Oleh Dr Mohd Norazmi bin Nordin (Dr. NN)
Pernahkah kita bayangkan bagaimana rasanya membesar tanpa dapat melihat dan tanpa dapat mendengar? Dalam dunia yang penuh dengan bunyi dan warna, ada anak-anak yang hidup dalam senyap dan gelap. Mereka tidak menyambut pagi dengan kicauan burung, tidak mengenal warna pelangi, dan tidak memahami arahan lisan mahupun tulisan.
Inilah realiti kehidupan murid yang mempunyai ketidakupayaan berganda, mereka dikenali sebagai murid buta-pekak (deafblind). Murid buta-pekak merupakan kelompok kecil tetapi sangat unik dalam komuniti pendidikan khas. Mereka bukan sekadar tidak dapat mendengar atau melihat. Mereka mengalami dua bentuk kehilangan deria serentak, menjadikan komunikasi, pergerakan, dan akses kepada maklumat jauh lebih mencabar berbanding murid lain. Mereka adalah golongan minority dalam minority.
Proses Pembelajaran Yang Mencabar
Di sekolah harian biasa, cabaran untuk menyantuni murid buta-pekak bukan hanya terletak pada kekurangan alat bantu atau kemudahan fizikal, tetapi juga pada kefahaman dan kesediaan sistem pendidikan itu sendiri. Mereka sering ‘tersembunyi’ di sebalik label "pelbagai kecacatan", menyebabkan identiti sebenar dan keperluan unik mereka tenggelam. Guru-guru pula sering berhadapan dengan situasi yang amat mencabar.
Ramai tidak menerima latihan khusus untuk berinteraksi dengan murid yang bukan sahaja tidak dapat mendengar suara mereka, tetapi juga tidak dapat melihat gerak bibir atau isyarat tangan. Dalam keadaan ini, komunikasi taktil menjadi satu-satunya jambatan, namun ia memerlukan kemahiran, kesabaran, dan latihan yang mendalam.
Bayangkan seorang guru dalam bilik darjah arus perdana, yang sedang mengurus 25 murid lain, perlu juga memberi perhatian khusus kepada seorang murid buta-pekak. Tanpa pembantu guru khas, tanpa alat bantu komunikasi, dan tanpa sokongan berstruktur, guru itu mungkin berasa hilang arah, dan murid pula terpinggir.
Deafblind: Perlu Pendekatan Lebih Holistik
Bagi murid buta-pekak, dunia pembelajaran tidak berlaku melalui visual atau audio. Mereka membina pemahaman melalui sentuhan, pergerakan, bau, dan getaran. Sebuah buku cerita tidak bermakna tanpa taktil. Sebuah lagu tidak bererti tanpa getaran. Malangnya, kebanyakan sekolah harian tidak memiliki sumber seperti buku taktil, alat komunikasi berbentuk objek, atau peranti Braille yang canggih.
Lebih menyedihkan, sesetengah murid buta-pekak hanya duduk diam di sudut kelas, tidak kerana mereka tiada potensi, tetapi kerana tiada siapa yang memahami bagaimana untuk berhubung dengan mereka. Dalam kesunyian dan kegelapan itu, mereka menjadi ‘tidak terlihat’ dalam sistem.
Ibu bapa pula sering berasa terasing. Mereka perlu menjadi guru, jurubahasa, pembela, dan penyelaras terapi, semuanya dalam satu masa. Ramai yang terpaksa berhenti kerja demi memastikan anak mereka dapat menjalani kehidupan yang bermakna. Namun dalam banyak keadaan, mereka sendiri tidak tahu ke mana harus dituju untuk mendapatkan sokongan yang sewajarnya.
Persoalannya, sampai bila kita akan biarkan murid buta-pekak ini tertinggal jauh di belakang? Sudah tiba masanya sistem pendidikan negara kita memberi pengiktirafan khusus terhadap murid ini. Mereka bukan sekadar sebahagian daripada kelompok ‘masalah berganda’. Mereka mempunyai identiti, hak dan potensi yang tersendiri. Pendidikan mereka perlu dirangka berasaskan pendekatan holistik, bukan hanya dari segi akademik, tetapi dari segi emosi, sosial, dan komunikasi alternatif.
Garis Panduan Khusus
Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan satu garis panduan khusus untuk pendidikan murid buta-pekak, termasuk latihan guru, peruntukan bahan bantu, serta pelan intervensi awal yang menyeluruh. Institusi latihan perguruan pula harus memasukkan modul khas berkaitan komunikasi taktil, orientasi dan mobiliti, serta pendekatan pengajaran berdasarkan deria sentuhan.
Sekolah harian juga perlu disokong dengan kemudahan dan pembantu pengurusan khas yang memahami keperluan murid ini. Kita tidak boleh harapkan guru memikul semuanya seorang diri. Mereka perlukan pasukan sokongan, terdiri daripada pakar terapi pertuturan, jurupulih cara kerja, pakar penglihatan dan pendengaran, serta perancang pendidikan individu.
Lebih daripada itu, masyarakat perlu dididik untuk tidak menyamakan ‘senyap’ dan ‘gelap’ dengan ‘kosong’ atau ‘tidak berguna’. Murid buta-pekak mampu memberikan sumbangan besar kepada masyarakat jika mereka diberikan akses, ruang dan kepercayaan. Mereka mampu menari mengikut rentak getaran, membaca dunia melalui tangan, dan memahami kasih sayang melalui sentuhan.
Ada dalam kalangan mereka yang berjaya menamatkan pengajian, menjadi motivator, penceramah, malah seniman. Tetapi mereka tidak sampai ke situ secara sendiri, mereka sampai dengan bimbingan, kasih sayang, dan sistem yang benar-benar inklusif. Penulis percaya bahawa pendidikan untuk murid buta-pekak bukan sekadar soal dasar, ia soal kemanusiaan.
Ia mencerminkan sejauh mana kita menghargai setiap nyawa, setiap potensi, walau sekecil apa sekalipun. Jika benar kita ingin mewujudkan pendidikan untuk semua, maka jangan kita lupakan mereka yang hidup di sebalik senyap dan gelap. Kerana dalam senyap itu, ada harapan. Dan dalam gelap itu, ada cahaya, jika kita sudi melihatnya dengan hati.
-- BERNAMA
Dr. Mohd Norazmi bin Nordin (Dr. NN) merupakan Pensyarah Kanan Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Rantau Asia Timur, Majlis Antarabangsa Bagi Pendidikan Untuk Orang Ketidakupayaan Penglihatan, serta seorang penyanyi, Komposer dan penulis lirik.