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Mandarin. Sam Lim kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tangney di Perth, Australia. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula telah mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perhimpunan diplomatik terbesar yang berlangsung di New York pada 24 September 2022 telah menyaksikan keupayaan bahasa Melayu di pentas global serta penerimaan masyarakat luar terhadap bahasa kebangsaan kita. Terima kasih atas usaha-usaha mereka yang telah membawa bahasa Melayu kepada dunia luar dan membuktikan bahawa tidak ada cacat celanya menggunakan bahasa Melayu di peringkat global.

Jika tidak kita sendiri sebagai warganegara Malaysia mendaulatkan bahasa kebangsaan kita, siapa lagi yang boleh kita harapkan. Amat menyedihkan sekiranya warganegara Malaysia sendiri yang merendahkan martabat bahasa kebangsaan. Sedangkan, tanpa kita sedari ramai orang asing yang berminat untuk mempelajari bahasa Melayu kerana merasakan ianya suatu bahasa yang unik dan mudah untuk dipelajari dan dituturkan.

Terdapat banyak negara di dunia ini yang telah membuktikan mereka boleh maju dan kehadapan setanding negara barat, walaupun hanya dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Oleh itu, marilah kita mencontohi negara-negara yang seperti ini dan bersama-sama menyokong hasrat dan usaha kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul agar bahasa kita sentiasa dipandang tinggi. Gunakanlah bahasa yang baik dalam kehidupan seharian kita sama ada dalam perbualan mahupun dalam penulisan. Setiap sumbangan kita dalam memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu mampu memberi impak besar terhadap perkembangan bahasa Melayu. Dengan adanya sokongan semua pihak, bahasa Melayu mampu berdiri seiring dengan cabaran semasa.

--BERNAMA

Siti Hajar Bidin merupakan Ketua Jabatan, Jabatan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)