Salam dari Beijing…
Tahun ini, nampaknya rezeki penulis untuk menimba ilmu di ibu negara China ini sebagai wartawan Malaysia yang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2023. Sebelum ini tiga wartawan dari Bernama telah mengikuti program yang sama di kota metropolitan ini.
Selepas menerima tawaran untuk mengikuti program ini, penulis hanya mempunyai kira-kira sebulan untuk membuat persediaan termasuk permohonan visa dan sebagainya.
Mengetahui negara empat musim tersebut tersebut kini sedang dalam musim panas yang diramal sekitar 31 dan mencecah 35 darjah celcius, persediaan tidak tertumpu banyak mengenai pakaian kerana keadaan mungkin tidak terlalu berbeza dengan suhu dan cuaca di Malaysia.
Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing pada 28 Julai lepas, sudah tentu perancangan untuk meneroka kawasan setempat menjadi antara agenda utama bagi membiasakan diri sebelum kursus bermula pada 1 Ogos.
Namun, agenda itu 'tergendala' gara-gara hujan lebat berterusan disebabkan Taufan Doksuri menyebabkan penulis terpaksa 'berkurung di kediaman Jiangguomenwai Diplomatic Residence Compound yang disediakan penganjur lebih empat hari.
Pada 29 Julai, seawal 7 pagi, penulis sudah bersemangat membuat carian di internet mengenai cara-cara menggunakan pengangkutan awam termasuk basikal di negara yang terkenal dengan ikon Tembok Besar itu.
Satu pesanan ringkas turut dilayarkan kepada rakan peserta lain untuk mengajak beliau turut serta menjelajahi ibu kota itu termasuk ke restoran atau pasar raya untuk mendapatkan barangan keperluan.
"Tapi di luar hujan lebat, baik duduk di rumah saja lah," balasnya ringkas.
Tidak seperti pada hari pertama tiba yang mana cuaca baik dan cerah, bumi Beijing pada hari itu dibasahi air hujan yang tidak berhenti yang turut diselubungi awan mendung namun suhu tetap terasa hangat.
Mengharapkan hujan tersebut akan berhenti pada tengah hari, tetapi sebaliknya ia turun berterusan sehingga keesokan harinya, menyebabkan penulis terpaksa membatalkan niat dan terus berkurung di rumah kerana cuaca yang membataskan pergerakan.
Taufan Doksuri badai Beijing dan Utara China
Pada mulanya penulis menyangka ia hanya cuaca hujan biasa namun kemudian apabila terbaca laporan Global Times, rupanya ia satu fenomena langka hingga menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca ekstrem serta waspada banjir.
Menurut laporan itu, pakar meteorologi juga meramalkan bahawa Beijing dan utara China dilanda hujan paling lebat dan terburuk dalam tempoh lebih sedekad.
Global Times melaporkan bahawa 18 wilayah telah mengeluarkan amaran hujan lebat sejak pagi Ahad dan kira-kira 130 juta penduduk di seluruh negara itu dijangka terjejas.
Laporan China Daily memaparkan ulangan amaran merah dari Pusat Meteorologi Kebangsaan mengenai hujan lebat di utara negara itu pada petang Ahad, amaran kedua yang dikeluarkan sejak mekanisme amaran itu dilaksanakan pada 2010. Beijing dan kawasan sekitarnya, termasuk wilayah Tianjin dan Hebei paling terjejas teruk akibat taufan itu.
Sempat meninjau kawasan sekitar kediaman penulis yang terletak di pusat bandar Beijing ketika hujan reda seketika, alhamdulillah tiada yang terjejas dan hanya terdapat beberapa kawasan di atas jalan yang menakung air, itu pun tidak sampai paras buku lali.
Penulis amat bersyukur kerana berada dalam keadaan selamat dan situasi sekeliling tidak seburuk lokasi terjejas seperti yang dilihat paparan gambar dan video dalam laporan berita yang mana bencana itu bukan sahaja merosakkan harta awam termasuk menenggelamkan kereta malah juga meragut nyawa.
Program setakat hari kedua juga masih berjalan lancar memandangkan ia berlangsung di dalam bangunan dan hanya perlu berjalan kaki selang beberapa blok dari kawasan kediaman.
Payung lipat dan jaket ‘windbreaker’ menjadi teman setia, seperti kata pepatah perlu sentiasa sediakan payung sebelum hujan, tambahan apabila berada di negara orang faktor penjagaan kesihatan juga perlu dilipat ganda.
Laporan meteorologi juga meramalkan keadaan itu akan berterusan sehingga Rabu dan penulis juga berharap agar cuaca akan berubah baik.
Penulis ada juga meneliti laporan kaji cuaca di internet sebelum keluar ke rumah, tapi tidak mahu terlalu bergantung dan untuk beberapa tempoh terdekat ini, cuaca jika tidak hujan, paling beruntung pun mendung seketika.
Duduk rumah, pesan sahaja dalam talian
Terdapat juga penduduk yang tidak keluar rumah kerana cuaca dan hanya membuat pesanan makanan dan pembelian barang menggunakan perkhidmatan aplikasi dalam talian.
Walaupun baru sahaja tiba, penulis kagum melihat sistem pesanan dalam talian dan penghantaran pelbagai barangan yang boleh dibuat termasuk barangan elektronik kurang dari tempoh sejam, yang secara tidak langsung membantu mengatasi situasi seperti ini.
Dari jauh penulis melihat kebanyakan penghantar makanan dan barangan masih gigih berkhidmat dengan menunggang motosikal dan memakai baju hujan.
Cumanya satu kekurangan buat pengguna seperti penulis yang tidak mahir berbahasa cina memandangkan aplikasi itu hanya dikendalikan dalam satu bahasa sahaja, jadi agak sukar membuat pesanan.
Mujur pihak penganjur membantu, maka dapatlah penulis mendapatkan periuk nasi elektrik dan beras menerusi aplikasi yang tiba di pintu pagar bangunan hanya dalam tempoh 30 minit dan kos penghantaran sekitar empat yuan.
Hari ini genap lima hari baru berkelana di bumi Beijing, masih banyak ‘hujan emas’ yang belum diteroka dan penulis menganggap sambutan cuaca ini adalah ‘hujan rahmat’ yang memberkati perjalanan mencari pengalaman dan ilmu di sini.
Pihak berkuasa tempatan Beijing dan beberapa wilayah lain di utara China mengeluarkan amaran tertinggi mengenai Taufan Doksuri yang membawa hujan lebat ke negara itu.
Doksuri adalah taufan kelima yang membadai China tahun ini dengan puluhan ribu penduduk dipindahkan ke tempat selamat, lapor Agensi Anadolu.
-- BERNAMA
Nurhafizah Tan merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2023, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Julai.