TINTA MINDA

KOMITMEN KOMUNITI SOKONG HIDUP GOLONGAN ISTIMEWA

23/02/2023 04:53 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Siti Suriani Othman

Oleh: Dr Siti Suriani Othman

Tidak ada manusia yang terlepas dengan dugaan dalam kehidupan. Dugaan hidup boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti kemudahan, keselesaan atau diuji dengan kesukaran hidup. Ada yang diuji dengan kemiskinan, malah ada yang diuji sejak lahir dengan kekurangan fizikal atau mental. Baru-baru ini, kita bersedih dengan kejadian gempa bumi yang menduga saudara kita di Turkiye dan Syria dengan ribuan angka korban. Itu juga pastinya salah satu bentuk ujian kehidupan.

Apa pun dugaan yang datang termasuklah diuji sebagai golongan istimewa, pastinya ia perlu ditangani dan proses inilah yang menduga komitmen kita semua sebagai sebuah komuniti dalam masyarakat. Secara kolektif ia perlu kerjasama semua pihak untuk bersama-sama membantu golongan ini agar mereka rasa disokong dan tidak tersisih daripada golongan majoriti.

Namun, kita juga ada mendengar jejak-jejak kejayaan golongan istimewa. Mereka sangat mandiri, malah lebih hebat daripada golongan normal. Mendiang Profesor Stephen Hawking mungkin satu nama yang tidak janggal kepada kebanyakan kita, seorang pakar fizik dan kosmologi, malah adalah pengarah pusat kosmologi di Universiti Harvard. Menjadi pemegang ijazah doktor falsafah pada usia semuda 20 tahun, setahun selepas itu dia didiagnos menghadapi penyakit neuron motor yang secara perlahan-lahan melumpuhkannya serta menghilangkan keupayaan berkata-kata.

Mungkin terlalu tinggi jika kita melihat pencapaian dan sumbangan Stephen Hawking sungguhpun dalam keterbatasan fizikalnya. Tapi ini menunjukkan bahawa tidak mustahil bagi golongan istimewa untuk berjaya, malah lebih berjaya dan dapat menyumbang pula kepada masyarakat dan dunia.

Persekitaran dan sokongan positif bantu kejayaan OKU

Dalam konteks Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), jika boleh dikongsikan dalam perspektif terdekat dengan hidup saya ialah kejayaan Dr Mohammed Adnan Rajab yang bergraduasi sebagai pemegang doktor falsafah dalam Majlis Konvokesyen USIM kali ke-20 tahun lepas. Walaupun diuji dengan masalah penglihatan seawal usia lima tahun, guru bahasa Arab yang berasal dari Palestin itu boleh meraih kejayaan membanggakan dalam hidup malah menjadi tiket untuknya membantu dan membangunkan orang lain pula.

Kejayaan ini, pastinya tidak diraih dengan usaha solo beliau. Dalam temu bual dengan media, beliau sendiri mengakui sokongan daripada persekitaran amat membantu keseluruhan proses pengajiannya kerana kekangan diri yang hanya mampu mendengar dan bercakap sahaja. Namun, tidak dinafikan bahawa keunikan golongan istimewa ini kadang kala turut dilihat dengan pandangan berbeza bagi sesetengah ahli masyarakat. Kesedaran bahawa manusia itu sama di sisi Allah perlu diterapkan agar tiada pandangan-pandangan hina dilontar kepada golongan istimewa yang pastinya dihisab berbeza dengan kita yang diduga dengan nikmat kehidupan yang lebih.

Daripada segi definisi, golongan istimewa atau dirujuk Orang Kurang Upaya (OKU) adalah individu yang memerlukan perkhidmatan istimewa untuk mereka hidup berdikari dalam komuniti. Kategori OKU boleh dibahagikan kepada (a) kecacatan perkembangan (terencat akal), (b) cacat angota, (c) cacat penglihatan, (d) cacat pendengaran, (e) cacat pembelajaran (learning disabilities), (f) autisme, (g) bisu dan seumpamanya.

Tidak keterlaluan, jika kita boleh sama-sama meraikan komuniti atau institusi yang mengambil inisiatif menyantuni golongan ini. Memang banyak pertubuhan yang mempunyai pelbagai insentif untuk membantu golongan istimewa dan hal ini nampaknya tidak terkecuali bagi USIM yang meletakkan diri sebagai institusi yang cakna dengan keperluan golongan istimewa.

Dengan hasrat memudahkan pembelajaran golongan istimewa supaya mereka mempunyai akses dan peluang kepada pelbagai ilmu agama dan mempraktikkannya, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) seawal 2006 lagi sudah memulakan inisiatif meneroka pengajian Quran Braille dalam kalangan golongan istimewa penglihatan. Usaha ini membuahkan hasil apabila Kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunah menjadi kursus Wajib Fakulti yang ditawarkan kepada pelajar FPQS dua tahun selepas itu. Menarik dan menginspirasi, ini adalah kursus pertama seumpamanya yang ditawarkan oleh universiti awam di negara ini.

Banyak lagi program yang dianjurkan dan kerjasama yang dipatri untuk membantu golongan istimewa di negara ini antaranya kerjasama dengan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) memberi ruang pelajar USIM sendiri untuk membantu anak-anak istimewa pendengaran dan percakapan dalam pelbagai aktiviti dakwah. Kerjasama lain turut dijalin dengan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA).

Menerusi Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum pula, pelbagai aktiviti menyantuni golongan istimewa dilaksanakan. Majlis khatam Quran secara besar-besaran misalnya diadakan sempena sambutan Hari OKU Sedunia dengan meraikan keupayaan golongan ini membaca al-Quran dengan kaedah-kaedah dan kemudahan yang disediakan.

Ditambah lagi pada tahun lepas, USIM berjaya mencipta aplikasi Quran isyarat pertama yang memudahkan pembacaan al-Quran bagi golongan istimewa pendengaran. Dengan aplikasi percuma ini, ia membuka ruang pembelajaran dan penghayatan al-Quran yang sangat luas kepada golongan ini, sama ada di Malaysia atau di mana-mana sekali mereka berada. Malah, aplikasi ini turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai First Sign Language al-Quran Application yang hari ini telah merekod lebih 2,000 pengguna sejak dilancarkan.

Usaha-usaha menyokong keperluan hidup golongan istimewa hakikatnya sangat bermakna kepada mereka. Inisiatif sebegini harus diketengahkan agar usaha yang dilakukan sampai kepada golongan sasaran, malah membawa impak yang positif kepada kehidupan mereka. Tiada gunanya jika pelbagai usaha dibuat tetapi tidak dapat dimanfaatkan kepada golongan ini kerana kurangnya promosi dan pended nb ahan.

--BERNAMA

Dr Siti Suriani Othman ialah Pensyarah Kanan Program Komunikasi di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)