SALAM DARI BEIJING

NASI MINYAK PALING DITUNGGU

30/08/2023 11:26 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurhafizah Tan

"Wah .... tak sabar nak makan nasi minyak," itu bait ayat yang biasa dilontar apabila menggambarkan keterujaan untuk menghadiri kenduri kahwin atau dituju kepada pasangan bercinta yang mahu mendirikan rumah tangga.

Tetapi bagi penulis, keterujaan untuk menjamah nasi minyak itu dirasai ketika menghadiri sambutan Hari ASEAN di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China baru-baru ini. Bezanya ia bukan berkaitan dengan kenduri kahwin, sebaliknya kerana kuatnya rindu untuk menikmati juadah dari negara sendiri.

Belum sampai sebulan lagi tinggal di negara Tembok Besar ini, tekak Melayu ini sudah mulai rindu dengan makanan Malaysia yang telah menjadi sebahagian daripada identiti dan jati diri.

Jadi, apabila melihat menu majlis yang menyenaraikan nasi minyak, ayam masak merah, dalca, acar timun dan papadom di atas meja, tentulah penulis teruja dan gembira.

Selain makanan utama, tetamu turut dihidangkan dengan manisan kuih bakar, kek sarang semut, karipap, kuih keladi berlauk, serawa durian dan pulut buah-buahan, malah minuman yang menjadi antara identiti negara teh tarik juga tidak tercicir dari senarai tersebut.

Difahamkan semua makanan tersebut disediakan sendiri oleh staf dan ahli keluarga yang bertugas di kedutaan, jadi tidak hairanlah ia memenuhi selera masyarakat Malaysia.


Selain juadah dari Malaysia, pihak kedutaan dari negara-negara ASEAN lain juga turut menyumbang makanan tradisional masing-masing dalam majlis tersebut untuk dinikmati dan dikongsi bersama keluarga ASEAN pada hari itu.

"Jemput makan puas-puas ya, bukan selalu ada peluang makan makanan Malaysia di sini," bersungguh-sungguh tuan rumah dan tetamu yang juga rakyat bertugas dan telah lama menetap di sini mempelawa penulis dan seorang lagi rakan peserta Program China Asia Pacific Press Center 2023 dari Malaysia.

Asalnya kami berdua mahu menghadiri sambutan tersebut untuk membuat liputan berita, tetapi bak kata peribahasa; sambil menyelam minum air, rezeki menyebelahi kami pada hari itu apabila dapat juga menikmati dan melepaskan rindu kepada makanan Malaysia.

Begitulah dekatnya makanan dengan budaya dan dalam pembentukan identiti kita, ke mana sahaja kita pergi, sebaik dan sesedap makanan yang ada, kita tetap akan berbalik dan ingat tentang asal-usul 'rumah' sendiri.

Lumrah bila kita berjauhan daripada tempat asal, kita akan merindui kampung halaman atau 'homesick', tapi dengan adanya teknologi komunikasi, rindu kepada keluarga dan rakan-rakan masih tidak seberapa berbanding dengan rindukan makanan di tanah tumpah darahku.

Penulis ada membawa makanan Malaysia yang mesra kembara seperti daging dendeng dan serunding sebagai persediaan untuk membiasakan diri tetapi nasi minyak yang menjadi makanan pertama dihidangkan sebagai tetamu tentunya mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Beijing mesra makanan halal

Walaupun terdapat banyak restoran makanan halal yang mudah didapati di Beijing, tapi kebanyakannya menyajikan masakan Cina utara, yang mana rencah dan rasanya memang berbeza dengan citarasa makanan di Malaysia.

Setakat ini, penulis belum menemui restoran yang menyediakan makanan Malaysia di sini, selain makanan Cina yang kebanyakan makanan halal terdiri daripada mee tarik dan kambing skew bakar .

Bagi makanan halal, penulis hanya terjumpa dan sempat mencuba restoran makanan India dengan harapan dapat menghilangkan rindu kepada roti canai yang menjadi antara makanan nasional negara, tetapi cuma nasi briyani, roti nan dan ayam tandori yang dijual.

Sempat juga penulis bertanya kepada penduduk tempatan yang memahami Bahasa Inggeris, mengapa makanan Cina yang dijual di sini tidak sama dengan makanan Cina halal yang selalunya disediakan di restoran halal Malaysia seperti menu kam heong dan dan udang butter yang juga digemari pelbagai bangsa.

Penulis difahamkan gaya masakan Cina juga selalunya dipengaruhi oleh faktor geografi dan kawasan yang mana di Beijing ia secara amnya rasanya lebih ke arah masin, ringkas dan kurang menggunakan sayur.

Makanan halal yang dijual meluas di China juga banyak dipengaruhi oleh masakan dari masyarakat Uyghur dari Xinjiang yang terletak di bahagian barat negara tersebut, antaranya mee tarik, nan dan kambing skew bakar.

Di Malaysia pula, masakan banyak dipengaruhi oleh masakan di wilayah selatan seperti Yunnan, rasanya lebih mempunyai ciri masam dan manis. Satu hidangan makanan juga disediakan dalam kuantiti yang banyak.

Perkara itu dapat dibezakan sendiri oleh penulis apabila berpeluang mennghadiri majlis Hainan & ASEAN Culture and Food Exchange Fair yang dilangsungkan di ASEAN-China Centre baru baru ini.

Pada majlis tersebut tetamu berpeluang merasai sendiri pelbagai masakan Cina daripada wilayah tersebut antaranya nasi ayam Hainan yang lebih dekat dengan masyarakat Malaysia.


Secara amnya rencah rasanya tidak jauh berbeza dengan masakan di Asia Tenggara, lebih kena dengan lidah dan tekak masyarakat kita.

Raja buah Malaysia tersohor di China

Menyentuh berkenaan makanan, satu lagi perkara yang mengingatkan penulis kepada tanah air adalah kegilaan masyarakat di sini terhadap durian yang juga digelar raja buah Malaysia.

Selain pernah menemui buah yang juga dipanggil liu lian itu di pasar raya, penulis juga sering melihat ia menjadi bahan perisa dalam makanan mereka antara yang popular adalah piza durian.

Taip sahaja perkataan durian di enjin carian aplikasi memesan makanan, berpuluh pilihan kedai yang menawarkan piza durian akan keluar.

Piza durian ini nampaknya lebih popular di sini berbanding di Malaysia, penulis sendiri belum berkesempatan merasainya.

Antara makanan berasas durian popular yang lain adalah kopi durian dan pencuci mulut seperti kek dan aiskrim.

Rasa bangga juga apabila buah-buahan tempatan kita mendapat tempat yang begitu signifikan kepada masyarakat di sini.

Apabila ditanya, masyarakat di sini juga tahu Malaysia merupakan antara negara yang mengeksport buah tersebut.

Jelas sekali, makanan bukan sahaja mampu menjadi agen menyatukan masyarakat, malah mampu menjadi 'duta' dalam memperkenalkan budaya dan identiti sesebuah negara.

Diharap lebih banyak lagi makanan tempatan kita yang mampu menjadi terkenal seperti ini pada masa depan.

Tidak mustahil jika satu hari nanti, makanan kebanggaan negara seperti nasi lemak juga mampu menjadi terkenal seperti ini dan mampu membawa nama Malaysia ke seluruh dunia.

-- BERNAMA

Nurhafizah Tan merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2023, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)