Negara Hadarah, Madani dan bertamadun memerlukan modal insan atau pekerja yang berwibawa, cemerlang dan berkualiti dalam menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh setiap majikan. Pekerja yang bertugas dalam sesebuah organisasi harus merancang dan mengurus mehnah dan tribulasi seharian mereka dengan cara berkesan dan tersusun, khususnya dalam menempuh era IR 4.0 atau zaman pendigitalan masa kini. Kerana dunia akhir-akhir ini sering terdedah dengan seribu macam dugaan khususnya di tempat kerja.
Jika individu tidak mengendahkan kesemua masalah tersebut, maka mereka bakal menghadapi pelbagai tekanan yang akhirnya menyebabkan masalah yang lebih serius. Impak hilangnya nilai murni dalam diri insan atau organisasi adalah seperti kecewa, malas, tertekan, bunuh diri, terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang, ketagih dengan gajet atau terlibat dengan minuman keras, jenayah kolar putih, diskriminasi, rasuah, penipuan dan kezaliman serta salah guna kuasa dan seumpamanya. Oleh itu, modal insan atau masyarakat yang bakal dilahirkan sudah semestinya tidak selaras dengan dasar dan hasrat kerajaan untuk melihat warganegara yang hebat dan madani.
Al-Quran sebagai panduan
Sesungguhnya azam dan tekad hakiki bukanlah melahirkan semata-mata insan yang gemilang dalam pekerjaannya, yang lebih utama ialah mencapai kejayaan sebenar (al-Falah) dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Oleh itu, kitab suci Al-Quran diturunkan bertujuan mengembalikan manusia ke jalan fitrah dan benar menerusi teladan bimbingan Rasulullah SAW sebagai idola terbaik membentuk budi pekerti yang sempurna. Tiada insan kamil selain Baginda SAW yang paling sesuai untuk dicontohi dalam pelbagai segi dan aspek tata kelola dan akhlak peribadi. Perkara ini seiring dengan Hadith Baginda SAW yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad dengan maksudnya:
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak”.
Tambahan pula, Allah SWT merakamkan pengakuanNya dalam kitab suci Al-Quran bahawa kekasihNya Rasulullah SAW adalah idola terbaik untuk dicontohi seluruh manusia menerusi Surah Al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”.
Sehubungan itu, segala amalan, tingkah laku, tutur kata, atau pengakuan Baginda SAW harus kita telusuri untuk memastikan segala tadbir urus di dunia ini dilaksanakan dengan sesempurna mungkin. Hal ini kerana Baginda SAW sendiri menyarankan umatnya agar sentiasa melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, tekun, berdisiplin dan kualiti. Ia terbukti dengan mafhum Hadith Baginda SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara Itqan atau bersungguh-sungguh (sempurna dan kualiti)”.
Bertitik tolak kepada kefahaman Hadith tersebut, amalan nilai murni juga harus dititikberatkan dalam organisasi atau secara bermasyarakat. Nilai murni Ihsan contohnya, sangat penting sebagai satu komitmen kualiti seseorang dalam melaksanakan amanah kerana Allah SWT. Oleh itu, definisi Ihsan ini dihuraikan oleh Syed Othman al-Habshi (1998) dalam tiga konsep asas iaitu pertamanya, Ihsan yang bermaksud tingkah laku yang betul, baik, kebajikan, berperikemanusiaan dan belas kasihan.
Konsep kedua ialah Ihsan yang difahami daripada Hadith Rasulullah SAW yang memberi maksud suatu perasaan takut yang timbul dalam diri dan merasakan dirinya sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT sewaktu mendekatkan diri kepadaNya (Muraqabah).
Ketiga, Ihsan yang bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan dengan kaedah yang terbaik (proficiency). Malah, nilai murni Ihsan ini akan terserlah apabila disandarkan kepada aspek Tauhid sebenar iaitu kepercayaan kepada Allah SWT yang sebenarnya menerusi konsep Uluhiyyah dan Rububiyyah. Falsafah Tauhid ini perlu diangkat sebagai satu pegangan teguh individu untuk memantapkan hubungan seseorang dengan Penciptanya (Habl min Allah) dan juga hubungan sesama manusia dan juga mahluk lain (Habl min al-Nas). Justeru, penekanan kepada konsep sebenar pendidikan Tauhidik dan ajaran Islam harus menjadi satu keperluan penting dalam mendokong aspirasi dan tonggak masyarakat madani yang dicitakan.
Selain itu, Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa nilai Ihsan merangkumi amalan atau budaya sesuatu melebihi keadaan asalnya. Perkara ini bermaksud bahawa umat Islam seharusnya keluar dari kelompok yang hanya melakukan rutin kerja atau sesuatu aktiviti pada tahap yang sama, akan tetapi memperbaiki mutu sesuatu amalan dan perlakuan seharian (Nor Akrimi & Anuar, 2017) agar dapat menguasai segenap aspek kehidupan semoga menjadi masyarakat yang hebat.
Sehubungan itu, kesinambungan antara rohani (spiritual) dan jasmani (materialistik) harus disinergikan bersama dengan nilai murni Ihsan ini. Perkara ini bertujuan agar dapat melahirkan insan yang sempurna (kamil) dan berkualiti demi negara yang menuju kepada kemajuan dan ketamadunan yang tinggi. Malahan, kepentingan nilai murni Ihsan ini semakin diutamakan apabila negara Malaysia sendiri telah menjadikannya sebagai rukun untuk merubah masyarakatnya menjadi komuniti yang sejahtera, berdaya saing, saling menghormati sesama insan serta bekerja dengan berkualiti tinggi. Semoga dengan penghayatan nilai murni Ihsan ini mampu mendidik jiwa manusiawi ke arah membentuk karamah insaniyah yang disegani seantero dunia dan juga dirahmati Ilahi sepanjang zaman.
--BERNAMA
Profesor Dr. Hasan Al-Banna Mohamed Ialah Pengarah Bahagian Jaminan dan Pengurusan Data Fakulti Pengajian Dan Pengurusan Pertahanan, Upnm