Amanat Khas Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim - “Membangun Malaysia Madani” pada 19 Januari 2023 lalu merupakan visi dan kerangka besar dasar Kerajaan Perpaduan. Ia antara lain sebagai ikhtiar memetakan semula strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan. Sekaligus mengoptimumkan fungsi jentera kerajaan serta tanggungjawab melaksanakan dasar berkaitan.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat khususnya penjawat awam mengangkat martabat insan yang berpaksikan keyakinan, nilai, akhlak serta tata kelola adil dan berkesan. Warga perkhidmatan awam perlu menerapkan Madani dalam memacu urusan pentadbiran masing-masing. Ini kerana pimpinan politik serta kabinet akan berganti pergi. Namun, penjawat awam akan kekal sebagai nadi penggerak dan tulang belakang dengan usaha mengangkat sistem dan peraturan bernegara.
Agenda khusus Malaysia Madani
Malaysia Madani mempunyai agenda khusus kepada penyelesaian masalah, memenuhi keperluan semasa, menyentuh pencorakan masa depan dan memenuhi potensi rakyat serta negara. Cita-cita besar ini akhirnya bermatlamat demi membina semula kegemilangan Malaysia sebagai negara makmur dan adil. Ia disertakan dengan penolakan kepada sebarang bentuk kezaliman terhadap individu atau kaum. Lantaran enam dasar / 'rukun Madani' harus dihadam dan diasimilasi oleh setiap diri penjawat awam dalam konteks nilainya.
Pertama ialah 'rukun Kemampanan'. Ia merujuk kepada usaha-usaha perkhidmatan yang dijalankan oleh penjawat awam dalam mencapai kelewahan dan kemajuan mutu hidup masyarakat. Dalam hal ini, penekanan kepada keseimbangan dengan acuan sendiri yang unik sangat ditekankan. Tidak boleh ada “peniruan usaha” secara “semberono” daripada percontohan lain.
Ikhtiar-ikhtiar mampan menuntut nilai-nilai kebersamaan, kolektif dan berterusan daripada penjawat awam dan semua lapisan rakyat. Dalam mencapai kesejahteraan dan keseimbangan ini, penjawat awam diminta menyerlahkan sifat saling menghormati dan mengasihi sesama manusia dan alam sekitar dalam segala urusan perkhidmatannya.
Dengan demikian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai agenda pembangunan dan kemaslahatan manusia dan bumi pada 2030 harus dicakna dengan baik oleh semua penjawat awam.
Kedua ialah 'rukun Kesejahteraan'. Penjawat awam harus melihat segala khidmat yang diberikan harus terangkum dalam keseimbangan mewujudkan kesejahteraan rakyat dan bersifat progresif secara jasmani mahupun rohani. Sejahtera berhubung kait dengan nilai kecemerlangan dan kejayaan (al-falah).
Dalam beberapa perhimpunan bersama penjawat awam sebelum ini – Perdana Menteri turut menyarankan penjawat awam melonjakkan kecemerlangan atau 'al-falah' melalui pemantapan modal insan dengan kompetensi masa hadapan. Ia bagi membantu organisasi menjadi lebih kukuh dan fleksibel, pengurusan dan pembangunan sesuatu projek bertambah cekap, pantas serta berimpak tinggi.
Ketiga merupakan 'rukun Daya Cipta'. Ia mengambil pendirian terhadap keupayaan penjawat awam melakukan sesuatu perancangan tugasan dengan betul dan berkesan buat pertama kali. Namun yang terlebih penting ialah aspek kreativiti meliputi nilai reka cipta dan reka baharu. Daya cipta pada setiap penjawat awam diharap mewujudkan proses perubahan yang berkesan dalam organisasi sekali gus perkhidmatan kepada rakyat.
Penjawat awam dengan segala kelebihan pada organisasi hendaklah mampu merangsang dan menggalakkan penghasilan sistem, idea dan proses yang boleh ditambah baik serta lebih maju.
Keempat adalah 'rukun Hormat'. Nilai menghormati merupakan cerminan kepada tingkah laku penjawat awam yang berbudi bahasa, bersopan santun dan tawaduk. Ia sekaligus menjadi asas kepada maruah perkhidmatan awam unggul. Setiap penjawat awam diminta menumpukan khusus kepada keperluan hak asasi dan maruah rakyat yang disantuni pada organisasi masing-masing.
Sebagai contoh, warga perkhidmatan awam perlu sedia mendengar pendapat yang diutarakan rakyat dan menerima kekhilafan yang dilakukan. Ia perlu dibuktikan dan diterjemahkan dengan proses penambahbaikan dari semasa ke semasa sama ada pada diri dan organisasi. Hubungan “penjawat awam – rakyat” yang berdalil dengan prestasi ini akan menerbitkan nilai hormat yang ikhlas mendasar.
Kelimanya menuntut pacuan 'rukun Keyakinan'. Ia merupakan sikap percaya atas kemampuan dalam melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan dengan benar dan bijaksana. Keyakinan dalam setiap usaha dalam perkhidmatan awam mempunyai kaitan erat dengan sifat amanah. Ia menjadi unsur paling integriti dalam menjamin ketenteraman masyarakat serta membina jambatan kepercayaan terhadap penjawat awam.
'Rukun Madani' terakhir adalah Ihsan. Penjawat awam disaran senantiasa prihatin peduli terhadap setiap keperluan dan penderitaan masyarakat. Perasaan ihsan juga merujuk kepada tanggungjawab sosial dalam menyelami penderitaan dan kemelaratan rakyat. Oleh itu, ia perlu diterjemahkan kepada usaha berbentuk dasar polisi sebagai jalan penyelesaian paling ampuh. Nilai Ihsan yang unggul bakal memartabatkan semua anggota masyarakatnya.
Sesungguhnya pelaksanaan Dasar Malaysia Madani memerlukan kesungguhan dan kerjasama literasi serta advokasi tidak berbelah bahagi seluruh penjawat awam. Ia kerangka yang perlu difahami sebaiknya berserta dengan segala kekuatan, percanggahan, kekacauan, keserentakan dan masa hadapan yang menjadi ekosistemnya.
Moga-moga cita-cita suci untuk membangunkan Malaysia Madani yang dihasratkan adalah tercapai dan memenuhi seluruh ruang aspirasi dan impian rakyat Malaysia dapat dicapai.
--BERNAMA
Dr. Lutfan Jaes ialah Dekan di Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia