TINTA MINDA

JANGAN ABAIKAN KESIHATAN MULUT

12/05/2023 09:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Profesor Dr Seow Liang Lin

Tanyalah kepada sesiapa pun mengenai kesihatan dan kebarangkalian mereka akan berfikir mengenai keadaan kronik seperti penyakit jantung atau kencing manis (diabetis). Kesihatan mulut pula jarang diambil kira. Hakikatnya, sepanjang usia, kita leka mengenai kepentingan kesihatan mulut yang boleh membawa kepada akibat buruk yang berkekalan.

Dua jenis penyakit mulut

Ada dua penyakit berkaitan kesihatan mulut yang utama iaitu karies (gigi berlubang atau gigi mereput) dan penyakit periodontal (gusi). Masalah ini boleh memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat. Data daripada tinjauan di seluruh negara mendapati masalah ini bermula pada peringkat awal kanak-kanak, seperti yang ditunjukkan dalam Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-Kanak Prasekolah (NOHPS). Data menunjukkan 71.3 peratus kanak-kanak berumur lima tahun mengalami gigi berlubang.

Dalam kalangan orang dewasa pula, keadaan lebih teruk lagi. Menurut Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Dewasa (NOHSA) pada tahun 2010, kira-kira 90 peratus daripada populasi dewasa Malaysia mengalami penyakit periodontal ringgan dan teruk, manakala 88.9 peratus mengalami karies gigi. Tinjauan turut mendapati kategori penyakit gusi teruk meningkat daripada enam peratus pada tahun 1990 kepada 17.8 peratus pada tahun 2010, yang disebabkan banyak faktor berbeza.

Angka-angka ini penting kerana kesihatan mulut dan kesihatan umum sangat berkait rapat dengan faktor risiko biasa. Dengan cara ini, kewujudan karies dan penyakit periodontal menjadi petunjuk berguna kepada kesihatan umum. Tambahan pula, terdapat akibat lain daripada kelemahan penjagaan mulut - ketidakselesaan dan kesakitan yang boleh menjejaskan tidur, produktiviti dan kualiti hidup; kesukaran untuk makan yang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan, kesihatan umum yang buruk dan banyak lagi.

Amalan gaya hidup sihat

Perkara ini memberitahu kita akan keperluan untuk melihat isu kesihatan mulut sama seperti kita melihat kesihatan umum, dengan mengamalkan tabiat baik setiap hari dan menjalani gaya hidup sihat. Persamaannya jelas: Tabiat gaya hidup seperti kerap mengunyah snek dan makan banyak makanan manis serta melekit hanya menyumbang kepada pembentukan plak dan kaviti, selain menjurus kepada keadaan kesihatan kronik seperti diabetes dan obesiti.

Sama seperti keadaan kesihatan kronik yang boleh dicegah melalui diet sihat dan senaman, masalah kesihatan mulut seperti karies dan penyakit periodontal pun boleh dicegah melalui penjagaan dan penyelenggaraan harian yang betul, atau dapat menghentikan penyakit daripada memburuk daripada peringkat awal.

Nampaknya ramai orang melihat kesihatan mulut sebagai tidak penting atau akibatnya memang tidak dapat dielakkan. Misalnya, ramai merasakan kehilangan gigi dan memakai gigi palsu adalah proses semulajadi penuaan tetapi ia sebenarnya boleh dicegah. Apa yang boleh kita lakukan adalah keperluan mewujudkan asas tabiat kebersihan mulut yang kukuh pada peringkat awal kanak-kanak lagi. Ibu bapa dan guru mestilah menyokong, selain turut sama-sama belajar tentang kepentingan memberus gigi pada usia yang betul dan penjagaan mulut am.

Bergerak ke arah penjagaan mulut yang lebih baik demi negara

Memandangkan kesihatan mulut yang buruk boleh menjadi beban berat sepanjang hayat kita, yang menyebabkan kesakitan, kekurangan produktiviti dan terjejasnya kesihatan umum, selain peningkatan kos dan kerumitan rawatan pergigian, isu ini tidak mampu kita abaikan sebagai seorang individu mahupun sebagai sebuah bangsa.

Perlu ada lebih banyak kesedaran dan pendidikan, selain komitmen daripada individu untuk melihat kesihatan mulut dengan disiplin yang sama seperti aspek kesihatan menyeluruh yang lain. Oleh itu, penjagaan harian dan pemeriksaan berkala untuk mengesan masalah kesihatan mulut lebih awal adalah penting.

Saya menggesa rakyat Malaysia dari semua peringkat umur untuk mengambil langkah pertama dengan memberikan komitmen lebih besar kepada kesihatan mulut. Mulakan dengan memberus gigi dua kali sehari. Gunakan ubat gigi berfluorida dan flos. Bagi mereka yang merokok, pertimbangkan untuk berhenti kerana tabiat itu meningkatkan risiko penyakit gusi, masalah kesihatan mulut dan kanser mulut, serta masalah kesihatan lain.

Kedua, marilah kita menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kecil dengan mengajar mereka rutin penjagaan mulut yang baik dari kecil. Sebagai contoh, apabila gigi susu mula tumbuh, jadikan memberus gigi sebagai aktiviti yang menyeronokkan untuk mereka, dan bawalah anak untuk pemeriksaan pergigian secara rutin. Bagi mereka yang mungkin tidak mempunyai kecekapan tangan untuk memberus dan flos gigi secara kendiri kerana faktor usia, kesihatan atau ketidakupayaan, kita perlu menyediakan penjagaan dan sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka menguruskan kebersihan mulut. Oleh itu, jika ada warga emas atau orang berkeperluan khas di rumah, bercakaplah dengan profesional penjagaan kesihatan tentang berus gigi atau cecair kumur khas serta pelan lebih terperinci untuk meningkatkan kebersihan mulut.

Akhir sekali, jangan lupa untuk bekerjasama dengan doktor gigi dalam kembara kesihatan mulut anda. Berjumpalah doktor gigi anda dengan kerap, sekurang-kurangnya sekali setahun, dan bukannya apabila sakit gigi atau ada luka pada rongga mulut. Pencegahan boleh membantu kita mendapat kesihatan mulut dan umum yang baik.

Bagi mereka yang mempunyai kekangan kewangan, penjagaan pergigian berasaskan komuniti mampu milik ada disediakan secara meluas, tidak seperti yang kita fikirkan selama ini. Kini terdapat 1,670 kemudahan pergigian termasuk klinik pergigian mudah alih di seluruh negara. Dapatkan senarai penuh di https://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/store_view/7.

Ayuh, berbanggalah dengan mulut kita. Marilah bekerjasama untuk menjadikan kesihatan mulut sebagai keutamaan dalam kehidupan dan berusahalah lebih sedikit setiap hari untuk hasil yang bermanfaat.

--BERNAMA

Profesor Dr Seow Liang Lin ialah Dekan, Fakulti Pergigian di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)