TINTA MINDA

PENTAS SELUAS PADANG BOLA, OPERA MUZIKAL PRINCESS WENCHENG TERUS PUKAU PENONTON

18/10/2023 05:01 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurhafizah Tan

Bukan persembahan biasa-biasa tapi super luar biasa. Itu reviu ringkas dalam bahasa pasar yang penulis boleh huraikan mengenai kualiti persembahan opera muzikal Princess Wencheng yang ditonton secara langsung di ibu kota Tibet, Lhasa, China baru-baru ini.

Melangkah masuk ke “stadium” persembahan yang menggunakan kawasan luar atau outdoor dan bukan ruang tertutup seperti kelaziman persembahan yang ditonton di Malaysia, sudah membuatkan peserta Program China Asia Pacific Press Center 2023 dan Program China Eurasia Press Center 2023 terpesona.

Selain saiz pentas seluas padang bola dan mempunyai tiga tingkat, ia juga dibina berlatar belakangkan gunung dan sungai sebenar sebagai pentas asas. Latar belakang pentas diubah kepada pelbagai lokasi bermula dengan latar istana Puteri Wencheng sehingga ke Tibet, menerusi layar yang boleh digerakkan secara mekanikal. Pada pandangan penulis, setiap elemen persembahan dalam opera muzikal ini diambil kira dengan begitu teliti misalnya kostum yang dipakai hampir 800 pelakon direka seasli mungkin sekali gus menjadikan latar cerita yang berlaku 1,300 tahun itu lebih hidup dan menarik. Sistem pencahayaan dan audio juga memainkan peranan yang cukup signifikan dalam meningkatkan pemahaman dan penghayatan penonton mengenai jalan cerita sehinggalah efek lain seperti deruan angin bagi memaparkan suasana ribut salji, menampakkan seakan suasana sebenar.

Bayangkan, sepanjang 90 minit persembahan, penonton bukan sahaja disajikan dengan nyanyian muzikal merdu, tarian bertenaga dan lakonan menghiburkan secara langsung melibatkan lebih 800 pelakon di pentas, tetapi penonton turut teruja dengan kemunculan ‘bintang-bintang’ tambahan termasuk anjing, kambing biri-biri dan kuda yang menambah faktor ‘wow’ dalam persembahan di pentas terbuka itu.

Antaranya apabila sekumpulan kuda yang ditunggang dan berlari pantas di pentas seperti pada acara lumba kuda menjadikan adegan persembahan begitu dramatik sekali gus meningkatkan adrenalin penonton termasuk penulis yang tidak pernah menonton persembahan ‘mega’ seperti ini dan pastinya akan kekal menjadi kenangan sepanjang hayat.

Penulis juga kagum memikirkan bagaimana pihak kru produksi mampu mengawal sekumpulan haiwan hampir 30 ekor itu untuk beraksi ke pentas persembahan langsung mengikut masa ditetapkan. Apa yang pasti, penggunaan bahasa Mandarin tidak menjadi penghalang buat penonton antarabangsa seperti kami untuk menikmati persembahan muzikal ini bukan kerana ia merupakan persembahan yang tidak menggunakan banyak dialog tetapi terjemahan lirik dalam bahasa Mandarin, bahasa Tibet dan bahasa Inggeris turut dipaparkan di kiri serta kanan pentas bagi memudahkan penonton menghayati persembahan epik ini.

Lebih menarik, pementasan itu turut menaik penonton sebagai 'pelakon tambahan' menerusi elemen interaksi di mana penonton diberi tepung untuk direnjiskan ke pentas pada pengakhiran pementasan, sebagai tanda memberi 'tuah' dan doa kepada pengantin.

Menjadi Tarikan Pelancong Selama 10 Tahun

Persembahan drama langsung Princess Wencheng telah bermula sejak Ogos 2013 dan dipentaskan lebih daripada 1,600 kali di hadapan lebih empat juta penonton. Pada 2022, sebanyak 73 persembahan telah dipentaskan melibatkan 260,000 penonton. Sebanyak 110 petani dan pengembala tempatan turut terlibat menjayakan pementasan ini.

Menurut laporan Xinhua, opera luar berdasarkan kehidupan seorang puteri Dinasti Tang (618-907), 'Puteri Wencheng' pertama kali dipentaskan di Lhasa, ibu kota Tibet, pada 2013 dan menjadi popular dalam kalangan pelancong sejak itu, selain tarikan popular lain seperti Istana Potala dan Kuil Jokhang.

Pertunjukan selama 90 minit itu mengisahkan tentang Puteri Wencheng, yang datang jauh dari Chang'an (bandar Xi'an hari ini) untuk berkahwin dengan Raja Tibet Songtsen Gampo lebih 1,300 tahun lalu. Keseluruhan cerita berkisarkan cadangan yang dibuat Raja Tibet untuk berkahwin dengan puteri Maharaja Tazizong sebagai simbol persaudaraan dan persahabalan berkekalan. Ini sekaligus bertujuan menjaga keamanan di sempadan dan mewujudkan hubungan diplomatik rasmi antara Kerajaan Tubo (bekas Tibet) dan Dinasti Tang.

Puteri Wencheng yang menjadi pilihan, berarak lebih 2,000 batu dari Chang'an, ibu kota purba Dinasti Tang untuk berkahwin dengan Songtsen Gampo di Lhasa pada 641 AD. Perjalanan epik ke Tibet dan perkahwinan bersejarah terbukti menjadi peristiwa luar biasa yang diceritakan oleh generasi orang Tibet dan orang Han. Ramai yang percaya bahawa perkahwinan tersebut membawa kepada pembinaan Istana Potala.


Persembahan itu telah menjadi sumber pendapatan yang baik untuk penduduk kampung berhampiran, dengan petani dan pengembala tempatan menyumbang lebih daripada 90 peratus daripada hampir 800 pelakon, kata Palkyi, timbalan pengarah opera itu.Sejak kemunculannya, lebih 1,500 persembahan opera telah dipentaskan, menarik lebih 3 juta pelancong ke teater dan kemudahan sekitarnya, seperti galeri dan kedai seni dan reka bentuk, menurut penganjur. Opera biasanya dipentaskan setiap hari semasa musim puncak pelancongan di Lhasa, kata Palkyi.

Menurut laporan CGTN, pertunjukan langsung yang menggabungkan tarian Dinasti Tang dan Tibet bersama dengan persembahan artistik lain itu juga telah menjana 770 juta yuan sejak ditayangkan pada 2013.

Persembahan itu juga meningkatkan pendapatan petani dan pengembala tempatan. Pada tahun 2018 sahaja, jumlah gaji lebih daripada 30 juta yuan (4.4 juta dolar AS) telah diagihkan kepada petani dan pengembala yang turut terlibat mengusahakan persembahan itu, menurut syarikat penerbit rancangan itu.

Pesona Keindahan Semula Jadi Tibet

Digelar Bumbung Dunia atau 'The Roof of The World' kerana terletak di altitud tertinggi, Tibet atau nama lainnya Xizang, tentunya menjadi idaman pengembara di seluruh dunia untuk menjejakkan kaki di sini. Namun hakikat yang perlu diterima, ia bukan satu kawasan yang mudah untuk dilawati.

Beberapa cabaran perlu dihadapi terlebih dahulu termasuk memohon permit khas lawatan. Faktor kesihatan juga perlu diambil kira yang mana risiko menghidapi mabuk altitude atau 'altitude sickness' disebabkan paras oksigen yang semakin berkurang .

Antara simptom biasa dihidapi adalah pening kepala, sukar bernafas, sukar tidur dan hilang selera makan. Jadi beberapa tips sering diberi kepada pengunjung termasuk jangan bergerak terlalu laju, minum banyak air dan cukup rehat bagi mengurangkan simptom terbabit. Tong oksigen juga banyak disediakan di hotel dan kenderaan untuk pengunjung yang memerlukan.

Namun semua cabaran itu ternyata berbaloi apabila dapat menikmati keindahan kawasan di ketinggian lebih 3,600 meter dari aras laut ini. Lhasa ibu kota wilayah ini , merupakan bandar yang dikelilingi gunung dari banjaran Himalaya, sungai yang mendamaikan serta kepelbagaian budaya yang menarik.

Penulis sebelum ini pernah mengunjungi beberapa kawasan penempatan pergunungan lain seperti negara Lesotho di benua Afrika, daerah Sapa di Vietnam dan perkampungan Cemoro Lawang di Bromo, Indonesia. Setiap kawasan tersebut menyajikan pesona berbeza, tapi boleh dikatakan keluasan dan muka bumi geografi wilayah seluas 2,500,000 kilometer persegi ini mempunyai kelebihan tersendiri.

Begitu saujana mata memandang melihat pemandangan gunung yang boleh dilihat dari mana-mana sudut. Pemandangan lebih mempesonakan dapat dilihat ketika dalam perjalanan menaiki keretapi selama empat jam dari Linzhi dan dari tingkap kapal terbang ketika pesawat naik ke altitud lebih tinggi sehingga boleh melihat pemandangan gunung pada aras lebih 8,848.86 meter dari aras laut yang diselaputi salji.

Harapan penulis, pada masa hadapan, lebih ramai lagi pengunjung dari negara luar dari China berpeluang menikmati keindahan muka bumi ini, mungkin dengan lebih banyak pendedahan oleh kerajaan China berkenaan prosedur yang perlu dijalani, dapat membuka peluang kepada lebih ramai pengembara dari seluruh dunia.

-- BERNAMA

Nurhafizah Tan merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2023, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama empat bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)