TINTA MINDA

MANFAAT MENDAKI BAGI KESIHATAN FIZIKAL DAN MENTAL

15/11/2022 09:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Munirah Mohd Yusof

Pandemik COVID-19 sememangnya telah memberi impak besar kepada corak kehidupan serta sosio-ekonomi sesebuah masyarakat. Antara yang menjadi kebimbangan ialah tahap kesihatan mental. Impak pasca-COVID menyaksikan ramai rakyat kehilangan pekerjaan semasa pandemik. Ia telah memberi kesan kepada ekonomi sesebuah institusi kekeluargaan serta menyebabkan berlakunya tekanan perasaan.

Memetik satu laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, kes bunuh diri meningkat sebanyak 3.5 peratus berpunca daripada tekanan yang dilaporkan berlaku pada tahun 2020 berbanding 2019. Turut membimbangkan, ada juga rakyat yang menghadapi gejala kemurungan dan gemuruh apabila berada dalam keadaan tertekan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menangani gelaja ini. Antaranya melakukan aktiviti luar serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Manfaat mendaki

Kajian daripada Cambridge University Press yang dikongsikan oleh Profesor Kenneth R. Fox pada tahun 1999 mendapati bahawa aktiviti fizikal bukan sahaja menambahkan kecergasan tubuh badan, malah latihan fizikal seperti senam robik, berjoging, berbasikal dan mendaki gunung mampu memberi mood atau emosi positif.

Antara aktiviti yang sering menjadi minat rakyat Malaysia pada era pasca-COVID-19 adalah aktiviti pendakian. Aktiviti ini semakin menjadi pilihan tidak mengira peringkat umur. Majoriti masyarakat kita menjadikan aktiviti ini sebagai cara untuk meningkatkan kecergasan fizikal serta sebagai kaedah untuk mengawal berat badan. Namun begitu, aktiviti ini bukan sekadar meningkatkan kesihatan fizikal malah juga mempunyai manfaat lain.

Dikategorikan sebagai aktiviti sukan dan senaman, mendaki turut membantu pendaki meningkatkan kecergasan dan ketahanan mental serta fizikal para pendaki. Perjalanan pendakian amat membantu pendaki membina ketahanan dan meningkatkan tahap kardio individu. Kepelbagaian trek dan trail turut membantu pendaki untuk meningkatkan kestabilan serta keseimbangan badan terutama apabila berjalan di trek yang berbatu-batu, sempit serta dipenuhi akar-akar kayu yang berselirat. Pendaki perlu sentiasa berhati-hati agar mampu mengawal keseimbangan badan masing-masing. Kemahiran ini secara tidak langsung dapat membantu individu tersebut untuk lebih fokus dan cakna kepada keadaan persekitaran.


Aktiviti pendakian turut membantu pembakaran kalori individu. Walaupun senaman lain juga membantu pembakaran kalori, namun aktiviti pendakian ini membakar kalori lebih banyak berbanding senaman pertengahan yang lain. Lemak yang tersimpan dalam badan manusia akan digunakan sepanjang tempoh pendakian terutama untuk pendakian yang mempunyai tempoh masa panjang. Walau bagaimanapun, pembakaran ini adalah berdasarkan tempoh masa dan jenis pendakian yang yang dijalankan. Sebagai contoh, sumber daripada Division of Nutrition, Physical Activity and Obesity, National Center for Chronic Disease Prevention and Health Promotion menyatakan secara puratanya mendaki dapat membakar kira-kira 350 hingga 400 kalori untuk tempoh satu jam, manakala hanya 250 hingga 300 kalori sahaja dibakar dengan aktiviti berjalan kaki.

Ketiga, selain kebaikan fizikal yang terzahir, salah satu kebaikan utama mendaki adalah kita akan disajikan dengan keindahan alam semula jadi yang penuh dengan flora dan fauna serta udara yang segar. Sepanjang pendakian, sekiranya bertuah pendaki akan disajikan dengan pelbagai spesies flora yang unik seperti spesies orkid dan periuk kera dan mungkin akan terserempak dengan spesies fauna yang jarang ditemui selain di kawasan hutan. Pelbagai keindahan dan keunikan juga dapat ditemui dan ianya berbeza mengikut trek, laluan dan hutan yang didaki.

Sebagai contoh, dengan mendaki ke Gunung Tahan, pendaki disajikan dengan beberapa laluan sungai yang jernih dan mendamaikan serta keindahan kepulan awan di atas puncaknya. Jika cuaca cerah, pendaki juga dapat menyaksikan keindahan matahari terbit serta matahari terbenam. Selain itu, jika mendaki ke Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak, pendaki akan berpeluang menemui ribuan spesies flora dan fauna selain melihat keunikan puncak Pinnacles yang terdiri daripada batuan semula jadi yang juga diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Keempat, dengan pendedahan kepada alam sekitar yang alami, secara tidak langsung ia membantu kita mengurangkan tekanan harian, mengosongkan minda serta boleh membuat kita gembira. Satu kajian daripada Dr. Emily Holmes pada 2020 yang dilaporkan di Lancet Psychiatry mendapati bahawa pandemik Covid-19 sememangnya memberi kesan kepada kesihatan mental serta memberi impak tekanan dan trauma serta kemurungan dan kebimbangan.

Mengurangkan tekanan

Selain itu, satu laporan kajian yang dijalankan oleh Dr. Hemavathi pada 2020 juga mendapati bahawa penjarakan fizikal yang dilaksanakan sepanjang COVID-19 telah memaksa individu untuk tinggal di rumah dalam jangka masa panjang dan tekanan akan wujud jika suasana di rumah tersebut tidak kondusif dan tidak sihat.

Oleh kerana itu, amatlah bermanfaat sekiranya ada aktiviti-aktiviti luar seperti mendaki dapat dilakukan bagi membantu mengurangkan tekanan. Soroton kajian lepas oleh Thompson Coon pada 2011 di dalam Environmental Science Technology melaporkan bahawa melakukan aktiviti luar dan fizikal meningkatkan kesihatan fizikal dan mental seperti mengurangkan tekanan, kekeliruan dan kemarahan.

Selain itu, menurut kajian daripada Standford University pada tahun 2015, mendaki mampu meningkatkan kegembiraan, mengurangkan kebimbangan serta mengurangkan kadar tekanan. Kajian yang telah dipaparkan di Proceedings of the National Academy of Science menyatakan bahawa berjalan selama 90 minit di persekitaran semula jadi amatlah membantu meningkatkan kesihatan mental, serta membantu menangani masalah kemurungan dan tekanan.

Mendaki dengan rakan juga membolehkan kita membina rangkaian sosial serta berinteraksi dengan dunia luar. Ini amat membantu kita menyegarkan diri dengan bertemu rakan pendaki serta berkongsi pengalaman baharu selain membina memori bersama, serta lari seketika daripada rutin harian kita.

Sememangnya aktiviti mendaki ini amat bersesuaian kepada mereka yang baharu sahaja berjinak-jinak untuk melakukan aktiviti fizikal di luar selain dapat menikmati keindahan dan kehijauan trail pendakian yang mampu menyegarkan minda pendaki.

Sebagai permulaan, bolehlah mencuba trail yang mudah dan ringkas dahulu untuk membiasakan diri dengan aktiviti pendakian. Setelah semakin mahir dan berpengalaman, pendaki boleh melakukan pendakian di trail yang lebih sederhana dan sukar pula.

--BERNAMA

Munirah Mohd Yusof merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)