TINTA MINDA

KAWAL PENGGUNAAN VAPE ELAK KRISIS KESIHATAN AWAM

19/04/2023 07:53 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Basmin Maarof

Manusia telah beribu-ribu tahun merokok. Namun sejak tahun 1800 apabila pembuatan rokok mula dikilangkan secara besar-besaran, bilangan perokok turut selari meningkat dengan mendadak.

200 tahun kemudian iaitu sekitar tahun 2003, rokok elektronik diperkenalkan kali pertama di China. Semenjak itu, penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape berkembang dengan meluas, menyaingi rokok konvensional.

Ramai orang masih beranggapan bahawa vape lebih selamat daripada rokok kerana asap yang disedut tidak ‘membakar’ paru-paru.

Namun beringatlah juga, beribu-ribu tahun juga masa diambil untuk menyedari rokok boleh mengakibatkan terjadinya serangan jantung dan strok.

Ini juga termasuk penyakit kanser paru-paru, tekak dan mulut serta kepada perokok. Malang sekali, rokok turut juga menzalimi orang sekitar yang turut menyedut asap tersebut.

Sementara itu, rokok elektronik cuma baru sahaja wujud lebih kurang dua dekad yang lalu, tidak cukup lama untuk benar-benar mengetahui kesan jangka panjang terhadap kesihatan badan.

Bahaya cecair nikotin

Namun apa yang pasti, rokok elektronik mengandungi nikotin. Kedua-dua rokok dan rokok elektronik bertujuan untuk memberikan kesan nikotin, sama ada dalam bentuk asap atau wap air berperisa.

Berbanding dengan rokok elektronik atau vape, pada awalnya vape dikatakan hanya mengandungi sejenis bahan kimia sahaja iaitu nikotin.

Namun, setelah beberapa tahun dipasarkan cecair rokok elektronik ini, didapati pelbagai perisa cecair nikotin yang ditawarkan mengandungi beberapa bahan kimia berbahaya seperti toluena, asetaldehid, benzena, kadmium, isoprena, nikel, plumbum dan N-nitrosonornicotine.

Sama seperti rokok, kandungan nikotin dalam vape akan mempengaruhi kelajuan degupan jantung dan menaikkan tekanan darah. Nikotin ada kesan hebat terhadap otak yang mampu merangsang otak sehingga menimbulkan rasa lebih segar kepada penggunanya.

Ini boleh diibaratkan seperti kesan hormon dopamin yang mengubah kimia otak bagi memberikan rasa ceria dan gembira. Namun apabila kesan rangsangan nikotin ini hilang, rasa gian akan datang pada perokok sehingga timbul desakan dalam diri untuk perlu mendapatkannya kembali.

Inilah bahaya yang terjadi apabila kesan nikotin telah mengganggu sistem semula jadi badan apabila berjaya menggantikan dopamin sebagai hormon semulajadi.

Rasa gian yang tidak normal ini telah menyebabkan pengguna ketagih mendapatkan nikotin bagi mengembalikan rasa normal atau ‘feeling good.’

Otak kanak-kanak dan remaja yang masih sedang berkembang paling terdedah kepada kesan berisiko ini.

Kajian menunjukkan apabila orang mula merokok pada usia muda, mereka akan menjadi ketagih dan kekal sebagai perokok sehingga dewasa atau menua. Ini termasuk juga golongan yang bersumpah untuk tidak sesekali jadi penagih rokok.

Hasil pendapatan daripada jualan vape mencapai berbilion ringgit dan semakin meningkat dari masa ke masa. Realitinya, rokok sahaja sudah mengakibatkan kematian lebih daripada 27,000 rakyat Malaysia setiap tahun.

Ancaman global

Isu ini merupakan ancaman global yang menunjukkan tabiat ini membunuh lebih daripada 8 juta penduduk dunia saban tahun. Maka, tidak hairanlah jika pemain industri perlu sentiasa ‘merekrut’ pelanggan baharu untuk kekal dalam bisnes.

Sekiranya perokok atau penghisap vape dapat melihat bagaimana kesan bahan kimia ini mencederakan badan seperti jari yang dihiris dan dilukakan sedikit demi sedikit, pasti terasa ngeri untuk menyentuhnya sama sekali.

Namun, hakikat ini tidak cukup menakutkan pengguna rokok, vape ataupun pelanggan baru. Pihak yang tidak bertanggungjawab bijak memanipulasikan keadaan ini dengan berulang kali menggunakan strategi yang telah berjaya menarik ramai penagih vape dan perokok.

Bentuk peranti vape yang comel dan menyerupai mainan tentunya menyasarkan pembeli golongan muda.

Ditambah pula dengan topengan pelbagai perisa buah sihat dan gula-gula sedap seperti strawberi, watermelon ice dan gummies tentunya memikat kanak-kanak dan remaja. Ini tidak termasuk penjualan perisa vape yang mengkhayalkan kerana telah dicampuri dadah.

Cukai

Berkuat kuasa 1 April yang lalu, kerajaan telah mewartakan cukai bagi cecair nikotin untuk penggunaan vape dengan mengenakan RM1.20 setiap mililiter.

Ini dikatakan sebagai langkah untuk mengurangkan penggunaan vape dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, pelaksanaan percukaian terbaru ini akan memberikan tambahan ratusan juta ringgit kepada pendapatan negara.

Sebelum ini kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit setahun bagi merawat pesakit yang menderita akibat merokok.

Ini termasuk usaha daripada Kementerian Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan di lebih 900 klinik berhenti merokok yang terdiri daripada klinik kesihatan, farmasi dan komuniti. Setelah pelbagai usaha dilakukan selama bertahun-tahun, kadar kejayaan berhenti merokok kekal rendah.

Maka, langkah pencegahan sentiasa lebih baik daripada merawat. Usaha untuk menghentikan tabiat merokok dan menghisap vape harus dilakukan dari awal dan secara serius oleh semua pihak termasuk tekad yang kuat daripaa kerajaan.

Perlu dibendung

Menurut kenyataan media oleh Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) pada 3 April lalu, pindaan penguatkuasaan pindaan undang-undang terbaru telah mewujudkan situasi membimbangkan apabila tiada mana-mana peruntukan undang-undang wujud untuk mengawal penggunaan vape.

Ini bermaksud, tiada peraturan terhadap kawalan tentang penyediaan, penjualan, penggunaan, promosi dan pengiklanan produk, sekali gus membolehkan produk ini selepas dicukai dapat dijual bebas oleh sesiapa termasuk kanak-kanak bawah umur.

“Langkah terbaik yang mesti diambil kerajaan adalah menangguhkan dahulu pengenaan cukai vape ini bagi membolehkan penarikan semula keputusan pengecualian nikotin vape daripada akta racun sementara menunggu rang undang-undang baharu generasi penamat dibentang dan diluluskan dalam sidang parlimen pada bulan Mei 2023 ini,” kata IKRAM Health.

Ketagihan rokok dan vape telah dibuktikan dalam banyak kajian sebagai pembuka laluan kepada tabiat penyalahgunaan dadah dan bahan larangan. Maka, tabiat ini perlu dibendung dari awal.

Walaupun Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata bahawa beliau mensasarkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi mengawal selia semua produk merokok dan vape pada persidangan Parlimen bulan Mei ini, kerisauan masih tetap membelenggu ramai pihak.

Negara berpotensi mengalami krisis kesihatan awam terbesar sekiranya berlaku peningkatan mendadak dalam kalangan golongan muda termasuk kanak-kanak yang mengalami ketagihan nikotin akibat vape dan rokok.

Isu ini perlu ada tindakan segera yang berkesan untuk mengawalnya sebelum membarah demi kesihatan generasi masa depan yang lebih baik.

--BERNAMA

Basmin Maarof ialah Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media, Pertubuhan IKRAM Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)