TINTA MINDA

AL-QURAN: KEKUATAN UMAT ISLAM SEJAGAT

24/02/2023 09:09 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Mohd Hamidi Ismail dan Prof. Madya Dr Ahmad Najaa Mokhtar

Memasuki tahun 2023, umat Islam sekali lagi digegarkan dengan tindakan provokasi membakar naskhah suci al-Quran pada 22 Januari di Sweden oleh Rasmus Paludan, pelampau sayap kanan Parti Stram Kurs, setelah pernah merancang melakukan tindakan yang sama pada 14 April tahun lepas.

Paludan yang memiliki dua kerakyatan Denmark-Sweden telah melakukan jenayah agama dan kemanusiaan terbabit di hadapan kedutaan besar Turkiye di Stockholm, bukan sahaja membangkitkan kemarahan umat Islam malah mungkin mencalar kredibiliti kerajaan Sweden yang mempromosikan toleransi beragama sebagaimana termaktub dalam Tolerance Act (Sweden) 1781 dan pindaannya 1951.

Kerajaan Sweden membelakangi kecemerlangannya dalam laporan PEW Research Center sebagai negara sekular paling mesra menerima kepelbagaian anutan apabila meluluskan permit kepada tindakan jenayah Paludan. Lebih mengejutkan, pihak berkuasa keselamatan kerajaan Sweden dikerahkan berada di tempat kejadian bagi memberi perlindungan kepada Paludan.

Beberapa hari selepas kejadian itu, satu lagi tindakan provokasi yang sama dilakukan ke atas kitab suci umat Islam mengambil tempat di Den Haag, Netherlands oleh Edwin Wagensfeld, ahli politik sayap kanan Belanda dan ketua pelampau anti-Islam Pegida.

Sementara itu di Norway, Lars Thorsen seorang lagi pelampau agama turut bersedia dengan tindakan yang sama, seolah-olah melakukan secara bersiri penganiayaan ke atas al-Quran Karim dan perasaan umat Islam yang mesti diadakan di atas slogan kebebasan bersuara.

Paludan dipetik sebagai berkata “jika anda tidak fikir sepatutnya ada kebebasan ekspresi, anda perlu tinggal di tempat lain” telah disemak oleh pengkaji sebagai sebuah mesej politik dan perkauman. Akan tetapi, mesej yang disampaikan melalui tindakan sedemikian tidak memberi sebarang kesan kecuali mencerminkan kekolotan dan kedunguan pendemostrasi.

Pandangan al-Azhar

Institusi pengajian Islam terkemuka dunia Universiti al-Azhar, menyifatkan tindakan tersebut hanya memberi kesan buruk kepada agenda kesejahteraan sejagat dan dialog antara agama yang sekian lama dibangunkan berbanding memberi kesan kepada umat Islam.

Sheikh al-Azhar, Prof. Dr Ahmad Tayyib berkata umat Islam sudah sekian lama mengharungi kezaliman dan penindasan yang dilakukan musuh, sehingga mereka dapat menjangkakan bagaimana kezaliman musuh terhadap kitab Allah dan agama Islam.

Menurut Prof. Dr Abbas Shawman, mantan wakil Sheikh al-Azhar pula, tindakan jenayah membakar naskhah al-Quran tidak mengurangkan kemuliaannya mahupun kemuliaan umat Islam akan tetapi mengurangkan intelektual, tamadun dan peradaban pihak yang membakarnya.

Al-Quran kekal terpelihara

Al-Quran yang terbahagi kepada dua, kalam berlafaz dan kalam maknawi, dipelihara oleh Allah SWT daripada penyelewengan apatah lagi segala bentuk penghinaan. Allah SWT berfirman “Kamilah yang menurunkan peringatan (al-Quran) dan Kamilah yang menjaganya” (al-Hijr:9) menegaskan berkenaan pemeliharaan dan pengawasan rapi al-Quran semenjak ia diturunkan kepada Rasulullah SAW hingga ke Hari Kiamat.

Pemeliharaan al-Quran bukan hanya secara tulisan yang dikekalkan dalam bentuk mashaf malah dalam bentuk hafazan. Bahkan pemeliharaan dalam bentuk hafazan lebih utama kerana turut memelihara cara bacaan dan sebutan huruf al-Quran secara keseluruhannya.

Oleh itu, Nabi SAW mengangkat para huffaz sebagai ahli Allah dengan sabdanya “bagi Allah ahli-ahli-Nya dalam kalangan manusia, mereka adalah ahli al-Quran” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Dalam sabda Baginda yang lain “kemuliaan Allah diperolehi daripada memuliakan warga emas dan penghafaz al-Qur’an” (Hadis Riwayat Abu Daud) mengisyaratkan kepada kedudukan yang tinggi bagi para huffaz, maka tidak hairan para sahabat berusaha menghafaz al-Quran walaupun setelah kewafatan Nabi SAW, termasuklah isteri-isteri baginda seperti Aisyah, Hafsah dan Ummu Salamah.

Umat Islam terus-menerus mengekalkan kemuliaan menghafaz al-Quran. Setiap generasi di seluruh pelusuk dunia pasti ada kelompok yang menghafaz al-Quran. Fakta ini memberi bukti nyata kitab suci umat Islam tersebut tidak dapat dibinasakan sekalipun semua naskhahnya dibakar. Justeru, tindakan Paludan hanyalah mengundang protes hebat umat Islam dan kritikan keras masyarakat dunia.

Hellen Sejlert, saintis politik dan pejuang hak asasi memberitahu wartawan Anadolu Agency, tindakan Paludan telah menyebabkan Islamofobia yang turut menzahirkan anti-semitisme dan rasisme. Ia adalah mentaliti Nazisme yang mendapat kecaman agama-agama lain dan bukan sahaja Islam.

Rabai Yahudi, Lody van de Kamp misalnya, menyelar tindakan jenayah membakar al-Quran sebagai menyerang falsafah kepercayaan dalam kehidupan manusia. Ia bukan menyasarkan umat Islam sahaja tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai kepercayaan agama.

Pada zaman milenial ini, tindakan biadap ke atas mana-mana agama dianggap kolot dan terpisah daripada realiti. Pihak yang berbuat demikian seperti menyangkal kepesatan teknologi, kemudahan akses maklumat dan penyebarannya yang sentiasa memberi pencerahan kepada setiap pencari kebenaran.

Jika pihak terbabit hanya mahu membangkitkan kemarahan umat Islam dengan menganggap umat Islam sebagai manusia gasar yang akan membalas dengan kekolotan maka usaha sedemikian pasti meleset.

Pemboikotan

Umat Islam sedar jenayah membakar al-Quran merupakan satu lagi propaganda bagi menjauhkan mereka daripada melihat isu sebenar khasnya pergolakan yang sedang berlaku di Tebing Barat Palestine serta keengganan Ankara,Turkeye menerima Sweden menyertai NATO.

Oleh itu, banyak negara Islam mengambil pendekatan bijak dengan melancarkan pemboikotan barangan Sweden dan Denmark sebagai tanda protes terhadap jenayah yang mendapat sokongan kedua-dua negara terbabit.

Pihak yang anti-Islam sepatutnya belajar daripada sejarah bagaimana umat Islam berjaya menghadapi fitnah dan provokasi musuh yang tidak sedikit. Kuncinya, terletak pada pegangan umat Islam terhadap kandungan al-Quran dan sanjungan terhadap Rasulullah SAW sebagaimana pesan baginda “Aku tinggalkan dua perkara yang akan menyelamatkan kalian daripada kesesatan selama-lamanya; Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya SAW” (Hadis Riwayat Malik).

Justeru itu, survival umat Islam mustahil diganggu-gugat selagi mana mereka merealisasikan wasiat Nabi SAW ini.

--BERNAMA

Dr Mohd Hamidi Ismail ialah Pensyarah Kanan, Program Akidah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

Dr Ahmad Najaa Mokhtar ialah Profesor Madya, Program Akidah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)