TINTA MINDA

ADAKAH KITA BERSEDIA MENENTANG PERUBAHAN IKLIM?

07/11/2022 09:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Mogesh Sababathy

 

Peranan seorang pemimpin secara amnya mempertahankan kedaulatan negara demi kemajuan dan kesejahteraan hidup. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan, pemilihan pemimpin adalah ditangan rakyat maka segala tindakan dan keputusan yang diambil oleh kerajaan haruslah memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat. Sejak pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lepas, perkembangan politik negara semakin hangat dibicarakan setiap hari. Jelas bahawa kita akan memilih dan mengangkat seorang lagi pemimpin yang bakal mengemudi pentadbiran dan mengorak strategi dalam memastikan pembangunan negara yang aman dan maju. Menjadi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin yang memandang serius dan komited bukan hanya terhadap isu pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat tetapi memastikan kelestarian alam sekitar tetap terpelihara.

 

 

Keutamaan terhadap persekitaran dan iklim

 

Keutamaan harus diberikan untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara ke arah yang lebih mampan dan tidak terbatas dengan ukuran kemajuan yang berteraskan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sahaja. Pertumbuhan ekonomi negara harus saling menyokong perlindungan alam sekitar selari dengan Agenda 21 Persidangan Rio 1992 yang bermatlamat untuk menghentikan kerosakan alam sekitar dengan menggalakkan pembangunan lestari. Ini kerana kesan perubahan iklim yang semakin ketara dan membimbangkan khususnya di Malaysia setelah mengalami beberapa kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, pencemaran udara dan air, peningkatan suhu melampau serta cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini. Ia bukan hanya merosotkan kualiti alam sekitar malah menyebabkan penurunan kualiti hidup disebabkan peningkatan jurang sosioekonomi dan penurunan tahap kesihatan masyarakat. Antaranya adalah menyusun strategi transformasi ekonomi negara yang adil dan lestari dengan memfokuskan kepada peralihan penggunaan tenaga tidak boleh diperbaharui kepada tenaga boleh diperbaharui. Selain itu menggiatkan promosi pekerjaan hijau dalam kalangan masyarakat terutama bagi golongan belia.

 

Golongan muda adalah golongan yang paling kurang menyumbang kepada perubahan iklim, namun mereka paling terdedah kepada kesan perubahan iklim. Kerajaan Malaysia harus memandang serius usaha menggalakkan penglibatan belia khususnya  dalam advokasi dasar awam yang tertumpu kepada isu persekitaran dan iklim. Memudahkan akses kepada maklumat berkaitan alam sekitar dan dasar-dasar  berkaitan supaya mereka mampu menyumbang kepada tindakan iklim di peringkat tempatan mahupun antarabangsa menggunakan platform media sosial atau media cetak dengan efisien dan menyeluruh. Mereka juga harus diiktiraf sebagai rakan strategik kerajaan dalam proses pembuatan dasar dan membuat keputusan, ia bertujuan melahirkan belia yang lebih cakna terhadap isu alam sekitar dan perubahan  iklim.

 

 

Persidangan Youth4Climate 2022

 

Perkara ini juga telah diketengahkan dalam Persidangan Youth4Climate 2022 yang diadakan seiring dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York pada bulan lepas. Saya juga menyertai persidangan itu sebagai satu-satunya wakil belia Malaysia. Persidangan yang bertemakan “Powering Action” atau ‘pemerkasaan tindakan’ menekankan empat tema utama iaitu cita-cita pemacu belia, pemulihan mampan, penglibatan pelbagai pihak dan masyarakat cakna iklim. Persidangan tersebut juga memberi ruang kepada aktivitis belia dari seluruh dunia bertukar pendapat, berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai isu dan inisiatif yang diterajui mereka untuk menangani perubahan iklim. Ia juga membuka peluang bekerjasama dan membina sebuah komuniti belia global yang cakna tentang isu alam sekitar dan perubahan iklim. Ia juga bagi menyokong penglibatan belia secara bermakna dalam tindakan iklim sekaligus memupuk sebuah ekosistem yang inklusif dalam proses mengambil keputusan bersama pemimpin negara mahupun dunia di pelbagai peringkat.

 

Dalam pada itu, sistem tadbir urus pengurusan alam sekitar perlu koheren, cekap dan responsif kepada keperluan semua kumpulan umur dan khususnya golongan muda dalam mereka bentuk penyelesaian tempatan yang partisipatif dan sistemik. Saya percaya bahawa dalam usaha untuk mengambil tindakan mengenaiisu perubahan iklim dan alam sekitar harus melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk golongan terpinggir seperti belia dan masyarakat Orang Asli. Mengambil kira pandangan mereka supaya dapat mengambil keputusan yang lebih inklusif dan komprehensif.

 

 

Pujian untuk Malaysia

 

Tindakan kerajaan Malaysia baru-baru ini dalam menangani isu alam sekitar haruslah dipuji. Antaranya Pindaan Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 dengan meningkatkan kadar hukuman bagi penjenayah alam sekitar. Selain itu, meningkatkan kesiapsiagaan menangani bencana banjir dalam bentuk pemantapan sistem amaran, pembinaan infrastruktur air yang berdaya tahan terhadap bencana iklim, pembangunan Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040, pelaksanaan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional dengan meningkatkan kecekapan penggunaan dan pengurusan tenaga serta penggubalan rang undang-undang perubahan iklim. Ini menunjukkan tahap keprihatinan kerajaan Malaysia yang tinggi terhadap isu alam sekitar dan perubahan iklim terutamanya dalam membina sebuah negara yang rendah karbon dan berdaya tahan melalui langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim. Bagaimanapun, saya berharap agar komitmen kerajaan ini dilaksanakan dengan membangunkan strategi pemantauan kemajuan yang jelas dan telus supaya sasaran hasil daripada perlaksanaan dasar dan projek ini dapat dicapai dengan cekap.  Selain itu menggalakkan penyertaan aktif daripada masyarakat terutamanya penggiat industri dan pihak berkepentingan yang menerajui tindakan iklim di peringkat akar umbi.

 

Pembangunan dasar sahaja tidak mencukupi sekiranya rakyat Malaysia tidak mempunyai kesedaran dan ilmu tentang keperluan memberi keutamaan kepada isu perubahan iklim dan kelestarian alam. Mereka juga berperananan penting untuk mendukung matlamat kerajaan agar tidak menjadi seperti ‘besar pasak daripada tiang, besar sandal daripada gelegar’. Satu daripada caranya adalah dengan meningkatkan literasi alam sekitar melalui pemantapan strategi pemindahan ilmu. Perkara ini dapat dilakukan dengan memaksimumkan kapasiti gedung-gedung ilmu di negara kita seperti institusi pendidikan untuk memainkan peranan aktif melahirkan generasi muda yang berilmu dan prihatin terhadap alam sekitar sekaligus menjadi ejen penyebar kesedaran di persekitaran mereka sendiri. Pada masa sama, kerajaan harus menggiatkan usaha menggalakkan pusat-pusat ini menjalankan projek komuniti yang lebih berfokus kepada pengurusan alam sekitar dan perubahan iklim melalui insentif kewangan dan kemudahan-kemudahan lain.

 

 

IPCC

 

Laporan Penilaian Keenam Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) menunjukkan bahawa pelepasan gas rumah hijau daripada aktiviti manusia bertanggungjawab untuk pemanasan suhu global kira-kira 1.1°C sejak akhir abad ke-19, dan mendapati bahawa purata suhu global dalam tempoh 20 tahun akan datang, dijangka mencapai atau melebihi 1.5°C. Isu perubahan iklim yang semakin lama semakin parah ini harus diambil serius sama seperti kita bertindak untuk menangani wabak COVID-19 yang menghantui hidup masyarakat dunia sejak dua tahun lepas. Dalam sebuah artikel penulisan Bill Gates yang diterbikan oleh The GatesNotes menyatakan bahawa impak daripada perubahan iklim mungkin boleh menjadi lebih teruk daripada wabak COVID-19 jika tidak ditangani dengan segera. Jika kita boleh melakukannya untuk menangani COVID-19, kita boleh melakukannya untuk perubahan iklim.

 

Oleh itu, menjelang Persidangan ke-27 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP27-UNFCCC) yang bakal berlangsung pada November ini di Sharm El Sheikh, Mesir, saya menyeru kepada kerajaan Malaysia agar komited dalam mengutamakan keperluan menangani isu perubahan iklim dengan efisien dan menerapkannya dalam pembangunan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik secara menyeluruh. Saya juga ingin menekankan bahawa tindakan yang progresif dan segera amatlah kritikal bagi mengehadkan impak perubahan iklim yang memberi tekanan bukan hanya kepada persekitaran tetapi juga kepada kesejahtaraan dan kemakmuran Malaysia. Saya berharap agar komitmen dapat diterjemahkan kepada perlaksanaan dengan memberi keutamaan kepada ketelusan dalam tadbir urus perubahan iklim serta penyertaan rakyat yang aktif dan inklusif untuk membina negara dan persekitaran yang mampan. Perubahan iklim adalah krisis global dan usaha  untuk memitigasinya adalah tanggungjawab kita bersama!

--BERNAMA

 

Mogesh Sababathy merupakan Aktivis Belia Alam Sekitar Pengasas Bersama Project Ocean Hope Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)