TINTA MINDA

MENIKMATI KELAZATAN MUSANG KING, BLACK THORN MALAYSIA DI SHANGHAI

06/01/2023 08:33 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid

Pernahkah anda membawa durian ke bilik hotel? Penulis percaya pasti ramai yang tidak pernah kerana hampir semua hotel tidak membenarkan raja buah dengan bau yang agak kuat itu dibawa masuk ke premis berkenaan.

Namun, lain pula ceritanya bagi penulis dan rakan-rakan apabila kami membawa dan menikmati keenakan durian kebangaan Malaysia - Musang King dan Black Thorn (Duri Hitam) di bilik sebuah hotel di Shanghai, China pada 12 tengah malam.

Mungkin ramai tertanya-tanya bagaimana penulis memperoleh buah berkenaan. Sebenarnya ia diberikan seorang tauke durian berasal dari Malaysia yang menjalankan perniagaan mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk buah ke China sejak beberapa tahun lepas.

Penulis kebetulan bertemu beliau yang ketika itu membuka reruai dengan menawarkan durian untuk dicuba secara percuma kepada pengunjung Ekspo Import Antarbangsa China (CIIE) edisi kelima yang berlangsung dari 5 hingga 10 Nov lepas di Shanghai.

Tauke durian berkenaan kemudiannya menawarkan kepada penulis dan rakan penulis dari Malaysia, dua biji durian yang telah disejuk beku sehingga tiada bau yang dapat dihidu daripada bungkusan durian berkenaan.

Pada awalnya, kami berdua menolak, memandangkan saiznya agak besar, dan memikirkan kami tinggal di hotel dan agak susah untuk membuka kulit durian di samping dikhuatiri akan mengeluarkan bau yang kuat apabila bungkusan dibuka.

Namun beliau tetap berkeras mahu memberikan durian tersebut dan akhirnya kami mengalah dan membawa pulang durian itu ke hotel penginapan kami di tengah-tengah bandar Shanghai.



Rakan dari Indonesia, Kemboja, Puji Keenakan Durian Malaysia

Penulis dan rakan penulis buntu memikirkan bagaimana untuk menghabiskan durian tersebut disebabkan kuantitinya yang agak banyak memandangkan kami berdua yang bukanlah ‘hantu durian’.

Lantas kami terfikir untuk mengajak rakan-rakan dari negara Indonesia dan Kemboja untuk sama-sama menikmati durian berkenaan.

“Tidak pernah lagi saya rasa durian seenak ini,” kata rakan penulis dari Indonesia, Marshalina, sambil diakui rakan penulis dari Kemboja, Chanmolika. Dua biji durian bersaiz besar itu habis dimakan dalam masa kurang 30 minit, hanya tinggal beberapa ulas sahaja yang tidak dapat dihabiskan.

Sambil menikmati durian tersebut, kami bertukar-tukar cerita mengenai kisah durian di negara masing-masing.


Dapat menikmati durian berkenaan di negara asing memang seronok, apatah lagi penulis telah lama tidak merasai keenakan durian. Penulis juga berasa bangga kerana buah yang mengandungi pelbagai vitamin dan mineral itu begitu popular di China.


Durian Malaysia Laris Di China

Durian, yang dikenali di Asia Tenggara sebagai ‘raja buah’ begitu popular di China sejak beberapa tahun lepas dan telah menjadi buah utama yang banyak diimport negara itu daripada segi jumlah dan nilai.

Pada 2017, China mengimport 224,400 tan metrik durian dan jumlah itu meningkat kepada 821,500 tan pada 2021 dengan nilai import mencecah $4.2 bilion, menurut Pentadbiran Am Kastam China.

Durian Musang King dan Duri Hitam adalah antara yang mendapat permintaan tinggi.

Peningkatan itu dipercepatkan oleh Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) baharu yang memudahkan China mengimport buah-buahan segar dari negara Asia Tenggara.


Malaysia sendiri telah dibenarkan mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji ke China mulai 2019, sekali gus mengekalkan keaslian rasanya dan menjadikan buah tahan lebih lama. Sebelum ini, hanya durian dalam bentuk ulas (pulp) dan pes (paste) yang boleh di eksport ke China.

Eksport durian negara telah mencapai peningkatan 107 peratus dalam tempoh lima tahun sebelumnya, melonjak kepada nilai RM144.7 juta (AS$34.7 juta) pada 2020 daripada RM69.9 juta (AS$16.8 juta) pada 2016.

Menjelang September 2020, durian Malaysia telah dibenarkan memasuki 22 negara dan wilayah.


Menurut data perdagangan bagi 2020, lima pasaran luar negara teratas bagi durian Malaysia yang disenaraikan mengikut nilai import ialah Hong Kong, tanah besar China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia.

– BERNAMA

Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)