Salam dari Beijing.
Ketika mendapat tawaran untuk menjejak kaki ke Program China Asia Pacific Press Center 2023, fikiran terus teringat cerita dan pengalaman rakan penulis Hasnah Jusid ketika dia menyertainya sekitar Julai tahun lalu.
Hasnah berkongsi ceritanya di ruangan ini termasuk bagaimana beliau perlu menjalani tempoh kuarantin sekitar 10 hari di Nanchang yang menjadi syarat wajib untuk pengembara antarabangsa yang baru tiba di negara ini, yang mana pada waktu itu Malaysia sudah pun dalam fasa peralihan ke endemik.
Ketika Malaysia sudah banyak melonggarkan peraturan berkaitan, menurut Hasnah, pada waktu itu negara yang merekodkan kes COVID-19 pertama di dunia itu, masih lagi berperang habis-habisan melalui polisi sifar COVID.
Itu belum lagi pengalaman perlu ‘dicucuk tekak dua hari sekali jika mahu ke tempat awam dan juga tiba-tiba perlu menjalani ‘lockdown’hanya kerana terdapat beberapa individu yang disyaki positif wabak itu。
Walaupun telah membaca berita bahawa China telah mengumumkan membuka semula sempadannya kepada pelancong asing buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun sejak penularan wabak itu pada 15 Mac lepas, penulis tetap bertanya perkara tersebut kepada pihak kedutaan pada sesi temuduga。
“You are lucky, in China we have ease many policy now。 You even have a chance to visit other provinces as well because no more lockdown now,“ begitulah lebih kurang bunyi jawapan diberikan pegawai kedutaan tersebut.
Saya dimaklumkan pada program sebelum ini juga banyak lawatan di luar Beijing terpaksa dibatal dan ditunda berkali-kali kerana situasi COVID-19, jadi jangkaan kali ini, program mungkin akan berjalan lebih lancar.
Tidak disambut kelibat PPE
Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Daxing pada 28 Julai lepas, pemandangan pertama penulis adalah lapangan terbang yang beroperasi seperti biasa,berbeza dengan situasi dalam gambar yang dikongsikan Hasnah tahun lalu yang mana kawasan tersebut dipenuhi kelibat petugas lengkap berpakaian alat pelindung diri (PPE)。
Yang perlu dilakukan ketika tiba hanyalah membuat pengisytiharan kesihatan menerusi borang dalam talian yang perlu diimbas menerusi aplikasi WeChat。
Apabila berjalan si satu sudut, baru kelihatan sekitar dua petugas memakai PPE mungkin sebagai persediaan sekiranya perlu menguruskan individu yang didapati menghidapi COVID-19。
Aktiviti lain juga dilakukan lancar tanpa melibatkan prosedur berkaitan COVID-19 termasuklah ketika memasuki bangunan dan tempat awam, tidak perlu lagi imbas aplikasi seperti yang dilakukan sebelum ini.
Malah kiosk 'cucuk tekak' yang banyak boleh didapati merata di tempat untuk memudahkan orang ramai membuat ujian wabak itu juga 'lenyap', begitu juga pemandangan orang ramai beratur panjang untuk tujuan tersebut.
Masyarakat di sini juga kelihatan selesa dan yakin ke sana ke sini tanpa memakai pelitup muka yang menjadi perisai dan 'aksesori' wajib bagi memerangi wabak tersebut, termasuklah ketika menaiki pengangkutan awam.
Jika ada mungkin beberapa individu yang pada hemah penulis masih mengambil langkah berjaga-jaga ataupun lebih selesa memakainya memandangkan berada di kawasan dipenuhi ribuan manusia.
Hanya sekali sahaja penulis perlu menjalani ujian COVID iaitu sebelum menyertai program latihan industri di agensi China Radio International.
Menurut laman web World Health Organization, sebanyak 99,300,923 kes kumulatif dengan 121, 628 kematian dicatatkan di China dari 3 Jan 2020 sehingga 9 Ogos 2023 dan 553 kes dicatatkan dalam tempoh tujuh hari lepas.
Sektor pelancongan yang mula bernyawa semula
Forbidden City menjadi tempat tumpuan pelancong pertama yang penulis jejaki setelah tiba di bumi Beijing. Semua peserta program dibawa melawat bagi memperkenalkan antara tapak warisan UNESCO itu.
Ini merupakan kali kedua penulis berpeluang melawat ke tapak berkeluasan 720.000 meter persegi meliputi 980 bangunan itu yang mana kali pertama penulis berbuat demikian adalah pada Oktober 2019 sebelum COVID-19 datang dan perlahan-lahan melumpuhkan sektor pelancongan seluruh dunia.
Namun suasana kali ini berlainan sekali dengan kunjungan kali pertama yang mana pengunjungnya lebih ramai membanjiri tempat bersejarah itu, luar biasa jumlahnya.
Apabila penulis bertanya pembantu program, kata mereka antara faktor yang mempengaruhi jumlah itu adalah kerana kebanyakan masyarakat tempatan memanfaatkan cuti musim panas untuk berlibur bersama keluarga.
Ya mungkin juga dahulu ketika penulis melawat, bukan pada musim puncak. Kata mereka lagi, orang ramai juga tentunya tidak sabar lagi untuk melancong setelah tiga tahun tidak berbuat demikian kerana situasi COVID-19.
Ada yang berseloroh menyamakan situasi itu sama seperti keseronokan burung yang dikurung dalam sangkar dan kini boleh terbang bebas atau boleh dikatakan 'lepas gian'.
Sempat penulis bertanya kepada Hasnah menerusi pesanan di WeChat bagaimana situasi dialaminya ketika melawat tahun lalu untuk mengetahui jika terdapat perbezaan ketara
"Lapang dan tidak ramai orang, kerana pada waktu itu sektor pelancongan belum dibuka seperti sekarang," balasnya.
Menerusi pemerhatian penulis, rata-rata pengunjung merupakan pelancong tempatan. Secara kasar kami peserta program sahaja yang menjadi pelancong asing di kawasan seluas itu.
Oleh kerana itu, kedatangan kumpulan kami sering menjadi perhatian pelancong lain. Ramai yang teruja dan meminta untuk bergambar dan berswafoto.
Tidak pandai berbahasa Inggeris tidak menjadi penghalang untuk mereka cuba untuk beramah mesra. Walaupun permintaan dibuat dalam Bahasa Mandarin, bahasa badan dan pergerakan cukup untuk buat peserta faham.
Peserta daripada negara-negara benua Afrika, Papua New Guinea, Fiji dan Vanuatu antara yang menjadi kegemaran dan tumpuan lensa kamera. Boleh dikatakan mereka menjadi 'selebriti segera' sepanjang sesi lawatan itu.
Rupanya masyarakat di China begitu menghargai pelancong asing yang datang menjadi tetamu di negara mereka. Mungkin ia satu situasi yang jarang dialami mereka juga datang jauh dari luar Beijing.
Sepanjang lebih dua minggu di sini, beberapa tempat tumpuan pelancongan yang lain seperti Qianmen Street dan TIananmen Square juga padat dengan jutaan pengunjung
Menurut laporan BBC China membuka semula sempadannya kepada pelancong asing buat pertama kalinya bermula 15 Mac lepas sejak melaksanakan larangan mengembara dari Mac 2020 yang mana pengembara tidak lagi perlu menjalani kuarantin.
-- BERNAMA
Nurhafizah Tan merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2023, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Julai.