Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad dan Prof. Dr Abdul Talib Bon
Ketidaksepadanan kemahiran dan ketidaksesuaian kelayakan dengan keperluan industri mempunyai hubungan dengan kadar pengangguran. Data menunjukkan bahawa pada tahun 2022, kadar pengangguran di negara kita mencapai 3.6 peratus. Peningkatan tahap pendidikan di negara ini telah meningkatkan bilangan graduan, tetapi terdapat ketidaksepadanan kemahiran dengan keperluan pasaran kerja telah menyumbang kepada kadar pengangguran.
Kerajaan dan industri telah bekerjasama untuk memperbaiki situasi ini dengan meningkatkan dan membina program latihan yang lebih relevan dengan keperluan pasaran kerja. Antara program kerjasama yang telah dan sedang dijalankan antaranya program upskilling dan reskilling untuk belia dan graduan yang sedang mencari pekerjaan. Walau bagaimanapun, ini memerlukan kerjasama yang lebih tuntas, mampan dan berterusan dalam kalangan pelbagai pihak, termasuk sekolah, universiti, institusi latihan vokasional dan industri.
TVET
Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam menangani pengangguran dan ketidaksepadanan kemahiran. TVET adalah antara kaedah untuk membantu memperkuatkan pasaran buruh dan meningkatkan daya saing negara dalam era Revolusi Industri 4.0. TVET memberikan pelajar dengan kemahiran praktik dan mempersiapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh industri. Oleh itu, kerjasama antara agensi kerajaan dan industri sangat penting dalam memperkuatkan program TVET dan memastikan pelajar mempunyai kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran.
Kerjasama dengan industri bagi pelaksanaan TVET adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah pengangguran belia dan underemployment di negara kita. Pendekatan TVET berpusatkan kepada industri dapat memperkukuhkan program TVET negara. Sebagai contoh, penglibatan industri seperti PETRONAS dalam kluster minyak & gas, DRB Hicom bagi kluster automotif, Sunway bagi kluster perhotelan, dan MRCB bagi kluster pembinaan dapat memperkukuhkan program TVET. Pembaharuan ini akan menghasilan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri. Kerajaan juga berhasrat untuk melibatkan institusi TVET dengan 50 buah syarikat terutamanya daripada kalangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk kerjasama ini.
Inisiatif kerajaan
Kerjasama antara kerajaan dan industri dalam bidang TVET telah diwujudkan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti skim kewangan dan insentif untuk industri yang terlibat dalam program latihan dan memberi faedah serta menyediakan kemudahan bagi graduan TVET. Ini dapat memastikan industri turut terlibat dalam mempertingkatkan kualiti program TVET dan memberi peluang kepada graduan TVET untuk mendapat kerjaya yang berkualiti.
Berdasarkan belanjawan 2023, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) juga akan diperkukuh dengan peruntukan 50 juta ringgit untuk manfaat lebih 8,000 pelatih. Program Academy in Factory yang baru-baru ini dimaklumkan oleh Menteri Ekonomi akan dilaksanakan untuk menyediakan peluang latihan kepada lebih 100 ribu belia menjalankan latihan sambil bekerja di industri dan mengambil mereka untuk bekerja.
Penglibatan industri
Namun begitu, walaupun terdapat pelbagai inisiatif dan badan yang telah diwujudkan, kerjasama antara kerajaan dan industri dalam bidang TVET masih perlu ditingkatkan. Industri seharusnya lebih terlibat dalam memperkukuhkan kurikulum dan silibus TVET dan membantu mengembangkan program latihan industri bagi pelajar TVET di institusi latihan dan pengajian tinggi di negara ini. . Industri juga perlu memberi sokongan dalam penyediaan kemudahan dan infrastruktur di institusi TVET seperti menawarkan peralatan dan teknologi terkini untuk pengajaran dan pembelajaran.
Program-program ini juga membolehkan syarikat-syarikat dan industri memperoleh tenaga kerja yang berkualiti dan terlatih mengikut keperluan mereka. Ini dapat memastikan kesesuaian antara keperluan industri dan latihan yang diberikan oleh institusi TVET. Sebagai contoh, industri di Jerman mempunyai hubungan yang rapat dengan institusi TVET dan memberikan bantuan kewangan serta memainkan peranan aktif dalam pembentukan kurikulum yang diperlukan.
Promosi TVET Bersama Industri
Kerajaan dan industri juga perlu bekerjasama untuk mempromosikan TVET kepada masyarakat. Ini termasuklah memberikan maklumat dan penyediaan peluang latihan kepada pelajar serta mempromosikan program-program TVET sebagai pilihan pendidikan dan kerjaya yang utama. Kerajaan dan institusi TVET perlu memberikan maklumat yang mencukupi tentang program-program TVET dan menyediakan peluang latihan yang mencukupi untuk pelajar.
Sementara itu, industri juga perlu memainkan peranan dalam menyokong latihan berkualiti serta mempromosikan program-program TVET sebagai pilihan kerjaya yang terbaik untuk belia ceburi. Peningkatan kesedaran masyarakat tentang pentingnya TVET sebagai pilihan pendidikan dan kerjaya yang utama akan dapat membantu meningkatkan minat pelajar terhadap program TVET terutama dalam kalangan pelajar di luar bandar dan kawasan pendalaman.
Penawaran Program Berkualiti
Di samping itu, kerjasama dengan industri juga membolehkan institusi TVET menawarkan program-program yang lebih berkualiti dan relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan. Industri adalah pihak yang paling mengetahui mengenai keperluan pasaran pekerjaan, dan oleh itu institusi TVET boleh menyesuaikan program-program mereka mengikut keperluan dan permintaan industri.
Terdapat syarikat yang telah memanfaatkan Penang Skills Development Centre untuk menganjurkan program latihan berdasarkan keperluan mereka. Kerjasama ini berjaya menyediakan pekerjaan kepada graduan TVET dengan gaji yang lumayan. Begitu juga institusi pengajian tinggi TVET akan meneruskan penawaran program-program akademik di peringkat Sarjana Muda Teknologi dengan kerjasama industri yang berkaitan dalam memastikan graduan TVET mampu dilahirkan dalam memenuhi keperluan industri.
Teaching factory
Teaching factory merupakan kaedah yang telah terbukti berkesan dalam menyokong penglibatan industri. Ia melibatkan keberadaan industri yang terbabit di dalam premis institusi pendidikan tinggi TVET dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran dalam persekitaran industri sebenar dapat dilaksanakan. Pembelajaran berasaskan kerja (WBL) akan mampu dijalankan dengan pembabitan secara langsung pihak industri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian TVET ini.
Penglibatan industri adalah kunci kejayaan dalam teaching factory kerana industri dapat memberikan input dan pengetahuan mengenai keperluan dan trend industri semasa. Melalui teaching factory, pelajar TVET dapat mempelajari kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan keperluan industri. Teaching factory membolehkan pelajar untuk memperoleh pengalaman praktikal dalam persekitaran industi sebenar dari pemilihan bahan, proses pembuatan hingga kepada pengujian produk akhir.
Sijil kompetensi
Selain itu, sijil kompetensi dari pihak industri dan badan profesional juga dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan. Dengan sijil tersebut, graduan akan memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk bekerja di dalam industri tertentu seperti industri pembinaan dan minyak dan gas. Pihak industri menilai sijil kompetensi dari organisasi yang diiktiraf dan industri yang berkaitan sebagai satu kelebihan kepada bakal pekerja dengan secara langsung akan meningkatkan peluang pekerjaan graduan.
Setiap badan profesional atau pengeluar sijil ini memiliki piawaian yang berbeza dalam memberikan kompetensi, namun kesemuanya bertujuan untuk menjamin kualiti dan kemampuan lulusan dalam bidang masing-masing. Sijil kompetensi juga memberikan graduan kelebihan dalam pasaran buruh yang kompetitif dan meningkatkan kemampuan mereka untuk menjalankan tugas dengan cekap dan efektif mengikut kemahiran yang diperlukan.
Sehubungan itu, memperoleh sijil kompetensi akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET dalam pasaran yang sangat kompetitif. Pusat pengajian tinggi TVET juga sedang memperhebatkan program-program kompetensi ini dalam kalangan pelajar dengan insentif-insentif menarik yang ditawarkan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kerjasama antara kerajaan dan industri sangat penting dalam memperkukuhkan program TVET dan memastikan pelajar mempunyai kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja. Melalui kerjasama yang kukuh dan berterusan, negara kita dapat menghasilkan lebih banyak graduan TVET yang berkualiti dan memenuhi keperluan pasaran buruh negara. Penglibatan langsung industri dalam pembangunan program TVET, kewujudan teaching factory dan penyediaan program sijil kompetensi akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Dalam jangka masa panjang, kerjasama ini juga dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam sektor industri negara untuk terus berkembang. Dengan mempunyai pekerja-pekerja yang berkualiti dan terlatih serta berkompetensi tinggi, kita yakin syarikat-syarikat dan industri akan dapat meningkatkan prestasi dan mengurangkan kos operasi serta meyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
--BERNAMA
Prof. Madya Ts. Dr Md Fauzi Ahmad ialah Pensyarah kanan dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran,Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan , Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Prof. Dr Abdul Talib Bon ialah Profesor Pengurusan Pengeluaran dan Operasi dan Pengarah Teaching Factory, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)