TINTA MINDA

PENGIKTIRAFAN SERTA KEPENTINGAN FELDA KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA

11/08/2023 12:27 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr Noor Nirwandy Mat Noordin

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rancangan penambahbaikan FELDA amat bermakna dalam konteks memperkasakan sebuah institusi yang telah lama menjadi sebahagian dari tonggak utama sistem sokongan ekonomi negara. Sumbangan FELDA dalam rantaian ekonomi negara tidak boleh dipertikaikan dan FELDA adalah lambang kegigihan rakyat Malaysia. Bersempena sambutan Hari Peneroka FELDA 2023 pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa agenda pembaharuan penting selaras dengan konsep pembangunan aspirasi MADANI kerajaan.

Momentum ekonomi gig FELDA

Keselamatan ekonomi adalah antara aspek penting dalam sistem keselamatan negara khususnya bagi memastikan pemboleh ubah sistem ekonomi negara berjalan dengan baik. FELDA adalah antara sistem ekonomi negara yang perlu diberi perhatian bagi memastikan ia berupaya mengekalkan elemen keselamatan ekonomi berasaskan kestabilan pengeluaran dalam bentuk hasil negara dari peneroka FELDA.

Antara perkara yang diberikan penekanan adalah pembangunan Digital MADANI iaitu usaha untuk menjadikan FELDA sebagai peneraju transformasi digital bagi memperkasa ekonomi gig. Kaedah perlaksanaan adalah ia akan dilaksanakan melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDI) dan Kolej Yayasan FELDA.

Keupayaan ekonomi gig melalui FELDA adalah rangsangan ekonomi digital yang bertepatan pada masanya. Penguasaan ekonomi gig melalui FELDA diharapkan dapat mencetus inovasi dalam ekonomi gig sehingga boleh memangkinkan pegangan ekonomi baharu kepada generasi baru FELDA mahupun sebagai kesinambungan penerokaan sektor berpotensi tinggi ekonomi gig yang sedia ada.

Usaha ini harus dipastikan membawa satu bentuk inovasi baharu yang boleh memberikan beberapa identiti ekonomi gig khususnya kepada generasi muda FELDA. Pembangunan keupayaan digital kepada FELDA adalah satu pendekatan berbentuk masa hadapan yang boleh dikembangkan secara jangka panjang secara strategik untuk berkemampuan menguasai sebahagian kemahiran serta pegangan ekonomi gig di dalam negara mahupun serantau.

Insentif iktiraf sumbangan warga FELDA

Antara inisiatif tambahan lain adalah dalam bentuk elemen keselamatan kesihatan dengan pembinaan pusat hemodialisis yang akan diwujudkan di setiap kawasan FELDA yang dijangka memberi manfaat kepada golongan memerlukan di kawasan peneroka FELDA.

Di samping itu, insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah juga adalah satu bentuk pengiktirafan kepada peneroka FELDA. Pengiktirafan berkaitan adalah penting bagi meletakkan identiti FELDA sebagai sebuah institusi induk negara dan meletakkan peneroka FELDA sebagai tenaga kerja produktif negara yang diiktiraf sepenuhnya.

Pembangunan holistik dapat dilihat apabila kawasan Kompleks Sahabat, Umas dan Kalabakan di Sabah diberi perhatian khusus dari segi penambaikan rawatan dan pembekalan air bersih. Komitmen serta perancangan berkala harus terus diberikan bagi mewujudkan elemen keselamatan kemanusiaan yang lebih baik di kawasan berkaitan.

Pada kali ini diumumkan subsisi diesel berjumlah RM36 juta juta setahun bagi operasi penjanaan tenaga dan rawatan air kepada hampir 43,000 penduduk di kawasan tersebut. Keselamatan kemanusiaan yang baik harus melibatkan urus tadbir tata kelola pengurusan kehidupan yang lebih baik serta terjamin.

Justeru, pengagihan bersasar seperti ini amat penting untuk terus dijalankan oleh kerajaan. Perdana Menteri juga telah meletakkan komitmen untuk menyelesaikan isu 283 unit Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai dalam ucap tama Hari Peneroka FELDA.

Amat diharapkan keupayaan membuat padanan serta pengiktirafan kepada kumpulan aset strategik negara yang dilihat sedang berjalan dalam pimpinan kerajaan dapat diteruskan bagi mewujudkan pola pemahaman masyarakat berhubung kepentingan sesebuah institusi strategik seperti FELDA serta aspek keselamatan kemanusiaan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan.

Potensi dan pengurusan aset strategik negara yang akan membantu pengeluaran hasil negara perlu dilihat secara mikro walaupun adakalanya pengurusan makro dikatakan lebih mudah untuk dilaksanakan dalam pembangunan sesebuah negara.

Teras utama pembangunan negara adalah nilai strategik yang dibentuk untuk membentuk identiti ekonomi khususnya dalam jangka masa panjang. Inilah juga antara inspirasi kerajaan dalam mempertimbangkan usaha drastik membantu peneroka FELDA beralih kepada tanaman komoditi yang lebih dari tanaman getah sekiranya ia amat diperlukan.

Intervensi secara langsung hasil dari penilaian ekonomi semasa adalah antara teras keupayaan keselamatan ekonomi negara. Malahan langkah intervensi berkaitan pengstrukturan hutang semula pinjaman FELDA untuk mengukuhkan kedudukan kewangan FELDA telah diberi perhatian termasuklah penyaluran sehingga RM1 bilion setahun sehingga tempoh 10 tahun bagi terus mengukuhkan FELDA.

FELDA adalah amat relevan dalam pembangunan sosio ekonomi negara dan wajar terus diberikan penekanan strategik dalam pengurusan kemampanan sosio ekonomi negara. Pengiktirafan pimpinan kerajaan dalam kepentingan FELDA adalah satu corak kepimpinan penting dalam memacu institusi berkepentingan serta aset strategik negara dalam era kemajuan digitilisasi ekonomi berteraskan elemen keselamatan kemanusiaan.

-- BERNAMA

Dr Noor Nirwandy Mat Noordin ialah Penganalisis Keselamatan dan Politik, Universiti Teknologi Mara.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)